Di sebalik populariti tersebut, beliau yang mesra disapa Dr. Ismail, tidak sunyi daripada kontroversi termasuk ada yang menyifatkan beliau sebagai seorang doktor lucah, gemar bercerita tentang hal-hal sulit berkenaan dengan hubungan seksual.

Hakikatnya, beliau bukan suka-suka ingin berkongsi maklumat dan cerita yang dianggap tabu dalam masyarakat.

Sebaliknya, beliau menganggap sebahagian daripada tugasnya sebagai seorang doktor untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan berguna, meskipun sedar akhirnya akan dicaci oleh segelintir yang tidak dapat menerima pemikiran tersebut.

Bukan suatu tugas mudah untuk memperbetulkan persepsi umum mengenai istilah seks, sekali gus mengubah corak pemikiran kepada yang lebih terbuka.

Setelah sekian lama menyepi dari arus perdana, kelibatnya kini jarang sekali dapat dilihat dan ada yang beranggapan beliau ‘merajuk’ dan meninggalkan kerjayanya.

Untuk mengetahui perkembangan terkini beliau, saya mengaturkan satu pertemuan dengan Dr. Ismail di kediamannya yang turut ditemani oleh isteri tercinta, Rafeekah Abdullah Sani dan dua daripada empat anak lelakinya, Muhd. Danial dan Muhd. Shafeeq.

Telah berusia 65 tahun, beliau masih sama seperti dahulu, fizikalnya juga tidak jauh berubah, malah bicaranya masih petah dengan slanga ‘orang dulu-dulu’ sedikit sebanyak mengimbau kembali celotehnya ketika bersiaran di televisyen suatu ketika dahulu.

Tepis persepsi bahawa seks ‘kotor’ untuk dibincangkan

“Saya tidaklah hilang terus seperti yang dikatakan orang. Saya masih ada di dalam bidang ini dan masih aktif menulis cuma artikel yang ditulis tidaklah ‘sehangat’ seperti dahulu. Orang sekarang sudah mula menerima kepentingan kesihatan seksual dan kehadiran ramai pakar perubatan yang tidak lokek berkongsi pengetahuan tentang kesihatan seksual juga telah mengubah persepsi umum.

“Berbanding dahulu, agak sukar untuk saya mendedahkan secara terbuka dan menyeluruh tentang kesihatan seksual terutamanya dalam kalangan lelaki, malah dipandang negatif oleh masyarakat. Hakikatnya, di sebalik cemuhan itu ramai yang telah berjumpa dengan saya bercerita tentang masalah mereka dan ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sesuatu penyakit.

“Ketika itu saya memahami bahawa orang kita takut dengan realiti dan tidak boleh menerima kenyataan bahawa lelaki juga mempunyai masalah berkaitan dengan seksual. Jadi, mereka melemparkan kata-kata dan gelaran yang tidak baik kepada saya seperti doktor lucah, doktor seks, dan doktor porno kerana mereka tidak boleh membuka minda untuk menerimanya.

“Bagi saya, apa yang ingin saya jelaskan tentang sesuatu masalah seksual itu saya tidak suka untuk berlapik-lapik malah saya akan terangkan begitu terperinci bagi membolehkan masyarakat memahaminya.

“Saya mahu mereka berdepan dengan kenyataan dan terima bahawa masalah seksual adalah masalah kesihatan yang tidak perlu disorokkan lagi,” katanya.

Ketika berkhidmat sebagai doktor perubatan am, Dr. Ismail kemudiannya menceburi bidang andrologi (sakit tuan) di Australia pada 1987.

Bermula dari situ menjadi titik tolak untuk beliau membuat kemunculan di media arus perdana dan tujuannya hanyalah satu iaitu, berkongsi maklumat dan mahu meningkatkan kesedaran supaya lelaki tampil ke hadapan untuk mendapatkan rawatan.

Ujarnya, pada zaman dahulu, kefahaman tentang sakit tuan langsung tidak wujud dan mungkin beliau antara orang terawal yang menggunakan istilah tersebut.

