“Kim ibu tunggal umur dah lebih 60 tahun, ada empat orang anak, semuanya sudah berkahwin, tetapi dua dari empat orang anaknya ini benar-benar merunsingkan fikirannya. Suami Kim meninggal dunia lebih dua tahun lalu, kerana serangan jantung. Tak tahulah saya apakah kerana memikirkan masalah anak-anaknya atau memang penyakit itu sudah lama bersarang dalam tubuhnya,’’ itu cerita Norhidayah ketika kami berbual.

“Asalnya Norhidayah menghubungi penulis hendak bertanya tentang KSIT (Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal), kerana ingin mengajak Kim hadir sama ke perjumpaan tersebut, tujuannya untuk mencari jalan atau mendapatkan idea, tetapi setelah diberitahu fungsi KSIT, maka beliau menjelaskan bahawa masalah kawannya tidak sama dengan matlamat KSIT.

“Namun, terlanjur bercerita Norhidayah melahirkan isi hatinya yang sedih dan kasihan dengan masalah Kim, kerana dia sendiri tidak tahu apa yang boleh dibantu kepada kawannya, kerana masalahnya datang bertimpa satu persatu.

“Semasa suaminya masih ada, dia sering berulang ke hospital membawa suaminya mendapatkan rawatan susulan. Dalam waktu yang sama fikirannya juga runsing dengan perangai anak lelakinya Afiq yang sering meminta pinjam duit paling kurang RM300, kebiasannya dalam masa dua bulan sekali. Dia sentiasa ada masalah dan perlukan bantuan segera. Kerana kesiankan anak, dia terpaksa beri.

“Kata Kim anaknya perlukan duit untuk menyediakan keperluan dua orang anaknya yang bersekolah. Alasan yang diberikan biasalah gajinya tak cukup, barang makan mahal dan ada masalah keperluan harian. Peliknya isterinya juga bekerja, mereka belum beli rumah, masih menyewa. Kim pernah nasihatkan anaknya supaya berjimat, jangan selalu makan di kedai, masaklah sendiri. Tetapi anaknya beri alasan duduk di KL semuanya mahal, gaji RM3,000 pun tak cukup.

“Kim beritahu gaji suaminya dulu tak sampai RM2,000, dia sendiri tak bekerja, tetapi suaminya boleh tanggung makan minum mereka enam beranak, tak meminjam, dan sebelum bersara suaminya masih boleh beli rumah murah tak jauh dari KL.

“Bila dia bercerita pada Afiq, si Afiq akan beri alasan dulu semua barang murah, sekarang mahal. Betul, tetapi kata Kim dia tak bekerja, sedangkan isteri Afiq bekerja, kalau mereka berjimat, berkongsi berbelanja, dan baik pakat tentu mereka boleh hidup selesa walaupun bukan mewah macam orang lain.

“Tetapi kata Kim masalah dengan anak-anaknya, terutama Afiq, mereka suka makan di luar anak beranak, isterinya tak suka masak alasannya balik kerja penat, tak ada masa nak masak. Bukan tak boleh makan di luar, seminggu atau dua minggu sekali bolehlah, tetapi kalau dua atau tiga hari sekali, susahlah.

“Kalaupun isteri Afiq malas masak, mereka boleh beli lauk di luar balik masak nasi di rumah, tentu lebih menjimatkan. Kalau setakat beli 2 atau 3 jenis lauk tak besar belanjanya. Berbanding kalau semua orang makan di luar tentulah mahal, tak termasuk belanja minuman. Saya faham apa yang Kim katakan, sebab rumah Afik dekat dengan gerai, dan anak-anak mereka sering makan di luar tentulah belanjanya mahal. Kalau pun mereka tak pergi makan sekeluarga, tetapi setiap orang anaknya diberikan duit untuk beli makanan sendiri di gerai memanglah mahal.

“Keadaan semakin teruk bila suami Kim meninggal, Afiq jadi berani minta duit Kim setiap bulan. Dulu dia segan dan takut pada ayahnya, tetapi tidak sekarang. Tambahan dia tahu Kim dapat pencen setiap bulan, selain itu anak-anak Kim yang lain ada beri Kim sagu hati setiap bulan, jadi Kim tempat Afiq bergantung, dia tak susah hati lagi, hinggakan dah jadi wajib kepada Kim beri duit pada Afiq setiap bulan.

“Akhir-akhir ini yang menakutkan Kim, Afiq beritahu kalau Kim tak mahu bantu beri dia duit maka dia akan pinjam pada Along. Ini betul-betul macam ugutan yang menakutkan Kim. Dia takut anaknya mati kerana tak ada duit bayar Along.

Nasihat

“Jadi untuk selamatkan Afiq, dalam diam Kim terpaksa beri Afiq duit. Alasannya dia tak mahu anaknya mati dibunuh, kerana dia dengar banyak cerita orang pasal Along dan baca banyak berita orang dibunuh oleh Along.

“Alasan Kim biarlah dia susah, asalkan Afiq tak pinjam Along. Masalahnya isteri Afiq tak macam orang susah, hidupnya bergaya sakan, dengan fesyen pakaiannya, gaya tudungnya apa lagi dengan kasut pelbagai fesyen. Boleh dikatakan kalau ada fesyen terbaru dia dulu pakai nak bergaya. Dia langsung tak menunjukkan bahawa suaminya Afiq susah. Boleh dikatakan setiap bulan dia akan beli pakaian dan tudung ikut fesyen terbaru.

