Mereka yang dimaksudkan ialah Suhana Abdul Mutalib, 36, bekas wartawan Utusan Malaysia dan suaminya, Nazmizan Muhamad, 34, yang merupakan bekas atlet olahraga 100 meter pada awal 2000-an.

Menceritakan kisah percintaan mereka, Suhana yang kini Pengarah Unit Media Universiti Malaysia Perlis (Unimap) memberitahu, kali pertama beliau bertemu dengan Nazmizan adalah ketika mengikuti seorang rakan wartawan kanan meja sukan membuat temuramah dan sesi fotografi di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 2004.

Katanya, ketika itu, Nazmizan merupakan atlet berbakat besar yang namanya sedang meningkat naik malah mendapat jolokan Raja Pecut Asia Tenggara seiring dengan atlet lain seperti Hamberi Mahat, Azmi Ibrahim dan Watson Nyambek.

“Sudah tentu peluang untuk bertemu Nazmizan adalah sesuatu yang mengujakan, apatah lagi saya sendiri memang meminati bidang sukan terutama olahraga sejak zaman remaja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pun begitu, ujar Suhana, pertemuan pertama tersebut tidak membuahkan bibit-bibit cinta sebaliknya perkenalan berlangsung dalam ruang lingkup bidang tugas masing-masing.

Katanya, beberapa minggu selepas itu, beliau ditugaskan pula menguruskan atlet dan artis yang mengambil bahagian dalam program Fiesta Media Idola yang disertai oleh akhbar itu di Kuantan, Pahang.

“Ketika itu saya menguruskan perbelanjaan untuk selebriti sukan dan artis yang terlibat termasuklah Nazmizan. Saya juga dan rakan mengambil bahagian dalama cara sukan futsal,” katanya.

Nazmizan memberitahu, beberapa pertemuan yang berlangsung susulan kejohanan tersebut itulah menyebabkan mereka berdua menjadi rapat tambahan pula selepas itu beliau ditawarkan menjadi penulis ruangan tamu Trek dan Balapan dalam akhbar KOSMO!

“Kalau saya ke pejabat Utusan Malaysia di Sungai Besi, Kuala Lumpur, setiap minggu untuk menghantar artikel, saya pasti tidak melepaskan peluang mengajak Suhana dan rakan lain untuk minum bersama atas nama persahabatan,” katanya.

Kata Nazmizan, persahabatan mereka berterusan sehinggalah kira-kira dua tahun selepas itu, apabila telah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, 
beliau mengambil keputusan untuk berterus-terang 
menyatakan hasrat hatinya 
kepada Suhana.

Kata Suhana, meskipun sedikit terkejut kerana sepanjang dua tahun perhubungan, Nazmizan tidak pernah menyatakan apa-apa perasaan kepadanya sebelum ini, tetapi beliau menerimanya kerana sudah mengenali hati budi dan perwatakan Nazmizan.

“Saya yakin dialah lelaki yang saya ‘cari’ kerana mempunyai pegangan agama yang baik, tidak suka keluar malam dan bergaul bebas selain tidak merokok,” ceritanya tersenyum.

Bagi Nazmizan pula, isterinya yang dipanggilnya 'love' bagi menggambarkan cinta terhadap wanita itu, beliau tertarik dengan kematangan dan sifat ambil berat selain tarikan tahi lalat pada 
wajah Suhana.

Kedua-duanya sependapat bahawa perasaan cinta antara mereka hanya terjalin selepas sah bergelar suami isteri pada 17 Februari 2007, iaitu kira-kira tiga bulan selepas mengikat tali pertunangan.

Kini setelah lapan tahun berumah tangga, kedua-duanya yang berkhidmat di Unimap dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Daniya Alesha, 7, dan Aisy Mifzal, 6.

Nazmizan bertugas sebagai pensyarah dalam bidang Teknologi Sukan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Unimap selain turut bertanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran sukan dan atlet di universiti terbabit.

Menurut Suhana, sikap Nazmizan yang ringan tulang membantu kerja rumah manambahkan lagi bibit-bibit indah dalam rumah tangga mereka.

“Dia (Nazmizan) rajin basuh baju, basuh pinggan mangkuk, gosok baju sekolah anak-anak, malah kalau perlu bertugas ke luar daerah dia pastikan semuanya sudah siap. Dan jika saya pula 
kena bertugas luar daerah, 
dia akan jaga anak-anak sendiri 
waktu malam dan tidak tinggalkan anak di rumah pengasuh,” 
ujarnya lagi.

Beliau menambah, saat terpaksa melalui detik sukar apabila perlu menjalani pembedahan membuang salah satu buah pinggang akibat komplikasi antara momen paling bermakna dalam kehidupan pasangan itu.

“Naluri perempuan tidak mahu pembedahan diteruskan, tetapi dia banyak memberi kata semangat supaya mengikut nasihat doktor. Walaupun pada masa itu dia sibuk, Nazmizan tetap mengambil cuti seminggu menjaga saya dan setelah dua tahun berlalu tidak pernah sekali pun Nazmizan membangkitkan perkara itu atau membandingkan dengan saat dahulu,” katanya sambil mengenggam erat tangan Nazmizan.