Namun, apabila diperkenalkan dengan seorang kenalan yang membuat sendiri kuih tradisional masyarakat Cina itu, dia mula jatuh cinta dengan kelazatan kuih yang diperbuat daripada adunan manis sama dengan pilihan inti sama ada kacang merah, biji teratai, durian, mahupun kuning telur masin.

Jika sebelum ini, wanita berusia 44 tahun itu sibuk mengambil tempahan membuat kuih tradisional Melayu, biskut dan kek secara online, kali ini dia mahu mencuba sesuatu yang baharu dengan memperkenalkan sajian kuih bulan kepada pelanggannya.

Bersama seorang lagi rakan baik, Noranisah Md Lihin, 38, mereka berdua mempelajari cara-cara membuat kuih tersebut daripada kenalan memandangkan adanya pasaran dalam kalangan orang Melayu yang mahu menikmati kuih bulan berstatus halal.

“Kami mempelajari cara-cara membuat kuih bulan hanya dalam tempoh sebulan. Selepas mahir dan yakin dengan keenakan rasa kuih bulan ini, kami memberanikan diri mempromosikannya di Instagram.

“Tak sangka ramai sebenarnya orang Melayu yang menyukai kuih bulan, cuma mereka tidak tahu di mana boleh mendapatkan yang halal.

“Terkejut juga dengan sambutan yang diterima, tidak menang tangan menyiapkan tempahan daripada pelanggan walaupun kami sendiri masih baharu dalam pembuatan kuih tradisi ini,” katanya ketika ditemui di bengkel masakan miliknya di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Dia yang mesra disapa sebagai Su, berkata, tidak ada beza dari segi bahan-bahan membuat kuih bulan dengan yang terdapat di pasaran, malah rasanya tetap sama, cuma dari segi tekstur kulit luar yang lebih lembab berbanding kuih bulan biasa.

Menurutnya, bahan-bahan asas yang diperlukan untuk membuat kuih bulan seperti tepung gandum, minyak kacang, sirap, dan pelbagai inti, boleh dibeli di pasaran.

Antara inti kuih bulan yang digemari ramai ialah kuning telur masin, durian, kacang merah, pandan, biji teratai.

“Kami cuba mengolah kuih bulan ini mengikut tekak orang Melayu kerana kuih bulan yang asal lebih kering dan mempunyai bau telur yang kuat.

“Biasanya kuih bulan perlu dibakar sebanyak tiga kali untuk mendapatkan tekstur kering dan kulit yang cantik, tetapi kami hanya membakarnya dua kali kerana bagi saya orang Melayu lebih suka manisan yang ‘lembab’ dan berlemak.

“Harganya juga sedikit mahal kerana cara pembuatan agak remeh dan menggunakan tangan sepenuhnya selain inti kuih bulan yang hanya boleh didapati pada sambutan perayaan kuih bulan sahaja.

“Namun, bagi peminat kuih bulan, harga bukan menjadi masalah malah tidak kisah berbelanja lebih untuk merasa semua jenis inti kuih bulan yang dihasilkan kami. Kami menjual kuih bulan yang berharga antara RM10 hingga RM18 sebiji dengan berat 160 gram,” katanya.

Bagi mereka yang mahu mencuba sendiri keenakan kuih bulan yang dihasilkan Su boleh melayari laman Instagram, @tantie_ismail atau menghubungi talian 013-2832673.