Banyak sebab yang menjurus kepada botak. Di antaranya faktor genetik, masalah kesihatan rambut dan sengaja dicukur habis. Bagi lelaki yang memang telah sedia botak, merasakan lebih mudah menjaga kepala yang tidak berambut daripada menjaga rambut yang remeh.

Bagi Terence Dass, 35, pengacara Selamat Pagi Malaysia, TV1 dan pengacara majlis, meyakini botak yang dialaminya berpunca daripada faktor genetik.

Ini kerana ayahnya juga botak walaupun ketika itu berusia 40-an.

Ujarnya, mungkin juga apabila tiba pada dirinya, faktor genetik membawa kepada kepala botak itu dipercepatkan dan dia mengalaminya pada usia yang sangat muda, iaitu 20 tahun.

Terence yang telah pun mendirikan rumah tangga dengan seorang guru, Irmawaty Ahmad Rusdy, 35, menambah, faktor lain seperti suatu masa dahulu rambutnya pernah diluntur warna dan diwarnakan dengan warna lain bagi sebuah program televisyen, mungkin juga menjadi penyebab mengapa rambutnya mulai gugur.

“Saya rasa mungkin juga atas sebab tersebut, rambut saya mulai tidak sihat dan tidak subur menyebabkan banyak gugur. Sebenarnya semasa saya berumur 20 tahun lagi saya sudah tidak mempunyai rambut.

“Semasa saya berkahwin pun kepala saya sudah botak. Isteri tidak pernah bertanya dan tidak kisah sama ada saya botak. Mungkin dia tahu mengapa saya botak kerana melihat bapa saya.

“Mungkin dia juga suka saya botak kerana nampak lebih segak dan kemas. Lagi pun mudah dan cepat hendak bersiap. Tidak perlu mencuci kepala dengan masa yang lama, tidak perlu menggunakan banyak syampu, tidak perlu mengeringkan rambut dan tidak perlu bersikat,” katanya bergurau.

Tambahnya, setelah kepalanya botak, dia tidak pernah mencuba pelbagai perubatan atau mencuba rawatan menanam rambut kerana baginya, cara itu tidak realistik dan memerlukan penjagaan yang lebih sukar.

Sekarang pun semakin ramai lelaki yang memilih untuk berkepala botak kerana sukakan gaya sebegini. Dahulu katanya, mungkin orang malu apabila botak tetapi sekarang berkepala botak bukan lagi sesuatu yang pelik.

Bagi Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali, 30, botak yang dialami berpunca daripada silap sendiri dan bukannya kerana genetik. Pada mulanya dia mengalami masalah kelemumur yang agak teruk.

Ceritanya lagi, seorang kawan telah menyuruhnya menggosok-gosokkan kulit kepalanya dengan limau nipis bagi menghilangkan kelemumur tersebut. Bagaimanapun kulit kepalanya mungkin rosak kerana terlebih asid daripada limau dan menjadikan rambutnya mulai gugur.

Kata usahawan muda ini, dia kemudian cuba membersihkan kulit kepalanya dengan perapi rambut.

Ingatkan kulit kepalanya akan bersih namun ujarnya, rambut ‘merajuk’ dan tidak mahu tumbuh-tumbuh lagi.

“Mula-mula rambut tengah kepala yang banyak gugur dan mula botak. Saya rasa sedih, kecewa dan seperti hendak menangis. Hari-hari apabila bangun tidur, mesti ada dalam 40 helai rambut gugur yang melekat pada bantal.

“Ia berlaku begitu cepat dan mendadak. Dalam tempoh tiga minggu habis semua rambut gugur. Apabila saya pegang sahaja rambut, banyak yang tertanggal, macam individu yang gugur rambut selepas rawatan kemoterapi.

“Kawan pula suruh saya sapukan syampu pada seluruh kepala dan biarkan dua tiga jam tanpa dibasuh. Tapi macam itu juga. Saya yakin rambut saya tidak mahu tumbuh lagi.

“Silapnya saya ketika itu ialah tidak pergi mendapatkan rawatan pakar rambut. Bagaimanapun sekarang saya sudah boleh menerima kenyataan yang saya botak dan suka dengan rupa sekarang ini.

“Dengan kepala licin seperti ini kawan-kawan kata saya nampak lebih macho dan tidak nampak tua. Kawan-kawan perempuan pun kata saya nampak lebih seksi dan mereka suka dengan penampilan saya sekarang. Malah ada yang mahu memegang kepala saya.

“Sekarang, kalau saya pegang kepala dan rasa ada anak-anak rambut yang hendak tumbuh, cepat-cepat saya cukur. Saya sudah selesa dengan berkepala botak,” katanya yang lebih mesra dipanggil Abib sahaja.

 

Botak seksi?  Mungkin kenyataan itu ada kebenarannya. Ramai lelaki botak ternyata mempunyai tarikan yang luar biasa. Ikuti pandangan di bawah yang dipetik dari V-Male.

1. Lelaki botak lebih kemas
Memiliki rambut tetapi kalau gugur pun boleh menimbulkan masalah. Berbanding lelaki botak, mereka tidak perlu ‘serabut’ dengan masalah ini. Tidak perlu risau pada rambut yang gugur merata-rata sehingga mencetuskan rasa kurang senang orang keliling. Sebaliknya, mereka akan kelihatan lebih seksi dan kemas dengan apa juga penampilan. Ini kerana mereka tidak perlu ‘ribut’ dengan gel rambut dan sebagainya. 

2.  Lelaki botak kelihatan lebih sasa 
Bruce Willis, Vin Diesel, Jason Statham, dan Samuel L. Jackson semua aktor Hollywood  ini nampak lebih sasa setiap kali beraksi dengan gaya lelaki botak atau rambut pendek berbanding lelaki-lelaki yang mempunyai rambut panjang atau diikat. Pelakon botak sering diberi peranan hero dalam filem-filem aksi atau superhero.

3. Botak simbol kedewasaan 
Kebanyakan lelaki botak menampakkan fikiran yang lebih matang seiring dengan kedewasaannya. Ini mungkin kerana semakin kurang rambut atau botak seorang lelaki itu, semakin jelas identiti gendernya dibandingkan lelaki berambut panjang atau kerinting. Memang secara logik sebenarnya tidak terlalu ada kaitan mengenai potongan rambut dengan kematangan, namun lelaki botak nampak tidak ‘main-main’ dan bertanggungjawab.

4. Lelaki botak tidak cerewet dengan penampilan
Biasakan melihat lelaki yang  ‘pantang’ jumpa cermin asyik mahu membetulkan rambut sahaja? Sama juga seperti wanita, lelaki berambut akan terdorong untuk sentiasa memeriksa dan membetulkan rambutnya takut kusut. Beza dengan lelaki botak yang tidak perlu risau hal itu. Kebiasaan dengan kepala yang tidak banyak perawatan, mereka cenderung memilih hal yang ringkas dan tidak cerewet dengan penampilan.

5 . Rambut yang sedikit Menyerlahkan ‘Aset’ Yang Lain
Dengan rambut yang  sedikit atau botak, anda lebih mudah melihat ekspresi mereka. Matanya, senyumnya, raut wajahnya, sehingga mampu dilihat dengan jelas bahasa tubuh dan apa yang dia bicarakan.

6. lelaki Botak Lebih Percaya Diri
Dengan kepala yang tanpa beban, gaya dandan yang ringkas dan personaliti yang lebih dewasa, mereka tampak lebih percaya diri. Lelaki botak punya percaya diri yang tinggi dan itulah yang membuat mereka nampak lebih seksi!