Berminat melukis sejak kecil, Afzainizam atau ringkas dengan panggilan Zam memberitahu, kerjaya asalnya sebagai pereka grafik di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara kontrak memberikannya banyak masa terluang.

Lantas dia mencari-cari sesuatu yang boleh dilakukan di samping boleh memberikan pendapatan.

Kata Zam, isterinya, Nursyaini Syahrial, 32, mempunyai banyak kasut dan setelah dilukis, dia tidak perlu lagi membeli kasut baru.

Kasut yang dipakai Nursyaini ke pejabat menarik pandangan kawan-kawan sepejabat yang akhirnya membawa kepada tempahan. Dari hari ke hari tempahan yang diterima semakin bertambah sehingga Zam membuat keputusan untuk menjual secara dalam talian pula.

Menurutnya, contengan atau lukisan yang dibuat pada kasut adalah bergantung kepada kehendak pelanggan.

Kebiasaannya pelanggan akan memberikan lukisan atau tema yang mereka suka bagi dilukis pada kasut. Contohnya daripada filem animasi seperti Frozen, Superman, bunga-bungaan, potret sendiri dan sebagainya.

Kadang-kadang Zam juga akan mencari gambar-gambar yang menarik dari internet dan memberikan gambar tersebut kepada pelanggan. Jika pelanggan suka dan bersetuju, dia akan terus memulakan kerja melukis di kasut berkenaan.

“Pelanggan akan memberikan kasut sama ada kasut ballerina, slip-on atau high cut. Semua jenis kasut boleh diconteng tetapi bahannya mestilah daripada kanvas. Saya menggunakan warna akrilik dan mudah dilukis serta tahan lama di atas kasut kanvas. Kasut kulit, pvc dan sebagainya tidak sesuai untuk diconteng.

“Sepasang kasut akan siap dilukis dalam masa antara dua hingga tiga jam. Pelanggan akan mendapat kasutnya dalam tempoh dua minggu termasuk penghantaran. Dalam sehari, saya mendapat tempahan tiga pasang kasut manakala sasaran saya untuk sebulan ialah 50 pasang.

“Semua peringkat usia lelaki, wanita dan kanak-kanak boleh memakai kasut seperti ini. Saya mempunyai ramai pelanggan yang menempah bukan setakat sepasang tetapi sehingga 11 pasang sekali tempah. Harga tempahan adalah daripada RM70 hingga RM250 bagi sepasang.

“Ada pula yang tidak mahu lagi memakai kasut lain setelah mendapat kasut ini kerana terlalu sukakan lukisan yang terdapat pada kasutnya. Contengan pada kasut tahan lama dan tidak mudah tertanggal. Kasut boleh dibersihkan dan warnanya tidak akan pudar.

“Terdapat juga pengusaha batik dan pengusaha tudung yang menempah kasut yang diconteng bagi disesuaikan dengan batik dan tudung mereka,” kata Zam yang menconteng kasut di rumahnya di Seksyen 25, Shah Alam, Selangor.

Tambahnya, sehingga kini dia telah menconteng lebih 5,000 pasang kasut, ramai orang kenamaan dan selebriti turut menempah kasut yang diconteng daripada Zam.

Dia turut menerima tempahan daripada seorang pelanggan di Norway dan pelumba Motosikal GP Itali, Mark Marquez yang mengetahui mengenai kasut conteng ini melalui Instagram.

Zam juga sering dijemput mengadakan pameran lukisan kasut ciptaan\nya oleh badan kerajaan dan sektor swasta di dalam dan di luar negara.

Jika anda ingin menempah kasut yang diconteng, hubungi Zam melalui Facebook dan Instagram conteng kasot. - Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH