Malah, golongan ini juga menunjukkan peningkatan dalam aktiviti keusahawanan sebanyak tujuh peratus di 61 buah negara di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, di Malaysia sebanyak 19.7 peratus usahawan kecil dan sederhana (SME) adalah dalam kalangan wanita.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 19.7 peratus melibatkan perniagaan dalam sektor perkhidmatan, 6.9 peratus sektor pembuatan dan kurang satu peratus dalam sektor-sektor lain.

“Tahun lalu, kerajaan memperuntuk RM4.3 bilion bawah Program Pembangunan SME dan daripada jumlah itu, RM2.36 billion diperuntuk untuk golongan wanita melalui penglibatan pelbagai agensi,” katanya ketika merasmikan Persekutuan Perdagangan dan Industri Wanita Antarabangsa (IWFCI) Malaysia sempena Sidang Kemuncak Perdagangan Wanita Global 2017, baru-baru ini.

Tidak menolak penglibatan wanita dalam perniagaan meningkat dengan mendadak, Ketua Pengarah Kreatif Bon Fashion Legacy Sdn. Bhd., Bon Zainal Harun mengakui, potensi wanita dalam dunia perniagaan sangat besar dan mampu melakar nama pada peringkat global.

Pun begitu, golongan wanita harus bijak merebut peluang dan membuat promosi mengetengahkan produk sendiri agar pelanggan mendapat maklumat tentang produk itu dengan mudah selain mengimbangi emosi dan kepentingan diri.

“Hakikatnya, kehebatan wanita sukar ditandingi kerana bekerja serta menjaga keluarga dan pada pandangan saya, jika wanita berani menongkah arus dalam dunia perniagaan, dia mampu menjadi hebat berbanding lelaki.

“Untuk menempa nama di luar negara, wanita perlu tahu keadaan pasaran di global, perlu ada ilmu untuk pergi lebih jauh dan tidak boleh mengharapkan produk itu ‘bergerak’ sendiri,” jelasnya pada program perbincangan The Journey From Local to Global, baru-baru ini.

Bagi Pengasas Tanamera Group Sdn. Bhd., Faridah Ahmad Fadzil, wanita perlu tampil berbeza dalam mengeluarkan produk agar menepati kehendak dan permintaan pasaran terutama pada peringkat antarabangsa.

Tambahnya, kemampuan besar wanita dalam perniagaan tidak harus terkesan dengan apa jua cabaran yang dihadapi kerana ia adalah peluang untuk meningkatkan potensi diri.

“Wanita kena berani mengatasi perubahan dalam dunia perniagaan dan tidak boleh berada di takuk lama. Mereka perlu belajar kehendak pasaran dan bukan membuat sesuatu yang tidak kehendaki,” jelasnya.

Menafikan halangan jantina dalam bidang tertentu, Pengasas Trekkers Asia and Amazing Trekkers Club, Hazleen Panayiatou berkata, wanita tidak perlu berfikir soal persaingan jantina dalam apa jua bidang termasuk dunia perniagaan, apa yang penting wanita atau lelaki adalah manusia.

“Sudah sampai masa tidak lagi menjadikan alasan halangan jantina kerana manusia mempunyai keupayaan berbeza sama ada wanita atau lelaki, jadi usah terlalu berfikir tentang perkara itu.

“Apa yang penting tampil dengan unik, jangan takut dan rajin bertanya dengan orang tempatan negara yang kamu mahu berada kerana mereka adalah kunci kejayaan dalam perniagaan,” jelasnya.