Ketika itu, saya menggantikan tempat Baharin Ramlie. Sebelum Baharin, pengelolanya adalah Kamaludin Mat Lela.

Saya dipilih mengelola ruangan sastera berkenaan kerana meminati bidang sastera. Bermula dari situlah saya menimba pengalaman sebagai editor sastera.

Editor akhbar ataupun majalah, khususnya yang mengelola kolum sastera, memang menjadi tarikan bagi setiap penulis, sama ada untuk karya sajak mahupun cerpen, sama ada mereka penulis lama yang bergelar prolifik ataupun yang baharu. Iaitu baru berjinak-jinak dengan ulam-ulam sastera.

Masing-masing ingin berkenalan dengan editor berkenaan. Keinginan seumpama ini membuak-buak. Kalau berhasil, mudahlah mendapat tempat.

Ini yang terjadi kepada setiap penulis. Rungutan demi rungutan, sering menjadi topik perbincangan dalam akhbar.

Yang menjadi sasaran banyak bertumpu kepada editor, yang juga dipengaruhi penulis prolifik, di samping penulis baharu, yang memburu untuk mendapat tempat.

Di sinilah kita nampak kemunculan nama penulis baharu. Mereka terpaksa bersaing pula dengan penulis prolifik yang telah pun membina nama, gah di persada sastera tanah air.

Pengalaman seumpama ini pernah saya rasainya. Betapa terperangkap saya dalam menentukan, sekaligus menyukarkan untuk memilih karya bermutu.

Situasi begini terjadi ketika saya menjadi penyunting akhbar yang saya sebut di atas tadi. Bintang Timur adalah antara tabloid keluaran Kumpulan Utusan.

Saya dipertanggung-jawabkan mengelola kolum sastera Mingguan Timur sekitar Oktober, November dan akhir Disember pada tahun berkenaan.

Apabila penulis dari sebelah utara, mengetahui saya yang mengelola kolum sastera, mereka telefon saya. Kebanyakannya penulis yang kononnya mengenali saya.

Di antara mereka, yang pernah menelefon saya ialah penulis prolifik dari Perlis, Rejab F.I. Saya terkejut juga apabila Rejab menegur, mengatakan kepada saya asyik-asyik penulis dari Krian, Perak, saja yang mendapat tempat di Mingguan Timur.

Kebetulan pula, karya penulis dari Krian berlambak di atas meja saya. Penulis lain pun ada seperti dari Kedah dan Perlis.

Saya masih ingat nama-nama seperti Pena Mutiara, A. Norry Ahmy (allahyarham), Zulkifli Puteh (sekadar menyebut beberapa nama saja), mereka rajin menghantar karya-karya untuk disiarkan.

Malah, Zulkifli Puteh contohnya, menghantar empat sajak sekaligus. Pening juga untuk menyiarkannya, tetapi, saya memilih karya yang terbaik, ada mesej di dalamnya untuk disiarkan.

Di sini, apabila saya di luar kotak editor, saya pula berdepan dengan masalah menembusi kolum sastera akhbar arus perdana.

Saya anggap mereka, iaitu editor, juga pening kepala untuk menyiarkan karya bermutu. Itulah kita dapat menangkap setiap minggu nama penulis yang sama karyanya tersiar. Mulalah hati kita berdetik. Membuat tanggapan bahawa mereka adalah kenalan editor. Sebenarnya, hanya kebetulan penulis berkenaan mengolah karyanya memang bermutu.

Kerajinan menulis adalah di antara faktor yang mengundang editor memilih karya seseorang penulis untuk disiarkan.Ditambah dengan mutu penulisan yang baik.

Tidak timbul penulis dari kalangan prolifik ataupun yang baharu. Di sinilah editor memainkan peranannya. Editor mesti duduk di tengah-tengah di antara mereka, iaitu prolifik atau baharu.

Keberuntungan kalau dapat berkenalan dengan editor sastera. Contohnya, pada era 70-an, saya dapat berkenalan dengan editor majalah Pemimpin, iaitu Atondra. Bertolak dari situ, sajak saya sering dimuatkan dalam majalah berkenaan.

Saya suka berkongsi pengalaman berkenaan, sekaligus meluahkan cita rasa ketika menjadi editor sastera pada 1981 itu. Berkongsi kepada mereka yang bergelar penulis.

Saya tidak mengusik penulis lain. Sebaliknya, saya ingin mengutarakan situasi yang berlaku ke atas saya sendiri.

Apabila saya menghantar puisi ke akhbar arus perdana tidak mendapat tempat, saya dapat menghidu dan mengesan bahawa puisi saya masih tumpul, tidak seperti 60-an ke 80-an dulu.

Saya akui ketumpulannya melilit saya. Tentu sekali masih ada kekurangannya, tidak sehebat penulis prolifik.

Bukan mudah untuk ‘mengurat’ editornya. Saya tidak mencemburui mereka, malah akur untuk mendapat tempat, harus menempuh pelbagai rintangan.

Kini, kita dapat mengenali nama editor yang mengelolakan kolum sastera, melalui e-mel. Seperti Mohd. Nazmi Yaakub (Sanggar Sastera – BH Ahad), Hafizahril (Seni dan Budaya – Mingguan Malaysia) dan Zass (Karya Pembaca Sastera – Sinar Harian).

Marilah kita ‘mengurat’ mereka dengan melontarkan karya bermutu seperti puisi ataupun cerpen.

Semoga 2018 membawa sinar kepada penulis-penulis baharu, walaupun kita perlu bersaing dengan penulis prolifik.

Kepada penulis yang baharu, carilah akhbar atau majalah yang mudah ditembusi. Insya-Allah, anda akan berjaya. Percubaan pertama gagal. Cuba lagi, cuba dan cuba lagi, sehingga nama anda nanti dibarisi sama dengan mereka penulis prolifik.

Jangan mencemburui penulis prolifik itu. Dahulu, mereka pun seperti kita juga, merangkak-rangkak. Betapa sukarnya untuk mendapatkan tempat, tetapi dengan berkat kecekalan, kini nama mereka agak menonjol ke depan. Satu hari nanti, kita juga seperti mereka. Insya-Allah!

Saya ‘selongkar’ dan sekaligus turut berkongsi pengalaman pernah menjadi editor sastera. Bagi saya, editor memainkan peranan penting. Pada tangan merekalah memilih karya bermutu untuk disiarkan.

Tidak timbul masalah penulis prolifik atau baharu. Sikap keadilan, jauhi dari ambilan tangkap muat.