Biarpun lokasinya kelihatan sedikit ke dalam dari tepi jalan berbanding premis perniagaan lain, kafe berkonsepkan hipster moden itu ternyata menawarkan tempat santai yang cukup selesa bersama teman mahupun ahli keluarga.

Menawarkan pelbagai jenis makanan, pengunjung boleh memilih menu Barat dan hidangan Asia dengan menu masakan Cina, Thailand dan Korea.

Pemilik dan pengurus Koppe Me, Norhasliza Zakaria, 32, berkata, antara menu istimewa yang sering kali disukai pelanggan ialah buttermilk pasta dan tomyam laksa.

“Buttermilk pasta biasanya hanya mudah didapati di restoran-restoran Cina dan sukar dilihat di kedai makan lain.

“Bagi hidangan tomyam laksa pula, resipi ini adalah rekaan saya sendiri dengan mencampurkan bahan-bahan seperti makanan laut, cendawan dan nanas,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut Norhasliza, pelanggan juga boleh cuba menikmati hidangan Korea yang disajikan, iaitu Chicken Ramen Noodles dan Udon Beef Noodles sementara penggemar masakan Thailand harus memilih Phad Thai Noodles dan Phad Kra Pao Ghai (Hot Thai Basil Chicken).

Selain itu, hidangan big burger yang disajikan pula dikisar menggunakan daging segar dan bukannya dari jenis sejuk beku.

Yang penting, harga makanan ditawarkan adalah berpatutan antara RM6 ke RM60, mengikut set menu yang dipesan.

Dalam pada itu, Norhasliza berkata, minuman air buah-buahan di Koppe Me juga istimewa kerana dikisar secara cold press tanpa tambahan air gula.

Malahan, air buah-buahan tersebut yang disajikan dalam botol, turut diasingkan daripada ais batu.

“Antara minuman ‘original’ ini yang kita ada adalah seperti air pegaga, ketumbar, avokado, delima, buah naga, mangga, oren dan tembikai.

“Bagi mereka yang menggemari hidangan pencuci mulut pula, kita menyediakan kek berbeza pada setiap hari yang dibuat di rumah termasuk kek tiramisu,” katanya.

Tambah beliau, kafe yang boleh memuatkan sehingga 60 orang pengunjung buat satu-satu masa itu turut menawarkan pakej parti hari jadi selain memiliki ruangan bebas pendingin hawa sebagai tempat merokok.

“Selain itu, kita mempunyai 11 orang pekerja termasuk pelajar praktikal dari Pusat Giat Mara Larut, Selama yang mengikuti latihan industri bagi program Sijil Kulinari kerana kita mempunyai kolaborasi untuk menerima mereka selama tiga bulan,” katanya. - Gambar KAMAL BASIR WAHAB