Bagaimanapun, berkhidmat sebagai pendidik belum cukup memberi kepuasan kepada Nik Mohd. Shahrizal Sudin, 32. Hidupnya terasa kosong kerana tidak berpeluang melakukan perkara yang paling diminati iaitu silap mata dan berjenaka.Sehubungan itu, anak jati Kota Bharu tersebut nekad menurut kata hati dengan meninggalkan kerjaya sebagai pendidik semata-mata mahu menjadi ahli silap mata profesional yang berimej badut di Kelantan, beberapa tahun lalu.

Bercerita lanjut tentang minatnya terhadap silap mata, Nik Mohd. Shahrizal berkata, dia jatuh cinta dengan seni ilusi dan manipulasi minda tersebut seawal usia tujuh tahun.

"Apabila cuti sekolah, saya akan duduk di depan televisyen menonton sarkas dan silap mata merupakan persembahan paling saya tunggu. Ayah saya juga pandai buat silap mata menggunakan syiling namun enggan kongsi dengan saya bagaimana dia melakukannya.

"Jadi saya berusaha sendiri dengan cara membeli buku mengenai silap mata. Buku itu mahal kerana perlu beli kesemua koleksinya.

"Bakat saya berkembang selepas saya ke ibu negara untuk menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan. Di sana saya bertemu ahli silap mata profesional dan tidak melepaskan peluang untuk berguru dengannya," katanya.

Menurut Nik Mohd. Shahrizal, berhenti kerja sebagai pensyarah bukan keputusan drastik kerana beliau sudah membuat kajian mendalam termasuk penerimaan masyarakat dan potensi kerjaya tersebut dalam menjana pendapatan di samping demi kepuasan diri.

"Sebelum berhenti kerja, saya buat persembahan silap mata secara kecil-kecilan. Minat punya pasal, saya sanggup buat persembahan percuma.

“Hati saya rasa puas apabila dapat buat persembahan dan penonton terhibur.

"Lama-kelamaan, sambutan diterima semakin menggalakkan. Masyarakat dapat menerima dengan baik persembahan saya," katanya.

Di Kelantan, perjalanan seni silap mata lelaki yang turut digelar Moja The Clown itu pada mulanya tidak mudah kerana stigma negatif masyarakat yang beranggapan perkara itu boleh memesongkan akidah.

"Silap mata saya hanyalah menggunakan kepakaran membuat ilusi yang mengelirukan penonton.

“Tidak ada unsur khurafat atau ilmu hitam. Apabila membuat persembahan saya akan pastikan ia mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan negeri," tegasnya.

Ketabahan Nik Mohd. Shahrizal memperkenal persembahan seni silap mata di Kelantan akhirnya berbaloi apabila beliau berpeluang menghiburkan bekas Menteri Besar sendiri iaitu Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2010.

Sejak itu, kehebatannya membuat silap mata sambil berjenaka sering diperkata. Pelbagai agensi, orang kenamaan mahupun masyarakat biasa tidak putus-putus menjemput Moja The Clown hadir menceriakan majlis mereka.

Bapa kepada dua cahaya mata, serta suami kepada Hasniza Che Harun, 30, itu bagaimanapun enggan berhenti di situ sahaja. Di samping ahli silap mata dan pelawak, beliau turut bergelar usahawan yang mula meningkat namanya di Kelantan.

Beliau kini merupakan pemilik Jamagic Entertaiment, syarikat pelopor kepada persembahan silap mata dan badut selain turut menawarkan perkhidmatan lain seperti pengurusan acara, sistem bunyi, perisian silap mata dan kedai barangan untuk parti.

"Menjadi seorang usahawan, ahli silap mata, badut selain menjadi seorang bapa dan suami bukan mudah namun saya berjaya mengharungi dengan kehadiran isteri yang tidak pernah berhenti menyokong apa yang saya lakukan," katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan ditawarkan Jamagic Entertaiment, sila layari laman web rasmi Jamagic Entertainment iaitu www.mojaclown.com atau Facebook Moja The Clown.