Bagaimanakah hidup kita akan berjalan seperti biasa sekiranya kita tidak berkomunikasi dengan orang lain? Apakah kita dapat mengatasi itu semua sekiranya kita mengalami masalah pendengaran?

Kenyataan ini kelihatan rumit tetapi bagi Nurul Ashikin An Rasyid, 13, pengalaman sejak lahir tanpa pendengaran bukanlah sesuatu yang luar biasa. Zahirnya kelihatan seperti kanak-kanak normal lain tetapi Nurul Ashikin tidak dapat mendegar. Kalau dapat dengar pun, hanya sehalus zarah dan butir tutur katanya tidak jelas.

Namun, kasih ibu merubah nasib Nurul Ashikin. Rohaning Sama-Ae mahu anaknya yang dikategori orang kurang upaya ini (OKU) hidup seperti kanak-kanak normal lain. Tiga tahun lalu, Rohaning yang sanggup berhenti kerja untuk menguruskan Nurul Ashikin mencari bantuan pakar dan dana bagi merawat masalah pendengaran anaknya.

“Anda tentu ingin yang terbaik bagi anak anda. Itulah alasan mengapa anda memilih untuk memberikan anak anda pendengaran yang berkelas A+. Sudah tentu anda ingin anak anda untuk dapat berbicara, tertawa, bernyanyi, dan mencapai cita-cita mereka.

“Itulah bayangan masa depan saya buat Nurul Ashikin. Alhamdulillah, permohonan kami daripada dana IHH Healthcare Berhad (IHH), sayap penjagaan kesihatan Khazanah Nasional Berhad ( Khazanah ) diluluskan. Nurul Ashikin dapat menjalani pembedahan implan koklear (cochlear) yang ditaja sepenuhnya oleh Khazanah IHH Healthcare,” katanya.

Adilfitri tahun ini amat bermakna buat Nurul Ashikin kerana sudah tiga tahun menjalani pembedahan dan memakai alat pendegaran khas implan tersebut. Malah, dia sudah dapat mendegar dengan baik, menyebut perkataan dengan jelas dan mengenali benda dengan tepat.

Menurut Rohaning, pada tahun ini, Nurul Ashikin akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan guru-guru di sekolah khasnya meletakkan harapan yang tinggi kerana Nurul Ashikin merupakan pelajar yang berpotensi. Ditanya tentang sambutan Aidilfitri, Rohaning memberitahu, dia melihat perubahan Nurul Asyikin setiap kali hari raya.

Jika sebelum menjalani pembedahan Nurul Asyikin lebih banyak menyendiri kerana tidak dapat berkomunikasi dengan rakan-rakan dan sepupunya yang lain. Kini, dia melihat Nurul Asyikin menjadi remaja yang berkeyakinan dan pandai memilih konsep pakaian tertentu sempena raya. Pada tahun ini, mereka sekeluarga akan ke kampung halamannya di selatan Thailand.

“Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami masalah seperti ini seharusnya tidak berputus asa tetapi bantu anak mereka menjalani kehidupan tersebut. Misalnya, jika anak anda menjalani pembedahan implan, sepatutnya penjagaan itu perlu berterusan termasuk penjagaan alat pendengaran tersebut selepas pembedahan sama ada boleh berfungsi atau tidak. Bahkan dari segi sebutan dan pembelajaran juga perlu tunjuk ajar daripada ibu bapa. Jangan biarkan mereka melalui kehidupan itu bersendirian,” katanya.

Dalam pada itu,Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi Malaysia, Pantai Parkway Limited, Ahmad Shahizam Mohd Shariff turut bergembira dengan perkembangan positif Nurul Asyikin.

“Kami terus bersyukur dengan perkembangan positif adik Nurul Ashikin sekarang hari setelah menerima bantuan daripada dana Khazanah IHH Healthcare. Sebagai wakil dana ini, ingin saya mengambil peluang keemasan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam, terutamanya benefisiari dana ini yang turut menyambut, kaum keluarga dan sahabat handai dari jauh mahu pun dekat,” katanya.