“Kerana saya dapati ramai golongan ibu bapa muda suka berbelanja mewah untuk anak-anak, tambah-tambah golongan bekerja, bukan setakat diri sendiri berbelanja mewah, malah anak-anak mereka turut diajar hidup mewah dan bergaya sejak kecil lagi.

“Perbuatan berbelanja mewah ini menjadi lebih teruk bila ada rakan-rakan suka bandingkan anak-anak rakan mereka supaya kelihatan lebih cantik bergaya dengan pakaian mewah dan berjenama.” Itu cerita Noor Adriyani ketika melahirkan pendapatnya tentang gaya hidup orang muda sekarang sanggup bergaya hingga berhutang.

“Saya tak cakap pasal orang lain, tetapi melihat gaya hidup saudara mara sekeliling saya sendiri yang amalkan sikap ‘biar papa asalkan bergaya.’ Setiap kali balik menghadiri majlis kenduri kahwin apatah lagi kalau hari raya. Baju-baju mahal tersedia bergantungan dalam kereta, macamkan almari bergerak. Itu belum tengok dalam beg lagi. Lepas tu bersungut kalau pakaian kotor, mulalah menjerit marahkan anak jangan rosakkan baju mahal mereka.

“Kalau kita rajin tanya, mulalah keluar cerita mereka beli baju tu di butik-butik terkenal atau berjenama yang mahal-mahal harganya. Itu belum masuk cerita pakaian mereka sendiri yang sentiasa ikut trend. Bila cerita pasal tudung, lagi ternganga kita dengar, ada yang berharga lebih dua tiga ratus ringgit sehelai.

“Dulu anak-anak saya kecil juga, dan saya juga bekerja, tetapi bergaya dengan pakaian mahal dan berjenama bukan cita rasa saya. Saya tak ajar anak-anak mewah bergaya. Cukup dengan pakaian dibeli di mall. Kerana pada saya beli pakaian mahal untuk anak-anak kecil cuma membazir, sebab mereka cepat besar, pasti pakaian tadi tak boleh digunakan lagi.

“Bayangkan bayi baru setahun dua sudah dikenakan pakaian mahal, paling lama enam bulan pakaian tersebut tidak boleh digunakan lagi, lepas itu terpaksa beli baru. Jadi buat apa membazir?

“Demikian juga kalau anak-anak berumur tiga atau lima tahun, untuk apa mereka bergaya mewah, budak-budak tak kenal jenama pakaian tersebut, hanya si ibu yang menggayakan dan mengajar anaknya berpakaian mahal. Bila sudah besar memang sukar menolak permintaan anak-anak yang mahukan pakaian up to date. Malah mereka malu kalau pakai baju tidak berjenama dan out dated. Jadi siapa yang susah terpaksa sediakan wang banyak untuk pakaian anak-anak?

“Namun kepada yang mampu mungkin itu bukan masalahnya, tetapi ‘penyakit’ boros berbelanja untuk berpakaian mahal ini akan terbawa-bawa dalam kehidupan anak-anak apabila mereka dewasa nanti.

“Kalau mereka bekerja dan bergaji sendiri itu tidak ada masalah, bagaimana pulak ada anak-anak zaman sekarang ada yang tak mahu bekerja, memilih kerja, suka bertukar-tukar kerja dan cepat bosan dengan kerja yang mereka anggap semua kerja menyusahkan dan mengikat kebebasan mereka?

“Mungkin belum ada kajian daripada pihak universiti dan sebagainya, tetapi kita boleh lihat sendiri masalah anak-anak zaman sekarang. Tidak keterlaluan kalau saya katakan ibu bapa miskin boleh melahirkan anak-anak yang rajin berusaha, kuat bekerja dan akhirnya berjaya dalam pelajaran dan kerjaya mereka.

“Berbanding anak-anak orang senang yang hidup mereka serba-serbi tersedia depan mata. Celik sahaja mata mereka sudah boleh lihat emak ayah ada kereta, rumah besar, berbelanja mewah, pakaian berjenama. Bila besar mereka cuma pandai minta dan ibu bapa akan sediakan. Kerana sejak kecil mereka sentiasa dimanjakan. Kekayaan dan kemewahan bergelumang di depan mata. Untuk siapa jika bukan untuk anak-anak? Kata mereka!

“Pendek kata untuk apa anak-anak perlu bersusah payah belajar semata-mata untuk cari kerja, mungkin gaji yang mereka dapat tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan hidup mereka sehari-hari. Lagipun mereka boleh dapat lebih daripada ibu bapa masing-masing.

“Kerana itu tidak keterluan jika saya simpulkan anak-anak orang miskin lebih berjaya daripada anak-anak orang berduit, sebab anak orang kaya tidak perlu bekerja untuk dapatkan duit, semuanya disediakan oleh ibu bapa. Lainlah anak orang miskin dan susah, mereka terpaksa bekerja berhempas pulas cari duit bagi keperluan hidup mereka dan membantu keluarga yang susah di kampung.

Mengeluh

“Apa yang saya katakan ini apabila melihat kehidupan saudara mara saya, yang ibu bapa mereka ada hidup mewah dan ada yang sederhana seperti saya. Saya perhatikan ibu bapa mewah ini sering mengeluh kerana anak-anak tak mahu bekerja dan kalau ada pun yang bekerja sentiasa meminta duit daripada mereka untuk memenuhi kehidupan sehari-hari.

“Anak mewah ini kalaupun sudah berumah tangga dia masih ligat dengan aktiviti luar rumah hingga memaksa si isteri bekerja keras menanggung keluarga. Bila mengadu kepada mentua masalah suami mereka, mentua tidak berani nasihati anak-anaknya kerana itu jelas kesalahan mereka mendidik anak-anak sejak kecil lagi.

