Pensyarah di Jabatan Psikologi dan Kerja Sosial, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Azura Bahadin, berkata, banyak kajian mahupun penyelidikan yang dilakukan, rata-rata berpendapat perceraian lebih kerap berlaku di awal usia perkahwinan berbanding melewati 10 tahun ke atas.

Dalam kata lain, jika pasangan mampu menyesuaikan diri dan menghadapi cabaran dan dugaan dalam tempoh lima tahun pertama, bererti mereka mampu untuk meneruskan dan melayari bahtera rumah tangga sebaiknya selepas tempoh tersebut.

Ini kerana, lima tahun pertama boleh dikatakan tempoh kritikal dalam memahami hati budi masing-masing dan penyesuaian gaya hidup pasangan yang beraneka ragam.

“Pasangan suami isteri yang muda selalu mengalami masalah keruntuhan rumah tangga di lima tahun pertama ini berbanding orang dewasa yang sudah matang. Namun, ada juga pasangan yang pernah berumah tangga tetapi masih tidak mampu mempertahankan perkahwinan mereka akibat daripada masalah dan cabaran yang tidak mampu mereka tangani bersama.

“Mereka masih mengikut rentak yang sama dari kegagalan rumah tangga yang lalu dan tidak belajar daripada kesilapan silam.

“Antara punca perceraian bagi pasangan yang berkahwin dalam tempoh lima tahun ini kebanyakannya berpunca daripada sikap curang, apabila ada orang ketiga menjadi dalang dalam rumah tangga, berkasihan dengan orang yang ketiga sehingga mengabaikan tanggung jawab sebagai suami atau isteri.

“Ada yang masih berhubungan dengan bekas kekasih dan ada yang terus melakukan maksiat walaupun sudah beristeri. Biasanya kes ini terjadi apabila lama-kelamaan si isteri pada pandangan suami atau sebaliknya nampak semakin ‘jelik’ dan kehendak-kehendak diri tidak dipenuhi oleh pasangan,” katanya.

Menurut Siti Azura, faktor saling tidak sefahaman atau sudah tidak mempunyai persamaan lazimnya kerap diadukan kepada mahkamah apabila gaya hidup pasangan tidak memenuhi cara dan kehendak mereka. Kadangkala perkara yang remeh-temeh seperti menyidai tuala, mengemas rumah, kebersihan diri atau aktiviti dan hobi yang mengganggu waktu bersama menjadi punca ketidaksefahaman dan pergaduhan.

Biarpun pada mulanya kelihatan seperti satu perkara yang tidak perlu diperbesarkan, lama-kelamaan akan menjadi membara, bernanah dan meletup sehingga pasangan bergaduh dan talak dilafazkan oleh pihak suami.

Bahkan, terdapat juga perkahwinan yang tidak kekal kerana ketidakmampuan untuk menguruskan ekonomi rumah tangga kerana masih terikut-ikut dengan zaman bujang, misalnya perangai boros berbelanja sehingga apabila sudah ada tanggungjawab mereka ini tidak boleh menguruskan kewangan.

Namun, jika pasangan yang bijak walaupun bergaji kecil, mereka mampu menjaga dan menjana rumah tangga.

Punca-punca lain antaranya, pengabaian nafkah zahir dan batin, kesibukan bekerja sehingga berlaku pengabaian, isteri yang nusyuz dan tidak mahu mendengar kata suami dan stres dengan anak-anak.

Selain campur tangan mentua yang tidak menyukai menantu dan perkahwinan berdasarkan pilihan orang tua walhal di hati mereka tiada cinta, juga antara punca perceraian pada usia awal perkahwinan.

“Biarpun semua orang tidak ada pengalaman, tetapi persefahaman dan musyawarah itu penting dalam apa jua perkara atau masalah yang timbul dalam rumah tangga.

“Kesimpulannya, masyarakat juga harus mengubah mentaliti yang menganggap lima tahun pertama sebagai tempoh percubaan perkahwinan, fahaman ini adalah tidak benar.

“Perkahwinan adalah ikatan yang serius dan mulia di sisi Tuhan dan bukannya sekadar mencuba-cuba. Sesungguhnya talak perkara halal yang paling dibenci Allah. Jadi, tingkatkan usia perkahwinan dan pasangan berbincanglah untuk hadapi cabaran secara matang,” katanya.

“Pasangan sepatutnya harus berbincang secara bersemuka sekiranya terdapat masalah yang melanda rumah tangga mereka, namun apa yang berlaku pada hari ini kebanyakan pasangan muda yang berkahwin enggan berkomunikasi dengan pasangannya akibat kurang sefahaman sesama mereka.

“Lagipun dengan adanya pengaruh yang besar daripada Internet seperti media sosial, menyebabkan ramai pasangan yang lebih ‘khayal’ menggunakan telefon bimbit masing-masing daripada melayan suami atau isteri mereka.

“Inilah yang terjadi, akibat terlalu banyak bersosial menggunakan sosial media, pengaruh ini sedikit sebanyak mengganggu hubungan suami dan isteri. Apatah lagi dengan adanya teknologi canggih seperti ini masa berharga di rumah setelah balik kerja untuk dihabiskan bermesra bersama pasangan sudah tiada lagi atau semakin kurang. Bila ini berlaku wujudnya unsur kurang persefahaman kerana tiada komunikasi dua hala,” kata Hushim Salleh, seorang perunding dan motivasi kekeluargaan terkenal.

