Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii, 36, rupa-rupanya rumah nenek isterinya, Eveleen Augustine Lai, 35, berdekatan dengan rumahnya namun, Eveleen membesar di Miri.

Menceritakan bagaimana perkahwinan yang berlangsung pada 3 Jun 2006, kira-kira 10 lalu bermula, Ling Hii berkata, ia bermula ketika beliau yang bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai penyelia di Miri bertemu dengan teman hidupnya yang bekerja di tempat sama.

Katanya, ketika itu mereka berkenalan pada 2004 dan dari situ timbul rasa sayang dan Mac 2005 kami bertunang.

"Kami bercadang untuk berkahwin pada hujung tahun itu, namun terpaksa ditunda kerana saya perlu mengikuti latihan menjadi rekrut bomba selama sembilan bulan.

"Tempoh latihan itu, merupakan cabaran besar saya kerana semua telefon bimbit rekrut disimpan membuatkan kami susah berhubung antara satu sama lain," katanya ketika ditemui S2 di rumahnya di Kuching baru-baru ini.

Tambahnya, beliau cukup bertuah kerana meskipun sibuk dengan latihan rekrut bomba, Eveleen sangat memahami dan membuat segala persiapan majlis perkahwinan bersama keluarga.

"Selepas sahaja tamat latihan rekrut, kami terus melangsungkan perkahwinan di Dalat mengikut adat Melanau dan Cina yang berlangsung dengan meriah dan lancar.

"Prinsip saya cukup mudah dalam memilih pasangan hidup, mendapat restu ibu bapa menjadi keutamaan. Selain kecantikannya, dia seorang lemah lembut, bertanggungjawab dan ada ketegasannya," ujarnya.

Ling Hii memberitahu, beliau bersyukur selama 10 tahun perkahwinannya telah dikurniakan empat cahaya mata, tiga lelaki dan seorang perempuan iaitu Hamilton Tiong (lapan tahun), Brandon Tiong (empat tahun), Jonathon Tiong (dua tahun) dan Sophia Ilene Tiong (enam bulan).

"Tiada apa-apa rahsia kebahagian keluarganya, cuma yang penting kita perlu bertolak ansur, memahami antara satu sama lain dalam kehidupan seharian.

"Bila ada kesempatan di hujung minggu, saya dan isteri akan membawa anak-anak keluar berjalan-jalan khususnya di tempat dengan persekitaran semula jadi seperti di Santubong, Annah Rasis dan lain-lain," ujarnya.

Sementara itu, Eveleen memberitahu, pada mulanya mereka hanya berkawan dan lama-kelamaan setelah mengenali dengan lebih dekat, tertarik dengan sikap dan sifatnya yang penyayang.

"Dia seorang pendengar setia, bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap diri saya dan anak-anak kami. Ketika saya terpaksa bekerja di luar kawasan selama beberapa hari, dialah yang akan menjaga anak kami," jelasnya.