Bagi kita, setiap tahun, peningkatan usia hanyalah satu angka, namun, bagi sesetengah lelaki, ia dijadikan penanda aras. sejauh mana pencapaian telah diperoleh. Pada ketika itu, duit, pangkat, kestabilan dan kematangan sudah berada dalam tangan.

Ketika ini, kes-kes cabaran dan godaan daripada wanita pun mula timbul. Kalau hati dan iman tidak kuat, sudah tentu nafsu menguasai diri.

Menurut Pakar Motivasi dan Kaunselor Keluarga, Hushim Salleh, ungkapan Life begins At 40, adalah bersangkutan dengan fitrah lelaki yang berkeinginan berkahwin lebih dari satu.

Namun sebab dikurniakan akal, golongan ini membataskan kemahuan dengan kemampuan mereka, dicampur rasa kasih dan simpati terhadap isteri juga anak-anak.

“Apabila berbicara mengenai lelaki yang berubah sikap selepas umur 40-an, banyak kes saya kendalikan. Bagaimana rumah tangga yang harmoni akhirnya berkecamuk disebabkan suami mula melupakan peranan sebagai bapa dan suami sebaik ada orang ketiga.

“Tetapi tidak ramai pun golongan seperti ini sebenarnya. Masih ramai lelaki yang setia dan menjadikan rumah tangga aman bahagia.

“Bagi golongan seperti ini, sepatutnya, apabila semakin berusia matang, mereka perlu membahagiakan keluarga dan isteri yang bersusah payah membangun kehidupan dari awal, tapi terjadi sebaliknya.

Apabila ditanya mengapa lelaki berusia 40-an dapat menambat dan daya tarikan gadis dan wanita, Hushim menegaskan, ketika berusia 40-an, lelaki dilihat lebih matang, berada di kemuncak kerjaya, stabil kedudukan, tidak mudah marah, emosi lebih stabil, gentlemen dan pengasih.

Biarpun begitu, katanya, tidak semua yang berjaya kerana masih ada yang bergelut membina kehidupan, malah masih bergantung kepada duit isteri kerana tidak cukup duit setiap bulan.

Jelasnya, lelaki 40-an pada kategori ini masih pada kesihatan yang optimum dan terserlah ciri kelelakian sejati.

“Ketika ini, ego golongan Adam terarah menjadi super ego iaitu satu keadaan di mana mereka mula sudah tidak mendengar kata, terasa bebas dan mampu melakukan apa sahaja yang mereka mahukan.

“Bagi mereka, apa yang mereka lakukan ketika ini bukan lagi untuk keluarga, tetapi untuk keseronokan diri sendiri, teman wanita (selalunya) dan rakan-rakan dan sanggup melupakan keluarga.

“Jika dilihat, lelaki pada kategori ini masih tidak cenderung ke arah akhirat kerana beranggapan kematian itu masih jauh dan berpendapat hanya akan beramal selepas usia tua nanti,” katanya.

Hushim memberitahu, dari segi penampilan, golongan ini dilihat lebih berketrampilan, berimej, cerdas dan berkarisme.

Pun begitu dia sempat menasihati golongan wanita agar perlu berhati-hati dengan lelaki golongan ini apa lagi yang mempunyai duit berlebihan.

“Mereka merasakan kasih sayang boleh dibeli dengan duit.

“Pada waktu ini bukan kesetiaan yang mereka perlukan, tetapi belaian gadis-gadis manis yang dapat ‘ditatang’ dengan wang demi keseronokan. Jadi berhati-hati dengan jenis ini,” katanya.

Pakar Toksikologi, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr. Norazlanshah Hazali, turut bersetuju dengan pendapat ada kategori lelaki yang mengaitkan keseronokan kehidupan mereka ketika usia melewati 40-an.

“Apabila semuanya sudah ada dalam tangan, anak-anak pun sudah menginjak dewasa, masa lapang pun banyak, mulalah terfikir untuk mencari yang lain. Saya melihat sendiri rakan-rakan sekeliling dalam kategori lelaki jenis ini yang berani curang dan ligat mencari wanita di luar.

“ Kebanyakan hanya untuk berseronok apatah lagi dapat pula respons daripada gadis yang diidamkan.

“Apabila ditanya mengapa mereka boleh beralih arah, antara faktor kata mereka ialah kurangnya layanan isteri atau pun isteri sudah tidak lagi ‘berseri’ macam dulu,” katanya.

Bagi Dr. Norazlanshah, fahaman kurangnya layanan isteri sebenarnya salah, kerana suami harus faham mengenai tanggungjawab isteri yang kepenatan setelah menguruskan rumah tangga dan pada masa yang sama bekerja. Suami sepatutnya membantu isteri dalam hal ehwal rumah tangga. Namun itu juga katanya, bukan satu perkara yang membolehkan golongan wanita menidakkan layanan yang diperlukan suami.

“Secara biologinya, semakin berusia lelaki itu, mereka perlukan kasih sayang dan tuntutan seks, berlainan wanita yang semakin menghampiri menopaus akan merendahkan tabiat seksual mereka.

“Kebanyakan isteri juga tidak jaga pemakanan dan bersenam selepas berkahwin menjadikan badan mereka obes dan tidak pasang badan macam dahulu,” kata Dr. Norazlanshah.

Apapun dalam apa jua keadaan katanya, sifat curang sepatutnya tidak berlaku dalam hubungan suami isteri. Hubungan suami isteri perlu terjalin dengan sifat saling berterus-terang dan bertimbang rasa.