Untuk itu dia sanggup melupakan pembabitannya dalam industri perfileman, iaitu pembikinan iklan dan video muzik selama dua tahun.

Gadis berusia 27 tahun ini diminta bapanya untuk beralih ke dunia perniagaan kerana berhasrat untuk mengembangkan perniagaan tersebut bersama anak-anak. Agak sukar baginya untuk meninggalkan bidang yang amat diminatinya, namun pada masa sama tidak mahu menghampakan bapanya.

Mesra disapa sebagai Nita, dia bersyukur kerana dikurniakan seorang bapa yang sentiasa memberi nasihat dan bimbingan, walaupun hakikatnya dalam perniagaan dia bermula dengan kosong.

Banyak perkara yang dipelajari dan kini selepas sembilan bulan, perniagaan kosmetiknya iaitu Nita Cosmetics semakin dikenali bahkan sudah menembusi pasaran Brunei dan Singapura.

“Saya bersyukur kerana ada bapa yang menjadi mentor dalam bidang perniagaan. Dia banyak menceritakan tentang pengalamannya selama 40 tahun berniaga dan menasihatkan kesilapan perlu dielakkan sepanjang menguruskan sebuah perniagaan, selain sentiasa memperbetul strategi pemasaran.

“Bapa sangat tegas dengan saya kerana dia mahu saya menjadi yang terbaik dalam industri. Kejayaannya menjadi inspirasi kepada saya untuk berusaha dan bekerja keras, kerana dia sendiri masih kuat kerja meskipun usianya sudah mencecah 60-an.

“Saya berharap mampu menjadi sepertinya, bukan sahaja dari segi kerjaya, malah sifatnya yang ikhlas, pemurah dan penyayang,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perfileman dan Seni Teknikal Televisyen dari Middlesex University, United Kingdom, Nita ternyata bijak mengatur strategi perniagaan mengikut acuan sendiri.

Menyedari tidak mampu lari jauh daripada bidang perfileman, dia menjadikan jenamanya berkonsep sebuah penceritaan bagi membezakan Nita Cosmetics dengan jenama kosmetik tempatan lain.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini, menggabungkan elemen filem yang menampilkan pengembaraan seorang wanita yang bermula di tanah air sendiri, iaitu Malaysia.

“Wanita itu adalah gambaran jenama kosmetik saya, yang bermula sebagai produk tempatan berusaha ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada masa yang sama, Nita yang amat menggemari seni komik dan ilustrasi, menggunakan penjenamaan ‘seronok dan unik’ dengan menitikberatkan aspek pembungkusan produk yang menarik.

Ujar anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini, minatnya sejak kecil lagi dengan kosmetik dan fesyen turut menjadi titik permulaan penglibatannya sebagai usahawan.

Mahu membantu wanita lain membina keyakinan diri melalui kosmetik, dia menzahirkan impian tersebut dengan membina jenama kosmetik sendiri.

“Saya akui bukan mudah menjadi usahawan dan perlu berani menempuh sebarang risiko terutama dalam industri kosmetik, yang mana ada sahaja jenama baharu muncul di pasaran setiap hari.

“Namun bagi saya, jika seseorang itu ingin menceburi bidang perniagaan, mereka tidak boleh mengelak daripada berhadapan dengan persaingan. Jadi, kita haruslah menjadi yang terbaik dari segi kualiti dan pemasaran.

“Malah semakin ramai pengguna yang percaya serta yakin dengan produk berjenama tempatan kerana kualitinya yang konsisten. Jika adanya persepsi bahawa produk antarabangsa lebih elok, saya rasa itu tidak benar kerana sambutan untuk jenama kosmetik tempatan sangat memberangsangkan dan pengguna kini bijak membuat pilihan,” ujarnya.

Nita turut melahirkan rasa bangga melihat senario hari ini apabila ramai generasi muda yang memilih bekerja sendiri.

Baginya, golongan tersebut semakin berani mengorak langkah menubuhkan perniagaan sendiri dengan mengambil inspirasi daripada usahawan-usahawan muda berbakat dari serata dunia.

“Mereka juga semakin kreatif, selain bersedia untuk kerja keras dan tidak mudah mengaku kalah dalam membangunkan perniagaan masing-masing.

“Nasihat saya kepada generasi muda yang mahu menceburi bidang perniagaan supaya tidak takut dengan kegagalan.

“Lebih baik kita melalui kegagalan daripada tidak memulakan apa-apa, kerana dari situ kita boleh melihat kekuatan dan kemampuan diri supaya tidak rasa menyesal di kemudian hari,” ujarnya.