Berbanding zaman nenek dan ibu bapa kita dahulu, yang perlu membuat sendiri kuih-muih raya dalam keadaan tiada kemudahan alatan membuat kuih.

Ramai yang memiliki nostalgia bagaimana ‘berpeluhnya’ memukul telur hingga naik gebu di dalam pasu kerana tiada mesin pengadun untuk membuat kuih baulu, kemudian membakarnya menggunakan sabut.

Tapak tangan pula naik melecet dek kerana mengisar sendiri gula pasir bagi mendapatkan gula halus, menggoreng dan mengisar kacang dan pelbagai lagi kerja yang cukup meletihkan.

Kuih baulu, bangkit kelapa, kuih makmur, semperit, agar-agar kering, kuih siput, tat nanas, rempeyek, muruku, kerepek, dodol, wajik dan banyak lagi merupakan antara kuih-muih tradisional yang dapat dinikmati semasa hari raya.

Bagaimana susah dan letih pun hingga tekak terasa begitu kering, mereka berjaya juga menyiapkan beberapa jenis kuih dan berbangga kerana dapat membuat sendiri untuk anak-anak dan keluarga.

Namun itu dahulu. Yang pasti, membuat persiapan raya pada masa sekarang tidak lagi sesukar dahulu, tidak perlu lagi bersusah payah bersengkang mata untuk membuat kuih-muih raya.

Tunjuk sahaja mana yang anda suka, bayar dan bawa pulang untuk diisi di dalam balang kuih. Di pejabat-pejabat pun ramai yang menjual kuih-muih raya, malah tempahan sudah dibuka sebulan sebelum raya lagi.

Ramai juga yang mungkin terlupa hendak menempah awal. Jika anda masih belum membeli kuih-muih raya, jangan risau kerana anda masih boleh mendapatkannya daripada Anis Food Sdn. Bhd. yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam. Istimewanya di sini, selain kuih moden terdapat banyak kuih tradisional yang tetap disukai sehingga ke hari ini.

Menurut pemiliknya, Junaidy Abu Bakar, 44, perniagaan kedainya bermula dengan kek coklat dan tat nanas.

Tempoh 11 tahun berniaga, kek coklat dan tat nanas masih bertahan hingga ke hari ini dan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

“Resipi kek coklat adalah daripada resipi isteri yang sudah diubah suai. Namun, tat nanas ini merupakan resipi tradisional daripada seorang wanita yang dipanggil Bonda Meah yang sering menghantar tat nanas ini untuk dijual di stesen minyak Petronas.

“Bukan senang hendak mendapatkan resipi ini kerana ia resipi asal yang sangat dijaganya dan tidak diberikan kepada orang lain. Namun, kerana solat hajat dan doa daripada isteri, akhirnya Bonda Meah memberikan resipi ini kepada isteri dengan beberapa syarat.

“Doh tat nanas ini menggunakan mentega yang berkualiti. dan intinya kami masak sendiri. Proses membuat tat ini dilakukan secara manual. Kami pernah cuba membuat menggunakan mesin tetapi tidak menjadi kerana dohnya terlalu rapuh.

“Kelebihan tat ini adalah pada dohnya yang lembut rangup dan intinya yang manis masam dan membumbung.

“Kami tidak lokek inti dan ini yang menjadi kesukaan pelanggan.

“Selain tat nanas, kami juga ada bermacam jenis biskut tradisional yang dihantar ke sini oleh vendor industri kecil sederhana (IKS). Mereka membuatnya di rumah dan tidak tahu di mana hendak dipasarkan.

“Pada masa sekarang, saya menjual hampir 500 jenis biskut dan kek. Niat saya hendak membantu jadi saya minta mereka hantar ke sini,” kata Junaidy yang dibantu isterinya, Sophiahanis Md Hanipah, 43.

Tahun ini, dia menambah satu lagi produk makanan yang disukai pada hari raya, iaitu ketupat palas yang dibuat sendiri oleh isterinya. Ketupat palas yang sudah siap dimasak ini dijual pada harga RM30 sekilogram.

Pembeli hanya perlu merebus atau mengukus sekejap apabila hendak makan atau keluarkan tiga atau empat jam daripada peti sejuk dan biarkan lembut sebelum dimakan.