Bagi masyarakat, seks adalah satu perkataan kotor dan beliau mahu menjadikan perkataan tersebut sebagai sesuatu yang informatif dari sudut pandang positif. - Gambar AMIR KHALID

Pernah dihalang bersiaran di televisyen

Walaupun terus dihentam, Dr. Mohd. Ismail Mohd. Tambi tetap meneruskan tugasnya seperti biasa malah pernah ‘di gam’ oleh seorang Menteri ketika itu daripada bersiaran di televisyen kerana terlalu terbuka melakukan perbincangan masalah seksual.

Ujarnya, dia masih ingat lagi program yang disertainya itu sangat popular dan menjadi tarikan orang muda untuk menontonnya, namun perkara yang dibincangkan ketika itu agak janggal dan kedengaran menakutkan, ada segelintir yang tidak boleh menerimanya lalu dihalang untuk terus bersiaran.

“Isteri saya sendiri pernah meminta untuk saya berhenti daripada berkongsi maklumat tentang masalah seksual dan tidak lagi menulis sesuatu yang boleh menyebabkan kontroversi.

“Mungkin disebabkan ramai yang berkata buruk tentang saya menyebabkan dia terlalu negatif dengan perkara ini tetapi saya hanya memikirkan saya melakukan sesuatu yang betul dan tidak akan melarikan diri.

“Berbeza dengan anak-anak saya pula, mereka sering dipuji di sekolah kerana mempunyai bapa yang berani bercakap tentang soal ini dan langsung tidak menjadi masalah kepada mereka,” katanya yang turut memberikan pendedahan tentang pendidikan seks kepada anak-anaknya ketika usia masih kecil.

Sementara itu, tempias kontroversi Dr. Ismail turut terkena pada isterinya, Rafeekah Abdullah Sani, yang bertugas sebagai guru ketika itu.

Apa yang berlaku sedikit sebanyak memberi kesan terhadapnya dari segi psikologi apabila orang sekeliling berkata buruk tentang suaminya.

Namun, lama-kelamaan dia menerima pendirian Dr. Ismail untuk terus memperjuangkan isu tersebut dan tidak menolak pentingnya pendedahan terhadap masalah seksual yang akan menjamin keharmonian rumah tangga.

Rafeeekah juga menyedari bahawa betapa penting pendidikan seks kepada anak-anak kecil yang perlu diterapkan supaya boleh mengelakkan masalah sosial seperti seks rambang, mengandung anak luar nikah dan kes pembuangan bayi yang semakin meningkat di dalam negara.

Luang masa bersama keluarga dan berkebun

Bersara wajib sejak 2004 ketika usia 55 tahun, Dr. Ismail yang pernah berkhidmat di Pusat Kepakaran Reproduksi Manusia di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), mengambil keputusan bersara awal kerana ingin cuba  bertapak dalam sektor swasta, selain mahu meluangkan masa yang berkualiti dengan keluarga.

Menyedari bahawa kepakarannya masih diperlukan, beliau kini hanya menjadi konsultan klinikal sakit tuan di Hospital Servis Damai.

Peranan baharu itu, membuatkan beliau  tidak lagi terikat dengan tugasan dan masa yang terhad.

“Saya banyak meluangkan masa dengan keluarga dan mempunyai minat yang sangat tinggi terhadap tumbuh-tumbuhan. Jika tidak berkebun, saya lebih gemar berjalan di pusat beli-belah dan masa saya bersama anak-anak lebih banyak kepada melakukan perbincangan serta menonton filem di rumah.

“Jika saya bertugas di hospital, saya akan pastikan sebelum pukul 3 petang, saya telah berada di rumah kerana saya dan isteri juga menjaga cucu. Boleh dikatakan kehidupan saya sekarang sangat santai dan banyak masa diluangkan di rumah sahaja,” katanya.

Masih lagi menulis artikel-artikel berkenaan dengan kesihatan seksual lelaki di akhbar dan majalah tempatan, sehingga kini Dr.Ismail juga telah menghasilkan  20 buah buku ilmiah dan akademik dengan harapan membantu meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan seksual.

Beliau juga  mahu masyarakat lebih terbuka membincangkan isu yang masih dianggap tabu itu.