Dia juga ingin bermesra dengan suami, mahu disayangi dan berasa bagaimana menjadi isteri sebenar dalam suasana yang nyata di hadapan orang lain.

Namun perkara itu tidak boleh dilakukan. Keinginan tersebut hanya mampu berlegar setakat di fikirannya sahaja.

Suami memang berada di hadapan mata setiap masa tetapi kewujudannya terpaksa dirahsiakan sebagaimana perjanjian yang telah dipersetujui mereka berdua.

Maimon memberitahu, dia telah bernikah dengan Jalil, 46, sejak tiga bulan yang lalu di sebuah masjid di negara jiran. Namun atas permintaan Jalil, status sebagai isteri kedua terpaksa dirahsiakan sehinggalah lelaki itu bersedia untuk memberitahu isteri pertamanya yang kebetulan bekerja di syarikat yang sama.

Memang janji Jalil, dia akan memberitahu isteri pertamanya mengenai pernikahan baharu itu sebaik mereka pulang ke Malaysia dan selepas itu majlis ijab kabul yang dilangsungkan dalam suasana serba ringkas.

Jalil dan Maimon juga sepakat mengadakan resepsi yang sederhana, tidak terlalu meriah kerana hormatkan perasaan isteri pertama dan dua orang anak mereka.

Itu perbincangan antara mereka sebelum ini. Namun, ketika Maimon masih lagi tertunggu-tunggu bilakah Jalil akan mendedahkan siapakah dirinya, suaminya semakin terkongkong dengan pengawasan yang ketat daripada isteri pertamanya.

“Susah rupanya bermadu dengan lelaki yang takut dengan bini. Sebelum dapatkan kita, macam-macam dia janji, malah kalau boleh bulan, bintang hendak diberi. Setelah mendapat apa yang dihajati, semua kata-kata itu hanya di mulut sahaja.

“Saya pula terpesona dengan kata-kata dari lidah yang tidak bertulang. Bercinta cuma beberapa bulan sebelum saya mengambil keputusan untuk bernikah dengannya biarpun mengetahui dia sudah hidup berkeluarga dan mempunyai dua anak.

“Malah, isterinya juga memang saya kenal kerana kami bertiga memang bekerja di syarikat yang sama,” kata Maimon.

Apabila ditanya bagaimana selama ini mereka berdua menjalani hidup sebagai suami isteri sehingga isteri Jalil dan orang sekeliling langsung tidak mengetahui hubungan yang intim, kata Maimon, apabila di tempat kerja mereka berdua berlakon seolah-olah tidak saling mengenali.

“Kami hanya berhubung menerusi whatsapp dan kemudian berjumpa di rumah. Itu pun bukan selalu, dalam seminggu hanya dua ke tiga kali sahaja dia akan balik ke rumah sewa saya, tetapi biasanya tak lama. Sebelum tengah malam dia akan berusaha balik ke rumah.

“Jalil mengatakan dia terpaksa berbuat demikian kerana memberi alasan balik lambat kerana ada kerja lebih masa di tempat kerja kepada isteri di rumah. Kesempatan itu diambil oleh Jalil untuk balik ke rumah sewa saya. Apabila saya bertanya sampai bila mereka akan hidup seperti ini, Jalil memberitahu tunggu beberapa ketika kerana dia merasakan masih belum bersedia lagi untuk memberitahu isterinya perkara yang sebenar.

“Sakit hati rasanya apabila dia bercakap begitu. Dia yang sepatutnya bertanggungjawab atas apa yang dia lakukan rupa-rupanya tidak berani memikul tanggungjawab itu sekarang, kerana khuatir dengan tindakan isterinya nanti.

“Sakit hati saya bertambah apabila dari jauh melihat kemesraan mereka berdua di tempat kerja sebagai suami isteri, sedangkan saya juga merupakan isteri Jalil yang sah.

“Apabila saya mengugut untuk memberitahu isterinya sendiri, dia merayu kepada saya agar tidak berbuat demikian, kerana bimbang dengan reaksi isteri dan anak-anaknya nanti.

“Pelik juga, kerana sebelum kami bernikah dahulu dia kata sering diabaikan isterinya yang gagal menjalankan kewajipan, kini saya melihat mereka bukan main romantik lagi. Saya mula terfikir mungkinkah itu hanya cerita yang direka Jalil untuk mendapatkan saya.

“Apabila saya terserempak dengan suami di tempat kerja dia hanya akan buat tidak tahu bagi mengelak orang keliling mengesyaki sesuatu, sedangkan saya juga mahukan perhatian daripadanya.

“Saya juga sebenarnya rasa cemburu melihat kemesraan mereka berdua di depan saya. Makan bersama di kafe tempat kerja kami, sedangkan saya hendak minum bersamanya pun payah, malah suami hendak bertentang mata dengan saya pun takut,” kata Maimon.

Bertambah resah apabila memikirkan jika ditakdirkan dia hamil suatu hari nanti. Ketika itu apa yang harus dia lakukan jika Jalil masih mahu merahsiakan hubungan mereka.

Buat masa ini dia bernasib baik kerana masih belum ada tanda-tanda dikurniakan zuriat, lagipun usia perkahwinan mereka baru tiga bulan.

Namun, sekiranya benar hamil, dia sendiri tidak tahu natijah yang akan berlaku kepadanya terutama pandangan orang lain terhadapnya.

Setakat ini, di tempat kerja hanya dua orang rakan karib yang mengetahui Maimon bernikah dengan Jalil.

“Saya tidak kira, selepas ini saya sendiri akan beritahu kepada isteri Jalil status pernikahan kami. Namun, sebelum itu saya berharap dia yang akan berterus-terang dengan isterinya mengenai kedudukan kami.

“Saya pun ada hak ke atas Jalil dan berhak juga hidup sebagaimana isteri-isteri lain, disayangi, saling berkongsi kasih dan mempunyai kebahagiaan sendiri.

“Hubungan kami sudah halal, dan saya sangat tertekan sekarang untuk mendapatkan kebahagiaan sebenar.

“Saya tidak kisah berkongsi kasih dengan isterinya itu, tetapi adakah isterinya itu sedia berkongsi kasih dengan saya,” kata Maimon yang turut cemas dengan nasib yang bakal menunggunya nanti.