Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kembalikan wanita berpotensi dalam STEM

SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada Persidangan Wanita & Persidangan Kepimpinan. 3
SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada Persidangan Wanita & Persidangan Kepimpinan.

Tidak dinafikan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) merupakan antara bidang terpenting buat sesebuah negara untuk membangun dengan mampan.

Malangnya, keperluan terhadap kepakaran di dalam bidang tersebut terutama melibatkan golongan wanita masih berkurangan.

Biarpun graf peningkatan terhadap golongan wanita di dalam bidang berkenaan menunjukkan sedikit kenaikan saban tahun, tetapi difahamkan lebih 50 peratus golongan itu akan meninggalkan sektor pekerjaan sebelum tempoh sepatutnya.

Fenomena itu berlaku atas pelbagai faktor, antaranya melibatkan kekangan tanggungjawab terhadap keluarga serta kekurangan sokongan daripada majikan.

Selain itu, sikap stereotaip jantina dalam bidang tertentu juga menjadi salah satu alasan kukuh buat wanita mengundurkan diri.

Pengerusi Penganjur Persidangan Kepimpinan dan Wanita STEM Pertama, Puan Sri Nisa Bakri berkata, golongan wanita tidak boleh lagi mempunyai sikap memencilkan diri di dalam bidang STEM kerana faktor-faktor berkenaan kerana itu amat merugikan negara.

Katanya, apa yang berlaku ketika ini adalah isu global yang dihadapi oleh seluruh negara termasuk negara maju, yang mana hakikatnya kepakaran golongan wanita sangat diperlukan dalam bidang-bidang sukar untuk memenuhi kehendak pasaran yang semakin memuncak.

“STEM adalah masa depan negara untuk terus maju dan golongan wanita mempunyai potensi yang sangat tinggi dalam bidang itu, namun stigma terhadap kemampuan wanita yang sering dipertikai menjadi penghalang buat golongan ini untuk menonjol.

“Sudah tiba masanya golongan wanita terutama berusia di bawah 40 tahun menonjolkan diri. Kita mahu seluruh wanita membantu wanita-wanita hebat ini untuk kembali menyumbang kepada negara kerana kita tidak mahu isu stereotaip jantina menjadi alasan.

“Oleh sebab itu, hari ini kita mengadakan persidangan ini sebagai inisiatif untuk membantu memberi kesedaran tentang keperluan wanita berada di dalam bidang-bidang sukar ini,” katanya pada perasmian persidangan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Persidangan yang berlangsung selama lima hari bermula 21 hingga 25 Ogos itu melibatkan lapan orang speaker dari Jepun dan Malaysia.

Persidangan dianjurkan Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (NAWEM) dengan objektif membantu membuka peluang golongan wanita berada di dalam bidang STEM di peringkat tertinggi.

Nisa menambah, persidangan itu juga membuka peluang buat wanita di negara ini berkongsi ilmu dan pengalaman bersama negara luar tentang perkembangan penyertaan wanita dalam bidang STEM.

“Jika dibandingkan dengan Jepun, penglibatan wanita dalam bidang STEM di negara ini jauh lebih baik daripada negara maju itu dan kita berhasrat untuk berkongsi ilmu yang kita ada demi meningkatkan potensi wanita di seluruh dunia dalam bidang berkenaan,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden dan Wakil Pengarah BT Japan, Haruno Yoshida, menyifatkan isu adat, kefahaman atau budaya sesebuah negara bukan lah penghalang untuk golongan wanita menjadi hebat dalam karier masing-masing.

Apa yang penting jelasnya, mereka perlu memperbetulkan persepsi itu dengan kejayaan yang berjaya dilakar dan komitmen yang diberikan, serta kemampuan untuk mengukuhkan ekonomi keluarga.

“Jika ada yang mengatakan wanita bekerja untuk menyara keluarga adalah tidak elok, itu tidak betul kerana dia melakukan sesuatu untuk membantu ekonomi keluarganya. Jika kita merasakan perkara itu tidak betul, kita betulkan dan jangan terima sahaja,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kewujudan teknologi yang semakin maju harus dimanfaatkan golongan wanita kerana ia sangat membantu golongan berkenaan untuk lebih cekap dan efisien dengan kerja.

“Jangan takut untuk memegang jawatan tinggi kerana sekarang anda boleh bekerja dari rumah, apa yang penting mereka perlu buktikan kemampuan kepada majikan.

“Golongan wanita lain harus ‘bangunkan’ golongan wanita yang hebat ini daripada tidur mereka dan kembali memberi ilmu dan kepakaran mereka untuk negara.

“Pada saya, secara asasnya semua golongan perlu menonjolkan diri dan usah menimbulkan isu jantina dalam memajukan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan