Anak sulung daripada tiga beradik ini belum ‘nampak’ apa yang akan dilakukan sebagai kerjaya. Sedikit sebanyak, keadaan tersebut menggusarkan fikiran, malah pernah terlintas pada fikiran, dia mungkin akan menganggur.

Tamat diploma, dia menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan mula nampak ‘arah’ yang ingin dituju.

Walaupun masih dalam pengajian, dia telah membuka studio melukis di Shah Alam bersama lapan orang rakannya.

Ketika itu dia hanya mengambil tempahan lukisan daripada pelanggan dan tidak terfikir untuk menghantar lukisan ke galeri.

Sehinggalah setelah tamat pengajian, dia mula menumpukan sepenuh perhatian pada galeri, melukis karyanya sendiri dan pada masa sama masih menerima tempahan lukisan.

Menurut Mohammad Haziq, minatnya melukis bermula sejak pada tingkatan lima lagi. Sebelum itu dia memang tahu melukis dan selalu membuat lukisan yang menghiasi dinding rumah ibunya.

Lukisan pertama yang dihasilkan ialah potret adik bongsunya, Qaseh, yang menghidap penyakit bengkak hati. Lukisan kanak-kanak comel ini mendapat perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya kerana terdapat seakan-akan ‘penceritaan’ di sebaliknya.

“Saya berminat dengan lukisan figura atau potret. Setakat ini, saya telah menghasilkan lebih 60 lukisan potret dan lebih kurang 100 buah lukisan yang kecil.

“Bidang seni halus adalah ibu segala seni. Sebagai pelukis seni halus, seseorang itu bebas mengikut arah yang mereka tuju atau mengikut minat masing-masing.

“Lukisan yang saya hasilkan dan jual bermula pada harga RM150 hingga RM200 bagi saiz satu kaki (30 sentimeter).

“Buat masa sekarang lukisan yang paling besar saya hasilkan bersama-sama kawan-kawan saya, Mohammad Fakhriq Zulkifli, 24; dan Muhamad Amsyar Ramly, 25; dan beberapa orang rakan lain ialah lukisan beberapa ekor kuda.

“Saiz lukisan ini ialah tujuh kaki (2.13 meter) tinggi dan 30 kaki (9.1 meter) panjang dan merupakan lukisan yang terpanjang setakat ini. Lukisan ini ditempah oleh pelanggan yang berminat dengan kuda dan mahu dijadikan hiasan di dinding bahagian luar rumahnya,” katanya ditemui di Studio Tuah X Kacang di Seksyen U12 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya lagi, lukisan yang dibuatnya adalah lukisan kanvas, minyak, cat air dan akrilik. Paling sukar adalah cat minyak kerana perlu lebih berhati-hati dan berus yang digunakan perlu segera dibersihkan supaya tidak cepat rosak.

Mohammad Haziq bersyukur kerana 30 karya yang dihasilkan sebelum ini laris dalam semua pameran yang disertai. Antara pameran lukisan yang pernah disertai, di MAA Gallery KL Sentral; Art Geng di Bandar Hilir, Melaka; Mural 2012; Melukis Bersama TYT Melaka Adi Sri Rambai; dan Diploma Show Art and Design UiTM, Lendu, Alor Gajah, Melaka.

Pada tahun lalu, dia telah menyertai pameran lukisan bagi mengutip sumbangan bagi diberikan kepada mangsa banjir serta Pameran New Comers 2 di Artiseri, Hotel Seri Pacific.

Lukisannya juga pernah dipamerkan di Galeri RT, Taman Melawati; Pusat Seni Segaris, Publika; Galeri Chandan Publika; dan Galeri Hom, Ampang. Pada masa sekarang, lukisannya turut dipamerkan di Taman Tema Genting Highlands.

Sebagai pendatang baru, pelajar terbaik bagi lukisan utama seni halus di UiTM, Lendu, Melaka 2013, itu mengakui, masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari bagi menjadikan dia sebaris dengan pelukis kontemporari negara.

“Saya juga belum bersedia meletakkan harga tinggi bagi setiap karya dan ia di atas budi bicara penganjur.

“Kepuasan yang saya peroleh apabila menjadi pelukis ialah mempunyai masa sendiri. Jika mahu pendapatan lebih, mesti rajin menghasilkan karya.

“Seperti lukisan kuda ini yang dibuat bersama kawan-kawan, merupakan yang paling mahal, kira-kira RM20,000 dan merupakan pendapatan saya untuk tiga bulan,” ujarnya yang percaya menjadi pelukis sepenuh masa juga boleh ‘hidup’.