Program untuk dua sesi iaitu pada 16 hingga 20 November dan 7 hingga 11 Disember ini di Padang Rengas, Perak itu terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah yang berumur antara 11 hingga 17 tahun.

Pengerusi Waris Alam, Azizi Arifin, berkata, kem yang menyentuh mengenai budaya, adat resam dan warisan Melayu Islam itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran generasi muda terhadap seni warisan budaya Melayu Islam yang dilihat semakin dilupakan.

“Warisan budaya tradisional pada masa kini dilihat semakin menghadapi kepupusan. Budaya tradisional yang merangkumi amalan dan cara hidup termasuklah pakaian, makanan, adat resam dan seni itu harus dikekalkan kerana menggambarkan tamadun bagi sesuatu bangsa.

“Justeru, Program Budi ini bakal memberikan kelainan kepada para peserta yang menyertainya kerana program ini memberikan pendedahan dan kefahaman untuk mengekalkan warisan budaya Melayu seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

“Para peserta akan diajar mengikat samping dan tanjak, silat tari, senaman Melayu, berkompang, mengenali herba, seni binaan rumah Melayu. Selain itu juga aktiviti para peserta akan dipenuhi dengan slot pemerkasaan ibadah seperti solat dan memahami konsep doa,” katanya.

Azizi berkata, uniknya, program itu turut akan membawakan artis seni halus terkemuka negara, Raja Shahriman Raja Aziddin sebagai ikon untuk menjelaskan kefahaman seni dan budaya serta kepentingannya dalam kehidupan seorang Melayu.

Manakala dalam aspek pemahaman agama pula tambahnya, peserta akan menjalani satu slot interaktif bersama pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Zaid Muhammad yang akan membicarakan mengenai pembangunan semangat kendiri, motivasi peserta serta pengamalan Islam dan budaya Melayu dalam kehidupan.

“Sepanjang program Budi ini para peserta akan terkesan dengan pendekatan yang digunakan oleh penganjur yang bertindak secara santai, mesra dan penuh hemah agar segala matlamat program BUDI ini akan tercapai.

“Program Budi akan diisi secara padat dengan segala aktiviti yang akan menyentuh emosi, mencabar intelektual, memperkasa fizikal dan menyantuni rohani peserta sehingga akhirnya para peserta akan mengadaptasi segala yang diperoleh daripada program ini dalam kehidupan,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat atau ingin mendapatkan makluman lanjut boleh menghubungi Muhammad di talian 019-2202327 atau SMS nama>jarak<umur serta layari kembudi.blogspot.com untuk pendaftaran secara dalam talian.