Justeru bagi mengiktiraf dan menghargai usahawan serta penggiat kraf dalam membangunkan dan memajukan industri kraf negara, Kraftangan Malaysia setiap tahun tampil dengan sambutan Hari Kraf Kebangsaan (HKK).

Tahun ini, tema Kraf Menjana Ekonomi dipilih bertepatan dengan usaha berterusan agensi bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia itu mengkomersialkan produk kraf seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Sempena sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2017 (HKK 2017) yang berlangsung dari 22 Februari lalu sehingga 6 Mac ini di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Native Art (Seni Asli) dipilih sebagai konsep pembangunan kraf baharu.

Konsep tersebut dipilih kerana menampilkan keunikan unsur-unsur tradisional masyarakat Malaysia seperti motif, warna, reka corak, sosiobudaya dan fungsi yang diolah dengan inspirasi seni moden bagi menghasilkan produk kraf moden kontemporari, yang mempunyai nilai komersial.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, industri kraf telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM508.3 juta bagi tahun 2016 iaitu peningkatan sebanyak 0.6 peratus berbanding tahun 2015.

Katanya, angka itu melepasi sasaran yang ditetapkan oleh kementerian sebanyak RM500 juta.

“Walaupun industri kraf menunjukkan peningkatan, usaha melestarikannya perlu dipergiat terutama apabila kita sentiasa berdepan dengan keadaan ketidaktentuan pasaran kewangan.

“Terbaharu, Kraftangan Malaysia memperkenal Projek Kraf Kampungku melalui program Satu Daerah Satu Industri. Projek ini bertujuan meningkatkan ekonomi komuniti setempat dengan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan setempat.

“Ia diharap dapat meningkatkan keupayaan dan mengukuhkan usahawan melalui pembangunan produk, peningkatan kemahiran dan produktiviti, serta akses kepada pasaran, dan kebolehcapaian produk kraf dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian HKK 2017 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perasmian disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang turut meminjamkan 28 busana peribadinya untuk dipamerkan.

Pameran dikenali sebagai Busana Perdana menampilkan 22 busana batik dan enam busana songket milik Rosmah, menjadi antara tarikan utama HKK kali ini.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, Kraftangan Malaysia turut memperkenal standard batik dan songket dengan pengenalan standard bawah MS 692 : 2007 untuk batik dan MS 1747-1 : 2007 untuk tenunan.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha menjenamakan semula fabrik warisan tersebut agar setanding dengan tekstil antarabangsa lain.

“Pada masa sama ia diharap dapat meningkatkan keyakinan pembeli dan pengimport untuk memperoleh produk kraf tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 400 usahawan kraf menyertai HKK 2017, yang sebahagian besarnya membawa konsep produk Natif ke Kreatif, dengan meletakkan sasaran pendapatan sebanyak RM15.0 juta dengan kedatangan pengunjung seramai 50,000 orang dalam acara ini.

Selain pameran Busana Perdana, pelbagai aktiviti menarik lain turut diadakan sepanjang HKK 2017 seperti jualan kraf, pameran jualan produk kraf rekaan baharu, demonstrasi kraf, demonstrasi pembuatan kuih tradisional, persembahan seni, pertandingan mewarna batik, konsert teh tarik, program pencarian wanita Melayu dan Piala Sri Batik.

Alumni Sekolah

019-333 4355

Pembaca dipelawa menghantar berita dan foto tentang aktiviti alumni sekolah ke ruangan Alumni Sekolah. Hantar melalui e-mel [email protected] atau alamatkan kepada: Ruangan Alumni Sekolah, Utusan Melayu (M) Berhad, No 44, Jalan Utusan, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 
Kuala Lumpur.

http://www.tutor.com.my/alumnisekolah