Masa yang diambil pula hanyalah beberapa minit sebelum beralih kepada pelanggan lain, malah kedai gunting rambut India atau lebih dikenali sebagai kedai gunting rambut mamak, sememangnya menjadi pilihan golongan lelaki baik muda mahu pun tua untuk kelihatan kemas.

Hari ini sesuai dengan peredaran zaman dan penggayaan rambut, orang ramai bukan sahaja mementingkan penampilan yang kemas tetapi ingin tampil bergaya dengan trend rambut terkini.

Untuk itu tidak hairanlah sekiranya hari ini kedai gunting rambut tumbuh bagai cendawan selepas hujan hanya semata-mata ingin memenuhi permintaan daripada kaum Adam.

Masih lagi menawarkan perkhidmatan menggunting rambut, mencukur janggut atau misai, dan urutan kepala, perkhidmatan lain yang diberikan untuk tambah nilai ialah mencuci rambut dan juga khidmat nasihat penggayaan rambut.

Bukan itu sahaja malah tempoh masa yang diambil untuk memotong rambut seseorang pelanggan turut memakan masa yang panjang dalam usaha memberikan yang terbaik.

Salah satu kedai gunting rambut di ibu kota yang menawarkan perkhidmatan menggunting rambut, mencukur janggut atau misai, mencuci rambut, dan juga khidmat nasihat penggayaan rambut ialah Prinz Classic Barbershop.

Kedai gunting rambut ini bukan sahaja dikendalikan oleh tukang gunting rambut profesional tetapi premis perniagaan turut dihias cantik untuk keselesaan pelanggan.

Memulakan operasi sejak Disember tahun lalu, kedai gunting rambut yang boleh ‘melayan’ pelanggan seramai empat orang pada satu-satu masa ini, berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Ternyata setiap seorang tukang gunting rambut di sini tampil dengan gaya tersendiri malah sewaktu ditemui baru-baru ini kesemuanya berfesyen retro.

Turut menyajikan lagu-lagu zaman 60-an sebagai halwa telinga pelanggan, Mohd. Fariq Hussin, 28, salah seorang pemilik Prinz Classic Barbershop memberitahu kepuasan pelanggan adalah objektif mereka.

Dia yang cukup dikenali sebagai CK dalam kalangan tukang gunting rambut berkata, hari ini gaya atau fesyen rambut lelaki bukan sahaja satu keperluan tetapi mengikut trend terkini.

“Kami di Prinz Classic Barbershop bukan sahaja berfungsi sebagai tukang gunting rambut tetapi kami menjalinkan hubungan persahabatan dengan setiap pelanggan kami.

“Sewaktu rambut pelanggan digunting, kami tidak akan membiarkan mereka senyap begitu sahaja malah kami akan berbual-bual dengan mereka tidak kiralah apa jua topiknya.

“Sebab itulah di sini perkhidmatan menggunting rambut sahaja akan mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam,” ujarnya.

Ibarat perkhidmatan di salon ketika ini, pelanggan-pelanggan Prinz Barbershop akan dicuci rambutnya sebelum digunting tetapi perkhidmatan ini adalah mengikut permintaan.

Bercerita pula mengenai potongan rambut yang sesuai untuk lelaki, CK menjelaskan gaya potongan akan tampak sempurna sekiranya bahagian tepi kiri dan kanan serta bahagian belakang dipotong nipis berbanding rambut asal.

Tuturnya lagi, sekiranya bahagian tersebut tidak dinipiskan, ia tidak akan nampak potongan yang dibuat.

Antara gaya yang menjadi pilihan pelanggan ialah psycho, pompdour, quiff, slick back, klasik Inggeris, dan hipster.

Yang pasti, jika dahulu kedai-kedai gunting rambut dipelopori orang India atau pun mamak dan mereka akan beroperasi di deretan kedai yang dibahagi dua, tetapi hari ini tidak lagi.

Begitupun, ia tetap menjadi pilihan ramai kerana ada yang berpendapat tiada sebarang jenis potongan yang lebih baik daripada bahagian belakang dan sisi rambut yang digunting tampak kemas.