Rentetan itulah personaliti ini semakin mendapat tempat dalam dunia kulinari dan kalangan mereka yang gemar memasak sehingga ke hari ini.

Tidak pernah menyangka akan dikenali seperti hari ini, Cef Adu Amran Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan Cef Adu, memberitahu, selama ini dia tidak pernah mempunyai matlamat tertentu dalam dunia masakan, apatah lagi mengimpikan populariti sebagaimana yang dikecapi sekarang.

Apa yang dilakukan selama ini hanya mengikut kehendak hati semata-mata dan pencapaian hari ini disusuli dengan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi.

Bagaikan ‘diam-diam ubu berisi’, setelah agak lama menyepi, baru-baru ini dia muncul dengan buku masakan ketiganya bertajuk Ke Mana Tumpahnya Kuah.

Menurut Cef Adu, buku tersebut mengambil masa agak lama iaitu lebih dari empat tahun untuk disiapkan.

Ini kerana, ia merupakan buku semi autobiografi masakan yang terhasil daripada kecintaannya kepada keluarga, warisan, masakan dan penulisan.

Ke Mana Tumpahnya Kuah. mengandungi 74 resipi gabungan resipi-resipi warisan keluarganya selain olahan sendiri.

“Buku ini terhasil kerana saya ingin memelihara resipi turun-temurun keluarga daripada dilupakan begitu sahaja, selain mencabar kreativiti pembaca untuk mengolah resipi tradisi dan mencipta sesuatu yang baharu dengan elemen masakan Malaysia.

“Uniknya, buku ini tidak hanya tertumpu kepada resipi semata-mata, kerana di dalamnya turut diselitkan cerita serta pengalaman saya yang membesar di dalam keluarga yang mempunyai pelbagai keturunan dan latar belakang.

“Ia turut menceritakan bagaimana pengaruh budaya diselitkan di dalam masakan keluarga saya, sama ada untuk makan sendiri atau dibuat berniaga.

“Dalam erti kata lain resipi yang dipaparkan ada berkaitan dengan kisah diri saya. Ini merupakan buku terakhir yang menampilkan kisah saya selepas Nasi dan Seni dan Ikan Di laut Asam Di darat’,” katanya ditemui pada majlis pelancaran buku Ke Mana Tumpahnya Kuah, di The Canteen By Chef Adu, Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pernah bermastautin di London selama 18 tahun, Cef Adu memberitahu buku terbaharu itu telah dicetak sebanyak 1,000 naskhah dan akan turut dipromosikan di kota tersebut.

Menafikan penerbitan buku itu semata-mata bertujuan komersial, anak kelahiran Kluang, Johor, ini memberitahu dia hanya menggunakan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya.

Diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), buku yang mengandungi 16 bab ini menjadi lebih unik apabila Cef Adu turut mengadakan ruangan ‘pesan cef’, iaitu satu ruangan yang menitipkan tip masakan atau cadangan ketika memasak resipi tersebut.

Mengharapkan sama-sama menyayangi dan menghargai warisan kita, buku ini boleh didapati di restorannya The Canteen By Chef Adu pada harga RM70 atau di kedai-kedai buku terpilih di seluruh negara. - Gambar MOHD FARIZWAN HASBULLAH