Hushim menambah, selalunya pasangan muda ini ketika bercinta memang seronok kerana apa yang buruk semuanya disorok, sehingga pasangan tidak mengenali perangai yang sebenar, tetapi sebaliknya berlaku apabila selepas berkahwin, itu belum lagi ditambah dengan masalah kewangan yang tidak stabil.

Peranan media sosial yang membolehkan pasangan berinteraksi dengan ‘teman-teman di luar’ menerusi aplikasi tertentu juga memberikan kesan yang mendalam apabila perkongsian berkenaan turut memberi pengaruh yang tidak baik kepada mereka.

“Sebenarnya, kursus persediaan perkahwinan juga perlu dilihat kembali, sama ada masa yang diberi cukup atau tidak begitu juga dengan pengisiannya. Tambahan sekiranya ada kursus selepas setahun perkahwinan yang dinamakan kursus pasca perkahwinan juga boleh dipertimbangkan kerana pada ketika itu boleh dibincangkan secara mendalam masalah-masalah yang telah mereka alami seperti kewangan, ketidaksefahaman , cara mengawal kemarahan atau sebagainya agar ramai daripada pasangan yang bermasalah dapat dibantu.

“Ini kerana pasangan yang muda atau baru mula berkahwin masih belum matang untuk mengemudi haluan rumah tangga masing-masing, ditambah dengan faktor-faktor luaran yang tidak membantu menjadikan mereka tidak dapat mengawal keadaan. Tambahan sekiranya mereka sendiri apabila 
hendak berumah tangga itu tidak mempunyai persediaan yang secukupnya,” katanya.

Juga beliau menasihatkan kepada pasangan yang berhadapan dengan masalah, agar berhubung dengan kaunselor-kaunselor perkahwinan atau orang tengah yang profesional untuk berbincang tentang masalah mereka. Jangan senyap dan meneruskan perkahwinan yang bermasalah seolah-olah tiada apa yang berlaku sehinggalah satu hari semuanya meletup dan ketika itu semuanya sudah terlambat.

Dalam pada itu dia juga memberi cadangan mengenai peranan Bailtulmal yang katanya boleh menjadi penyelamat kepada rumahtangga yang ditimpa masalah gara-gara berhadapan dengan masalah ekonomi akibat faktor kewangan yang tidak stabil.

“Saya selalu menerima aduan daripada client mengenai rumah tangga mereka ditimpa bencana akibat masalah ah long dan peminjam hutang kerana terpaksa meminjam daripada mereka kerana tiada duit. Nak pinjam daripada bank susah. Perlu pelbagai prosedur, sedangkan mereka ini bukan hendak meminjam banyak, mungkin tengah ‘sesak’ setakat RM500 sahaja, tetapi akhirnya terpaksa mengalah dan mendapatkan khidmat ah long kerana terdesak.

“Ini mengakibatkan masalah kepada mereka, justeru sekiranya peranan Baitulmal itu diperluaskan bagi memudahkan pemberian pinjaman tanpa berkala kepada pasangan muda ini yang sangat-sangat memerlukan duit dalam kuantiti yang minimum, mungkin sedikit sebanyak memberikan jalan kepada mereka.

“Cadangan saya ini berdasarkan kepada peranan Baitulmal yang diwujudkan pada zaman khalifah-khalifah Islam yang memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya yang turut memberi nasihat agar suami atau isteri yang mahu melakukan sebarang perjanjian berbentuk hutang dengan pihak lain perlu memberitahu pasangan masing-masing dan berbincang terlebih dahulu.

“Ini tidak, isteri tidak tahu suami buat pinjaman, bila dah terjerat baru hendak beritahu, ini yang payah,” katanya.

“Usia perkahwinan dalam tempoh lima tahun adalah tempoh yang kritikal dan perlu diberi perhatian oleh setiap pasangan,” kata Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Rohani Abd. Karim.

Ini berikutan kajian yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dari September 2014 hingga Januari 2015 di bawah Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 (KPKM-5) mendapati kebanyakan perkahwinan pertama pasangan suami isteri yang berakhir dengan perceraian berlaku dalam tempoh tersebut.

Laporan berkenaan juga menyebut, antara punca utama perceraian adalah tiadanya persefahaman, curang dengan pasangan masing-masing, masalah kewangan, campur tangan mentua dan ipar duai.

Kajian yang dijalankan berdasarkan temu bual ke atas 14, 156 isi rumah berusia 15 tahun ke atas yang mana 60 peratus daripadanya sudah mendirikan rumah tangga, 1.9 peratus telah bercerai atau berpisah.

Kajian yang dijalankan setiap 10 tahun itu membabitkan 23,112 tempat kediaman dan 57,246 ahli isi rumah. Lima kumpulan sasaran yang terbabit dalam kajian ini termasuk wanita pernah berkahwin berusia 15 hingga 59 tahun, remaja belum pernah berkahwin berusia 13 hingga 24 tahun, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu bujang berusia 25 hingga 49 tahun.

Laporan ini disiarkan menerusi akhbar-akhbar perdana baru-baru 
ini.