Episod duka mula melanda dalam kehidupan Chee Meng ketika dia berusia 17 tahun apabila kemalangan yang berlaku menyebabkan kecederaan pada bahagian soket mata kirinya. Keadaan itu memberi kesan penghasilan imej pada penglihatannya, yang mana dia melihat dua imej berganda.

Ternyata keadaan tersebut memberi tamparan hebat dalam hidup lelaki yang berasal dari Taiping, Perak itu, apabila dia mula memilih untuk menjadi seorang yang pendiam kerana malu dengan penampilannya.

“Saya masih ingat lagi ketika di sekolah, saya masuk ke kelas dengan memakai cermin mata hitam. Saya bimbang jika rakan-rakan mengejek saya kerana kedudukan mata hitam saya agak lari daripada asal.

“Ketika itu saya cuba mengelak bergaul dengan ramai orang sehinggalah saya berkenalan dengan sekumpulan pelajar yang sering melakukan aktiviti melukis menggunakan medium warna air. Mereka mendedahkan saya tentang asas-asas seni lukis.

“Dari situ, saya mula melihat perspektif seni lukis amat berbeza dengan apa yang saya tahu. Saya gembira dapat melakukan sesuatu yang saya suka dan tanpa sedar seni membantu membina keyakinan saya kembali untuk berhadapan dengan orang ramai,” katanya ketika ditemui Mega Rona di studio miliknya di Puchong baru-baru ini.

Bagi Chee Meng, seni merupakan saluran untuk dia menzahirkan pergelutan dalaman yang dialaminya berikutan penglihatan yang terjejas akibat kemalangan jalan raya.

Caranya melihat dunia iaitu garisan yang kelihatan kabur dengan bayangan berganda menjadi asas untuknya meluahkan isi hati dan membuat penceritaan menerusi karya seninya.