Begini persamaan mereka berdua; dalam pelajaran, Zamzarina dan Adriana mengambil jurusan perakaunan. Sementara dalam kerjaya, mereka sama-sama terlibat dalam bidang penyiaran meskipun menerusi rangkaian stesen televisyen yang berbeza.

Dalam pada itu, mereka turut aktif dalam dunia perniagaan apabila bergandingan menghasilkan produk gincu, ZarraB’Joy bawah syarikat milik Zamzarina, Harmony Mall Sdn. Bhd.

Dengan gandingan tersebut, makin menyerlahkan lagi persamaan yang sedia wujud antara mereka. Jadi, tidak hairan tatkala melihat keakraban antara dua wanita cantik ini sepanjang sesi fotografi dengan Mega HITS.

Mereka saling bergurau senda, bergelak tawa serta menyuarakan pendapat tentang penampilan masing-masing. Sekali pandang, hubungan mereka nampak seperti dua orang rakan baik yang berkongsi segala-galanya.

Seperti deja vu. Itulah yang dirasai Zamzarina apabila mengenangkan kisah karier pengacaraannya dan Adriana.

Justeru, isteri kepada Datuk Rizal Mansor ini sama sekali tidak membantah malah memberikan sokongan lebih daripada seratus peratus tatkala anak kesayangannya itu menunjukkan minat yang mendalam terhadap kerjaya pengacaraan.

“Saya sendiri tidak menyangka dia berpeluang bergelar pengacara dan mengikut jejak langkah saya.

“Sebenarnya dia sudah didedahkan dengan kerjaya ini dari zaman saya mula-mula bekerja di RTM lagi. Adakalanya saya membawa dia ke studio jika tiada pembantu yang menjaganya di rumah.

“Jadi dia sudah selalu melihat saya bekerja di depan kamera. Secara tidak langsung sedikit sebanyak dia menanam minat untuk turut sama terlibat dalam bidang penyiaran.

“Sementelah ketika bersekolah, cikgu-cikgu sering melantiknya menjadi pengacara majlis dan mendedahkannya kepada bidang ini.

“Dari situ, dia dapat membina karakter dan minat untuk bercakap depan khalayak ramai serta menjadi seorang yang berkeyakinan.

“Peluang untuk menjadi pengacara dan berada dalam industri ini bukan senang untuk diperoleh. Bagi saya, dia sudah ada bakat saya hanya menyokong untuk dia mengasah lagi bakatnya itu.

“Walaupun dia berjaya menamatkan diploma dan sedang meneruskan pengajian pada peringkat ijazah dalam bidang perakaunan, penglibatan dalam bidang pengacaraan dijadikan satu landasan yang bagus untuk membina namanya,” ujar pengacara yang popular menerusi program Apa Kata Wanita ini.

Sedar dengan pelbagai cabang kerja yang dilakukan oleh anaknya, Zamzarina tidak lupa untuk menyuntik semangat kepada Adriana setiap kali dia melalui saat-saat yang sukar.

Pada masa yang sama, wanita peramah ini sentiasa menanam keyakinan dalam diri dia bahawa anak gadisnya itu mampu melakukan yang sedang dijalankannya sekarang ini.

“Pada awalnya dia memang nampak tertekan kerana terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan pada satu masa. Tetapi saya sentiasa memberikan kata-kata positif untuknya.

“Saya beritahu dia, dalam apa jua perkara yang kita suka dan minat, kita tidak akan berkira terutama dari segi masa dan kepenatan.

“Saya sendiri pernah melalui semua itu suatu ketika dahulu. Penat melakukan pelbagai tugasan tetapi apabila kita begitu minat dengan yang kita buat, kita tidak akan rasa penat dengan semua itu.

“Kemudian setelah dia melalui dan menjalani semua itu dengan cara yang positif, dia sendiri merasai perasaan sama seperti yang saya lalui dahulu.