“Masalah saya bila Kim mengadu, dia minta nasihat, bila saya nasihatkan dia tak berani nak lakukan, kerana dia sayangkan anaknya. Jadi saya pun naik sasau tak tahu apa nak nasihatkan lagi sebab itu saya tanyakan apakah KSIT boleh bantu? Itu cerita Nurhidayah tentang Afiq.

“Satu lagi masalah Kim tentang anak perempuannya Sahida, yang sudah berkahwin ada tiga orang anak tetapi bercinta dengan suami orang. Alasan Shida dia tak sukakan suaminya, sebab suaminya terlalu pentingkan kawan dan diri sendiri dan tidak sayangi dia lagi.

“Kata Kim dia nasihatkan Shida supaya berterus terang dan ceritakan masalahnya dengan suaminya, untuk baiki hubungan dan kehidupan mereka, tetapi kata Shida suaminya tidak ambil peduli, sebaliknya lebih pentingkan diri sendiri. Terlalu kedekut dan berkira tentang berbelanja dalam rumahtangga. Hinggakan setiap barang yang diberi mesti ada resit jika tidak dia minta duit lebihan.

“Kata Shida hubungan mereka suami isteri telah tegang sejak beberapa tahun lalu, dan Shida tidak berjaya mengubahnya, ketika bermasalah inilah dia bertemu dengan teman pejabat yang memahami masalahnya. Malangnya orang itu lelaki, lama-lama mereka sudah jatuh cinta. Ini yang membuat Kim tak boleh tidur malam kerana fikirkan masalah anak-anaknya.

“Bila ada masalah, saya tempat Kim mencurahkan isi hatinya. Kami bersahabat baik sebab duduk berdekatan, walaupun berlainan taman perumahan. Tetapi dia juga dahulu kawan sekolah saya. Kadang kala saya terpaksa datang ke rumahnya bila dia menangis untuk mententeramkan keadaannya. Kim sering menyalahkan dirinya kerana tidak pandai menasihati anak-anaknya. Sebab itu mereka banyak buat kesilapan dalam hidup mereka.

“Oleh kerana Kim menjaga dua orang cucunya yang bersekolah dekat rumahnya, merekalah jadi penghibur hati Kim. Dua orang cucunya itu bersekolah agama. Kata Kim apa yang berlaku ke atas dirinya sekarang adalah kesalahannya kerana kurang beri didikan agama kepada anak-anaknya. Tambahan pula 30 tahun dahulu, tak ada sekolah agama seperti sekarang. Walaupun mereka boleh mengaji al-Quran tetapi mereka kurang bimbingan agama.

“Berbalik pada masalah anaknya Shida, saya minta Kim nasihatkan Shida supaya berbincang dengan suaminya, dan dia sendiri kena ubah perangai supaya tidak menceritakan masalah rumah tangganya dengan kawan lelaki. Malah dengan kawan wanita pun tak boleh, mereka suami isteri mesti atasi masalah mereka dan memahami makna berumahtangga. Fikirkan masalah anak-anak sedang remaja dan jangan hanya fikir diri sendiri.

“Saya katakan pada Kim tidak ada salahnya wanita yang bercerai kahwin lagi, tetapi untuk isteri orang bercinta dengan lelaki lain, termasuklah suami orang haram hukumnya, Ini hukum dalam al-Quran yang tak boleh disangkal lagi. Malah bercinta dahulu sebelum kahwin pun haram, apatah lagi isteri orang bercinta dengan suami orang atau lelaki lain. Kalau betul Shida sudah benci sangat dengan suaminya, pergi Mahkamah Syariah minta cerai. Bukan cari jalan mudah bercinta dengan lelaki lain.

“Saya bukanlah orang pandai bab agama, tetapi saya cuma ceritakan apa yang saya tahu, sebaik-baiknya janganlah bercerita masalah kita kepada orang lain yang mungkin akan mengambil kesempatan daripada masalah kita untuk kepentingan dirinya sendiri.

“Lagipun apa gunanya bercerita masalah keluarga kepada kawan lelaki, bimbang mereka akan ambil kesempatan. Sekarang baru bercinta, apa kata berlaku sesuatu yang lebih buruk tentu berdosa besar. Tidak ada gunanya bercinta dengan suami orang, sedangkan diri sendiri masih isteri orang. Sebaiknya lupakan kisah jatuh cinta, tetapi baiki rumahtangga yang pincang. Fikirkan masa depan anak-anak ditakdirkan berlaku perceraian. Jangan nanti anak-anak salahkan ibunya kerana bercinta dengan orang lain punca mereka terpisah dengan ayahnya.

“Nasihat saya masih belum terlambat untuk Kim rapatkan dirinya dengan Shida dan cucu-cucunya mungkin menantunya boleh berubah hati dan Shida boleh ubah perangai yang suka menceritakan masalahnya dengan orang lain. Sebaliknya fikirkan masa depan.

“Tetapi masalah besar Kim dia bukanlah orang yang boleh beri nasihat kepada anak-anaknya. Kerana semasa hayatnya, suaminyalah yang paling banyak mendekati dan menasihati anak-anaknya, tetapi setelah suaminya meninggal Kim seperti kehilangan, sebaliknya dia banyak bergantung kepada anak-anaknya.

“Mungkin jika tidak ada dua orang cucu duduk bersamanya, mungkin dia lebih kehilangan, dan tidak mampu berdikari. Seperti kata orang dalu-dulu “Kim umpama burung dalam sangkar, dia makan jika di beri makan’.’’ Demikian cerita Nurhidayah tentang masalah anak-anak yang menyusahkan hati ibunya.