Sentiasa dicari peminat kek untuk merasai sendiri keenakan resipi turun temurun masyarakat Melayu, kek pandan gula Melaka ini dihasilkan menggunakan resipi asal dan cita rasa asli kuih buah Melaka, bagaimanapun kek ini diberikan sentuhan kulinari moden.

Gula Petit dan Gula Cakery, adalah antara kedai kek yang menawarkan kek pandan gula Melaka kepada pengunjung di IOI Putrajaya dan Shah Alam.

Menurut pemiliknya, Nor Arieni Adriena Ritzal, 26, kek ini bukan sahaja laris dijual setiap hari malah merupakan signatur di kedua-dua buah kedai kek miliknya itu.

“Dihasilkan dengan bahan-bahan asli seperti daun pandan dan juga gula Melaka, kek ini bagaimanapun diberikan sedikit sentuhan moden dengan ‘balutan’ krim, kelapa parut, dan juga sirap gula Melaka.

“Alhamdulillah setakat ini kek pandan gula Melaka pasti akan habis terjual setiap hari dan kami di dapur utama akan memastikan stok sentiasa ada,” ujarnya ketika ditemui di kafenya yang terletak di Level 1, City Mall, IOI Putrajaya, baru-baru ini.

Turut mengolah semula resipi asal dan melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam usaha memberikan yang terbaik kepada peminat-peminat kek, Nor Arieni atau lebih mesra disapa Nani memberitahu segala-galanya dilakukan kerana minat.

Pernah mengikuti kelas masakan di luar negara untuk mendalami lagi ilmu dalam bidang tersebut, ia adalah sebagai persediaan diri untuk kerjayanya.

Dibesarkan dalam keluarga yang sememangnya gemar memasak, anak kelahiran Selangor ini menjadikan neneknya sebagai idola.

Semangat dan keinginannya untuk melihat perniagaan yang diusahakan berkembang maju, telah mendorong Nani membuka cawangan kafe pastrinya yang kedua iaitu Gula Petit.

Bagaimanapun, Gula Petit lebih menumpukan kepada jualan kek, roti, dan kopi berbanding Gula Cakery yang turut menyediakan kelas masakan.

Nani menjelaskan, setiap hari dia akan menghasilkan 40 jenis kek untuk kedua-dua kedai keknya itu.

Pemegang ijazah dalam bidang pengasuh awal kanak-kanak ini menyatakan, antara kek lain yang turut dijual di Gula Petit ialah double coklat natela, kek keju mangga, pavlova, dan krim puff.

Dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam, Gula Petit yang dibuka sejak dua bulan lalu boleh menampung sehingga 20 orang pada satu-satu masa.

Turut dibantu oleh lima kaki tangan, Nani menjelaskan, ada sesetengah kek telah diolah resipinya mengikut cita rasa masyarakat setempat.

Nani berkata, perniagaannya turut mendapat sokongan padu daripada keluarga terutama ibunya, Nor Aini Mohd. Muhid.

“Kesemua kek yang dijual dihasilkan menggunakan resipi sendiri dan dibuat di dapur utama yang terletak di Shah Alam.

“Jadi setiap minggu kami akan menjual kek yang berlainan dan ini bermakna kek-kek yang dijual di sini semuanya tidak disimpan lama,” sambungnya lagi.

Dijual pada harga RM8 hingga RM15 (potongan) dan RM80 hingga RM150 sebiji, Nani turut menerima tempahan daripada orang ramai.