Kalau yang berstatus ibu tunggal tidak menjadi masalah, bagaimana jika yang ada suami?

Inilah isu yang saya pilih minggu ini, kiriman seorang anak yang sangat risau dengan ibunya yang tidak pernah lekat di rumah kerana selalu keluar melancong.

Kita ikuti cerita Annie (bukan nama sebenar) untuk renungan dan iktibar.

“Saya, anak sulung dalam adik-beradik seramai tiga orang, dua perempuan dan seorang lelaki. Ayah seorang pegawai bank dan ibu pesara kerajaan yang baharu dua tahun pencen.

“Orang pencen sekarang tidak sama macam dahulu, balik kampung, jaga kebun dan ke masjid. Fokus hal-hal agama dan merapatkan silaturahim dengan saudara mara.

“Tapi tidak bagi ibu saya. Banyak aktiviti yang dia atur dengan kawan-kawannya. “Sejak belum pencen, dia sudah merancang untuk melancong ke luar negara dengan kawan-kawan.

“Hari-hari tengok tiket murah. Saya kira sejak pencen dua tahun lalu, sudah banyak tempat yang ibu pergi dengan kawan-kawannya. Bukan sehari dua, tetapi ada yang sampai berminggu-minggu.

“Saya tidak kisah ibu nak pergi mana, tapi yang saya kisah sebab ibu selalu tinggalkan ayah. Walaupun ayah masih bekerja, saya rasa ibu tidak patut kerap sangat tinggalkan ayah.

“Makan minum ayah terabai sebab saya bekerja dan tinggal berasingan. Dua adik masih di universiti dan balik hanya hujung minggu.

“Ayah tinggal seorang diri kalau ibu pergi melancong. Saya kasihankan ayah sebab ayah terlalu baik, tidak pernah marah ibu. Ikut sahaja apa yang ibu hendak.

“Ayah kata, ibu sudah penat kerja, bagi dia peluang berseronok dengan kawan-kawannya, lagipun dia guna duit dia. Tak minta duit ayah pun. Saya faham situasi itu. Tapi saya fikirkan tanggungjawab ibu kepada ayah.

“Orang lain pun melancong juga tetapi tidak sekerap ibu. Sudahlah semasa masih bekerja, ayah banyak bertolak ansur dengan ibu. Ini selepas pencen, ibu pula tidak dapat meluangkan masa untuk ayah.

“Saya pernah cadangkan untuk hantar mereka berdua pergi haji atau umrah tetapi ibu asyik mengelak. Dia lebih utamakan melancong dengan geng dia. Pada hal, itu yang lebih afdal.

“Susah juga apabila ibu kita terlalu bebas. Ikut suka hati dia sahaja hendak buat apa. Dapat pula suami yang baik macam ayah, lagi menjadi-jadilah ibu.

“Nenek sebelah ayah mula merungut sebab ibu selalu bercuti sampai tidak menghadiri kenduri-kendara di kampung. Yang selalu balik saya dengan ayah. Sakit telinga dengar nenek membebel pasal ibu.

“Saya pernah dengar nenek marahkan ayah kerana terlalu baik dengan ibu sampai tidak menegur sikap ibu. Sedih hati saya bila nenek marah ayah sebab ibu.

“Sebagai anak saya tidak menyalahkan ayah dan ibu. Tetapi saya terkilan sebab ibu terlalu terpengaruh dengan kawan-kawan sampai terlupa yang dia ada suami, tidak seperti kebanyakan kawan-kawannya yang berstatus ibu tunggal.

“Saya harap ibu akan sedar akan hal ini dan cepat berpatah balik. Cukup-cukuplah melancong, fokus untuk ayah lagi bagus. Pahala pun berganda.

“Saya juga berharap ayah akan menasihati ibu demi kebaikan rumah tangga mereka. Walaupun ayah reda dan izinkan ibu berjalan tetapi saya harap jangan sampai ibu terlalai. Ibu juga patut faham dan tidak ambil kesempatan dengan kebaikan ayah sebaliknya berterima kasih dan jaga batas dan akhlak sebagai isteri.

“Jangan sampai duit habis baharu menyesal. Bukankah lebih baik simpan duit untuk sakit demam atau sedekah ke rumah kebajikan, dapat juga pahala.

“Saya risau jika perkara ini berterusan, ayah akan hilang sabar dan timbul masalah. Doa saya semoga Allah melindungi rumah tangga ayah dan ibu. Amin...,” doa Annie sambil menutup ceritanya.

Itulah kisah dunia. Memang sekarang menjadi trend dalam masyarakat kita, isteri-isteri pergi melancong dengan kawan-kawan tanpa suami.

Keadaan ini tidak dapat disekat kerana ia sudah menjadi budaya dalam masyarakat. Cuma yang terbabit perlu ada rasa tanggungjawab dan menjaga batas sebagai isteri.

Suami pula, perlu juga menegur dan menasihati isteri jika sampai terabai rumah tangga dan rasa hormat kepada mereka. Jangan sampai tidak terkawal.

Mengundur diri, pesanan ikhlas saya, seorang wanita tidak akan mengalah selagi dia tidak kalah tetapi akan menangis apabila dia menang.

Salam.