“Bukan hendak membandingkan, tetapi nak beritahu masalah ibu bapa yang berlagak mewah ini tentang cara mereka mendidik anak-anak gaya hidup mewah. Anak-anak dapat SPM tak seberapa dihantar belajar ke kolej swasta dengan harapan mereka boleh sambung belajar, malangnya, bertahun-tahun belajar tak lulus, tukar kolej lain pun gagal juga.

“Akhirnya tentulah tak bekerja. Sebab majikan mana nak ambil bekerja kalau tak ada kelulusan. Akhirnya jadi pemandu peribadi emak ayah. Lepas kahwin mak bapak terpaksa tanggung makan minum anak isterinya. Tapi sampai bila? Selagi emak ayah ada mereka selamat, bila emak ayah sudah meninggal macam mana? Tentu susah!

“Akhirnya sudah pasti harta pusaka tinggalan emak ayah jadi rebutan anak-anak untuk menyara kehidupan mereka. Cuma mereka akan diam selepas semua harta pusaka tinggalan emak bapak kaya habis digunakan untuk perbelanjaan keluarga yang terhimpit.

“Dalam isu ini siapa patut disalahkan. Bukan guru sekolah, tetapi emak ayah yang terlalu manjakan anak-anak hingga mereka tak tahu keperluan belajar, kerana tanpa pelajaran dan hidup sentiasa bermewah-mewah akan menyusahkan diri mereka bila dewasa dan berkeluarga nanti.

“Berbanding kehidupan anak-anak saudara yang hidup ibu bapa mereka tak seberapa. Nak kata berduit tidak, tak berduit pun tidak, sebab mereka bekerja. Tetapi pendapatan ala kadar sahaja. Cukup untuk beri makan anak isteri.

“Apa yang menariknya anak-anak mereka cerdik belajar, dapat masuk sekolah berasrama dan seterusnya ke universiti. Memanglah kerajaan tanggung, kerana ketika itu tak ada PTPTN, habis belajar mereka dapat kerja dan mereka rajin bekerja walaupun di hantar jauh ke pedalaman. Mereka bekerja dengan gigih.

“Hasilnya sudah pasti mereka dapat membina keluarga terbaik untuk anak-anak. Tetapi ada juga kalangan mereka ini yang tersalah mendidik anak. Falsafah mereka, “jika aku masa kecil dulu miskin dan susah, bila ada bekerja dan ada duit, maka aku akan beri segala kemewahan kepada anak-anak aku, apa salahnya mereka enjoy dengan kemewahan aku?”

“Di sinilah timbulnya kesilapan mereka ajar anak-anak hidup mewah, yang akhirnya nanti akan menyusahkan diri sendiri. Melihat masalah ini kami mula khuatir mereka mungkin tersilap langkah dalam mendidik anak-anak. Dan kami tidak mahu melihat masalah yang sama berulang. Dengan inisiatif beberapa orang saudara, kami cuba menasihati mereka supaya menggubah cara dan gaya hidup mewah dalam membimbing anak-anak mereka.

“Masalahnya bukan semua yang ‘makan nasihat’ ada pulak yang menjauhklan diri daripada kami, bila kami cuba beri pandangan. Mereka anggap kami mencampuri urusan mereka.

“Kami dapati tidak banyak masalah timbul jika berbincang dengan saudara perempuan, tetapi sukar berbincang dengan saudara lelaki, mungkin mereka terima nasihat kami, tetapi isteri mereka menolak mentah-mentah sambil menyifatkan usaha kami sebagai mahu mengawal kehidupan mereka. Niat kami supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali,’ tetapi hampa. Mereka anggap kami cuba campur kehidupan mereka.

“Kerana itulah walaupun kalangan adik-beradik kami ramai, tapi kami masih boleh berbincang, tidak ada masalah, tetapi bila campur ipar duai, kebanyakan mereka buat hubungan kekeluargaan kami menjadi genting dan retak malah sering ‘tidak setuju angin.’ Akhirnya ada yang kecil hati dan membenci antara satu sama lain.

“Masalah ini tidak berakhir di situ sahaja, sebaliknya menjarakkan hubungan baik antara adik-beradik. Ini adalah punca yang berlaku dalam keluarga besar kami. Namun saya tak bercakap tentang keluarga kami sahaja, tetapi meliputi keluarga ibu saudara atau sepupu kami yang lain yang juga terdiri daripada adik-beradik ramai.

“ Perselisihan faham sering terjadi, semuanya berpunca daripada kegagalan para suami bimbing keluarga masing-masing. Kerana ada antara saudara lelaki yang menjadi pak turut mengikut telunjuk isteri dalam mendidik anak-anak, akhirnya keluarga mereka hancur.

“Ramai adik-beradik tak semestinya membawa kebaikan kepada keluarga, sebaliknya ada yang memusnahkan malah menghancurkan hati ibu bapa kerana kecewa melihat ragam anak-anak yang sukar diatur.

“Namun lebih teruk kehidupan orang kaya kalangan saudara mara kami, ada yang tidak kenal antara satu sama lain, ada yang menjauhkan diri, lebih menyedihkan tidak kenal anak saudara terdekat, kerana keegoan dan kekayaan mereka perolehi.

Tetapi kami tahu mereka tidak bahagia apabila kehidupan anak-anak sendiri kucar-kacir. Kerana kekayaan mereka tidak menjamin kebahagiaan kehidupan anak-anak mereka hingga ke akhir hayat.’’ Itu cerita Noor Adriayani tentang kekayaan boleh menghancur masa depan anak-anak.