Seperti yang diceritakan oleh isteri wakil Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Dhian Prihandini, 46, kolak pisang ialah hidangan manis pencuci mulut yang dimasak bersama santan, gula Melaka dan pisang. Dengan kata lain, makanan ini sangat mirip dengan pengat pisang.

Dhian yang ditemui Mega Rona di kediaman rasminya baru-baru ini, baharu empat bulan mengikuti suaminya, Andreano Erwin, 48, bertugas di Malaysia, dan mungkin tiada pengalaman berpuasa di negara ini.

Namun, apabila diceritakan kepadanya mengenai bubur lambuk, beliau tersenyum dan mengakui ada merasai makanan berkenaan semasa hari pertama berbuka puasa di sini. Jujur beliau mengatakan rasa bubur lambuk sangat sedap.

Tambah beliau, masjid-masjid besar di Indonesia, khususnya Jakarta akan menghidangkan kolak pisang untuk jemaah berbuka. Selain itu, mereka turut memberikan bubur candil kepada jemaah.

Berkongsi cerita berpuasa di negara asalnya, wanita kelahiran Solo ini menambah, pada malam 1 Ramadan, orang ramai tidak mengira lelaki, wanita dan kanak-kanak akan memenuhi masjid dan surau bagi menunaikan solat tarawih.

Sudah menjadi kebiasaan setiap ketibaan Ramadan, pemerintah negara itu cukup menggalakkan masyarakat Islam di sana menjalani solat tarawih.

Ujar ibu kepada dua cahaya mata ini, sambutan Ramadan di Indonesia sangat meriah. Masyarakatnya akan menjalani ritual ibadah sambil mengeratkan silaturahim antara saudara-mara, jiran tetangga dan sebagainya.

Ketika Ramadan, mereka mengamalkan ‘bukber’, singkatan daripada berbuka bersama, di mana komuniti seperti keluarga, rakan-rakan pejabat, kementerian dan kawan-kawan akan berbuka puasa bersama-sama.

Kebiasaannya bukber dilakukan seminggu sekali. Pada waktu ini kemesraan dapat dijalin antara satu sama lain.

“Pada bulan puasa, masyarakat di sana mengamalkan menghantar sepiring makanan seperti kuih-muih atau lauk-pauk ke rumah jiran-jiran. Jika jiran memberikan makanan yang manis, akan dibalas dengan makanan sebaliknya seperti masin atau pedas.

“Bagaimanapun, ada juga yang memberikan makanan manis dan dibalas dengan yang manis juga. Pantang memulangkan kembali piring kosong kerana sudah menjadi budaya masyarakat di sana.

“Di masjid bandar-bandar besar, pada minggu ketiga masih ramai jemaah yang melakukan solat tarawih dan qiamullail. Contohnya di Jakarta, saban tahun makin ramai yang memenuhi masjid kerana pihak masjid menyediakan pakej seperti bermalam di masjid bagi mengikuti majlis-majlis ilmu.

“Pada 10 malam terakhir contohnya di Masjid Raya Al-Ihtihad, Jakarta, warga kota dan yang bermusafir, beriktikaf di masjid dan jumlah jemaah bertambah setiap tahun. Perkembangan ilmu keagamaan semakin pesat bagi generasi hari ini. Diharapkan komuniti yang berjemaah ini menguatkan ukhuwah dan saling bekerjasama,” katanya.

Peniaga-peniaga jalanan semakin ramai ketika bulan puasa. Ramai pedagang kaki lima mencari rezeki dengan menjual pelbagai barangan. Banyak restoran dibuka semasa sahur, namun restoran yang menjual makanan Padang dibuka 24 jam.

Jelas Dhian, ketika ini, pemerintah Indonesia akan mempastikan persediaan barangan makanan mencukupi. Bukan sahaja ketika Ramadan tetapi juga pada hari raya kerana masa ini masyarakat akan berbelanja besar untuk makanan dan memasak pelbagai juadah.

Bukan sahaja memastikan stok makanan mencukupi, harga juga akan dipantau supaya pelbagai lapisan masyarakat dapat menikmati puasa dan lebaran dengan perasaan gembira.

Sebelum mengikut suami bertugas di Malaysia, kata Dhian, beliau berada di New York selama empat tahun dan merasai pengalaman berpuasa di negara itu.

Walaupun tempoh berpuasa di sana adalah lebih lama dari Indonesia atau Malaysia, namun kerana cuaca yang sejuk dan nyaman, tempoh yang lama tidak begitu dirasai.

Di New York, terdapat sebuah masjid yang dinamakan Masjid Al Hikmah dan komuniti Indonesia akan bersolat tarawih di masjid tersebut.

Mereka juga akan mengadakan bukber seminggu sekali yang akan disediakan oleh komuniti Indonesia di sana. Mereka akan turut menjemput komuniti daripada Pakistan, India, Filipina dan Malaysia untuk berbuka bersama.