Di Labuan, terdapat tiga muzium yang boleh dikunjungi bagi menjadikan kunjungan ke pulau itu lebih bermakna. Tiga muzium yang dimaksudkan  ialah Muzium Labuan, Muzium Marin dan Muzium Chimney. Bagi mengenali lebih dekat sejarah Labuan, eloklah melawat Muzium Labuan yang menempatkan pelbagai sejarah berkaitan pulau itu sejak zaman dahulu sehinggalah sekarang. Muzium Marin pula membekalkan maklumat dan pengetahuan tentang hidupan laut yang terdapat di perairan Borneo dan Labuan. Muzium Chimney mempamerkan sejarah awal Tanjung Kubong dan sejarah perlombongan arang batu Labuan sejak 1847. 

Muzium Labuan terletak di tengah-tengah bandar Labuan. Bangunan dua tingkat yang dibina pada tahun 1950-an itu pernah menempatkan Pejabat Pentadbiran Kolonial British. Dibuka secara rasmi pada 8 Oktober 2004, bangunan dua tingkat ini juga pernah menjadi Pejabat Daerah Labuan dan Pejabat Majlis Perbandaran Labuan. Tingkat bawah muzium ‘menceritakan’ sejarah dan kebudayaan meliputi segmen pengenalan, era pra-sejarah, pentadbiran British, Perang Dunia Kedua, pasca perang, Labuan di bawah pentadbiran Sabah, segmen Personaliti Unggul dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan. Di sini banyak artifak, gambar dan replika yang berkaitan dipamerkan. Turut dipamerkan, kerusi, meja dan pen yang pernah digunakan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Menteri Sabah ketika itu semasa menandatangani pengisytiharan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan pada tahun 1984. Begitu juga dengan mata wang dan setem Labuan yang pernah digunakan semasa zaman kolonial yang usianya lebih seabad. 

Di sini juga terdapat artifak batu zaman neolitik yang ditemui di Pulau Burong, koleksi senjata perang dunia seperti senjata pemusnah kapal selam yang pernah digunakan oleh Tentera Bersekutu.

Di tingkat atas pula, muzium ini memberi fokus kepada tema kebudayaan yang menampilkan aspek sosio-budaya dan sosio-ekonomi masyarakat tempatan di Labuan yang mewakili Melayu-Brunei, Kadayan, Cina, Kadazandusun, India dan Sikh. Di muzium ini juga, pengunjung boleh melihat replika rumah tadisional suku kaum Kadayan yang dibina menggunakan bahan kayu tulin. Begitu juga pameran pelbagai peralatan perekonomian, alat muzik, senjata untuk memburu, pakaian dan peralatan ritual yang digunakan oleh pelbagai kaum. Turut dipamerkan, amalan adat budaya seperti perkahwinan. Koleksi tembaga turut dipamerkan termasuk meriam kecil, lenguai, cupu, dulang dan sebagainya yang pernah digunakan dalam kehidupan seharian pada masa dahulu khususnya yang melibatkan kaum Melayu Brunei dan Kadayan. Koleksi peribadi tokoh-tokoh masyarakat seperti pingat serta anugerah pencapaian yang diterima turut dipamerkan.

Menyingkap sejarah pulau dengan keluasan 92 kilometer persegi ini, Labuan, mendapat namanya daripada `labohan’ atau pelabuhan. Selepas kehancuran kerajaan Majapahit pada kurun ke-14, Labuan bertukar tangan di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei dan pada 1846 diserahkan kepada pemerintahan British. Di bawah pemerintahan British, pulau ini dinamakan Victoria sempena nama Ratu Victoria. Sekitar tahun 1852, Labuan menjadi tempat berlabuh kapal-kapal dagang yang berulang-alik antara Singapura dan Brunei. Tentera Jepun kemudiannnya mendarat dan memerintah Labuan pada 1 Januari 1942. Ketika itu juga Labuan diberi nama Pulau Maida mengambil sempena nama Komander Tentera Jepun, Jeneral Maida yang terbunuh dalam nahas pesawat ketika menuju Labuan pada 5 September 1942. Jepun akhirnya menyerah kalah selepas Tentera Bersekutu melancarkan serangan pada 10 Jun 1945.

Labuan menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 bersama-sama dengan Sabah dan diisyitiharkan secara rasmi sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984. Pada Oktober 1990, Labuan dikenali sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa.

Begitulah serba ringkas mengenai sejarah Labuan yang boleh didapati di Muzium Labuan.  

Tarikan di Muzium Chimney

Chimney pula merupakan monumen penting di Labuan sebagai bukti peninggalan aktiviti perlombongan arang batu di Tanjung Kubong yang telah berusia lebih seabad.

Dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai ‘Punil’, ia adalah mercu tanda bersejarah terkenal di Labuan. Fungsi sebenar Menara Chimney ini masih belum dapat dipastikan walaupun pelbagai andaian dibuat mengenainya.

Ramai menyangka ia adalah tempat pengalihan udara untuk terowong bawah tanah, tetapi kerja-kerja ekskavasi mendedahkan tidak terdapat sebarang struktur terowong di bawahnya.

Begitu juga andaian sebagai sebuah cerobong asap seperti namanya kerana tidak dijumpai sebarang kesan pembakaran pada dinding di sebelah dalam.

Sebahagian pula menyatakan ia adalah rumah api berdasarkan pada dinding sebelah dalam. Sebahagian menyatakan ia adalah rumah api berdasarkan kedudukannya di tanah tinggi dan pernah terdapat sebuah pelabuhan di kawasan Lubuk Temiang suatu ketika dahulu. Ada juga cerita yang menyebut ia sebagai sebuah Menara Loceng untuk memaklumkan ketibaan kapal.

Bagi melihat lebih dekat sejarah lombong arang batu ini, pelawat boleh berjalan kaki ke kawasan bekas terowong Lubang Gantang.

Di situ ada sebuah ‘telaga’ yang menghubungkan terowong arang batu di kawasan berkenaan.

Kemudian, anda boleh meneruskan perjalanan ke kawasan berbukit, Bukit Tanjung Kubong untuk melihat saki baki kesan arang batu. Sebelum itu, di kawasan bukit berkenaan terdapat tinggalan bangunan seperti sebuah kubu yang dikenali sebagai Gedung Ubat. Namanya seperti tempat menyimpan ubat sebaliknya gedung ini menjadi tempat simpanan pelbagai senjata milik tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Di kawasan pantai di bawah bukit berkenaan, pengunjung akan menemui batu-batu yang boleh dilihat kesan arang batu.

Dalam perjalanan pulang ke destinasi awal muzium, kita boleh menempuh kawasan hutan yang di dalamnya terdapat beberapa kubur, dipercayai milik keluarga residen British. Terdapat kesan kubur digali dipercayai dilakukan oleh mereka yang mahu mendapatkan harta di situ. Kawasan ini juga pernah menjadi lokasi penggambaran filem tempatan.