Beliau yang merupakan Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis perlu mencari maklumat bagi melengkapkan siasatan kes kemalangan ngeri tersebut yang melibatkan seorang penunggang motosikal dan kereta.

Sesekali beliau memerhatikan anggotanya yang sibuk menyuluh jalan untuk mengutip cebisan-cebisan daging dan organ dalaman penunggang motosikal yang berkecai akibat digilis.

“Keadaan di lokasi kejadian terlalu gelap. Saya sendiri terpaksa menggunakan lampu suluh untuk melakukan siasatan.

“Proses mengutip cebisan mayat oleh anggota polis trafik juga mengambil masa,” katanya kepada Mega Wira ketika menceritakan kejadian pada tahun 2007 itu.

Mazrie berkata, selesai melakukan siasatan, beliau yang ditemani seorang lagi anggotanya beredar dari tempat kejadian menaiki kereta.

Ujarnya, tidak sampai lima meter dari lokasi kejadian beliau tiba-tiba terpandang satu objek yang mencurigakan di kawasan pembahagi jalan.

“Saya dan anggota terkejut apabila mendapati objek itu adalah jantung mangsa kemalangan yang tertinggal di lokasi kejadian sedangkan pihak polis trafik telah bergerak ke Hospital Kuala Lipis yang terletak lebih kurang 80 kilometer.

“Jadi saya terpaksa kutip organ itu sebelum membungkusnya ke dalam beg plastik untuk diserahkan ke pihak hospital,” katanya sambil memberitahu kawasan Merapuh boleh dikatakan laluan maut dengan purata 60 kemalangan setahun.

Menceritakan mengenai kerjayanya sebagai pegawai polis, Mazrie, 36 yang telah dinaikkan pangkat sebagai Asisten Superintenden memberitahu, beliau kini bertugas sebagai Pegawai Turus Media/Kempen/Pendidikan Cawangan Kepolisan Am, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Kata anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu, beliau memulakan langkahnya menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2006 atas galakkan arwah ibunya, Che Zaharah Mohd. Ali serta ayahnya, Ismail Salleh, 74.

Selepas ditugaskan di Kuala Lipis, beliau ditukarkan ke IPD Putrajaya pada 2013 sebagai pegawai penyiasat selama tiga tahun sebelum menyandang jawatan terkini di Bukit Aman.

Mazrie menjelaskan, pengalaman sebagai pegawai penyiasat trafik selama 10 tahun memberinya pengetahuan untuk mengendalikan kes kemalangan sehingga selesai.

“Orang ramai hanya nampak tugas sebagai pegawai penyiasat trafik ambil laporan hantar kepada ketua jabatan, tetapi cabaran sebenar bermula apabila kita berdepan dengan keluarga si mati ketika di hospital.

“Selepas itu kita perlu mengetahui punca kejadian daripada hasil bedah siasat bagi melengkapkan siasatan,” jelasnya.