“Saya juga cakap kepadanya, dia mempunyai banyak kelebihan berbanding saya dahulu. Saya memasuki industri ini ketika berusia 30 tahun dan sudah mempunyai tiga orang anak. Sementara dia bermula seawal usia 21 tahun dan dia mempunyai peluang yang lebih cerah daripada saya.

“Namun dalam soal masa, saya yakin dia dapat mengatasinya biarpun tanpa kata-kata semangat daripada saya. Ini kerana dia bukan seorang anak muda yang suka membuang masa di luar rumah.

“Sebaliknya dia lebih gemar menghabiskan waktu dengan berehat di rumah.

“Jadi saya yakin dia mampu melalui kesibukan harian sebagai personaliti televisyen dan pelajar pada satu masa,” jelasnya dengan senyuman.

 

Adriana tak main-main

Seawal usia 22 tahun, gadis yang mula dikenali selepas bergelar pengacara program H Live! ini sudah dilatih dan diberikan tanggungjawab untuk menguruskan perniagaan.

Meskipun dengan bantuan ibunya, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Adriana cukup bertuah dapat memulakan perniagaan pada usia muda tanpa perlu bersusah payah.

Disebabkan itu, anak sulung daripada tiga beradik ini sama sekali tidak mengambil mudah dalam soal membantu menguruskan perniagaan dengan ibu tercinta.

“Dalam soal ini, tidak pernah saya terfikir untuk memandang mudah urusan perniagaan.

“Hal ini kerana saya boleh gambarkan Mama saya seperti singa. Dia sangat garang dan tegas, justeru saya rasa saya tidak akan memikul tanggungjawab yang dia berikan sewenang-wenangnya.

“Perniagaan ini berkaitan dengan Mama. Kalau dia tahu saya main-main dalam menguruskan hal ini, tidak mustahil saya akan dimarahi. Jadi saya tidak rasa untuk main-main atau ambil mudah.

“Tambahan pula saya tahu dia sudah lama bersusah payah untuk sampai ke tahap sekarang. Sebab itu saya lebih menghargai yang diberikan olehnya.

“Lagipun saya anak sulung, sekarang bukan masa untuk saya terlalu manja dalam menguruskan hidup dan perniagaan ini,” ujar pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot dan Jula Juli Bintang Cinta ini.

Bergelar pengacara, pelakon dan pelajar serta pada masa yang sama membantu perniagaan keluarga, pastinya terbayangkan kepadatan jadual si gadis lincah ini.

Diajukan tentang pembahagian masa, Adriana akui suatu yang begitu sukar untuk dilalui oleh gadis seusianya.

Tatkala gadis sebayanya sedang melalui kehidupan sosial dengan rakan-rakan lain, Adriana terpaksa melupakan semua itu untuk memberi tumpuan terhadap pelbagai tanggungjawab yang dipikulnya kini.

Namun begitu, pencinta drama dan muzik Korea ini sama sekali tidak merungut dengan yang dihadapinya itu.

Sebaliknya, memperoleh hasil daripada usaha keras menjadi hadiah istimewa sebagai ganti pengorbanan yang dilakukannya.

“Saya sebenarnya tidak pernah terfikir suatu hari nanti saya akan lalui semua ini. Sibuk dengan jadual kerja dan hujung minggu pula perlu menghadiri kelas serta pada masa yang sama menjalankan perniagaan.

“Memang susah untuk dilalui terutama dalam soal membahagikan masa.

“Bagaimanapun, saya sentiasa belajar untuk melaluinya dengan mudah.

“Salah satu caranya ialah saya memberi fokus kepada yang menjadi keutamaan saya sekarang iaitu kerja dan belajar.

“Dari segi nak bersosial dengan kawan-kawan, bercinta atau bersuka ria, langsung tiada dalam jadual hidup saya. Boleh dikatakan saya langsung tidak ada masa untuk perkara tersebut.

“Tambahan pula, saya lebih suka meluangkan masa di rumah. Jadi, apabila habis sahaja kerja, saya hanya fikir untuk balik dan berehat,” jelasnya.