Menurut Nur Izzatti semasa tengah hangat bercinta dahulu, dan ketika ingin bertunang dia ada bertanya pada bakal tunangnya Farid. “Jika benar Farid ingin mengambilnya jadi suri rumah tangganya, sanggupkah dia benarkan ibu saya tinggal bersama, kerana saya dipertanggungjawabkan menjaga emak yang telah tua.

“Kata Farid itu bukan masalah, malah dia suka, dapatlah ibu Farid berkawan dengan ibu saya kerana masing-masing telah tua dan tidak ada sesiapa yang menjaganya. Malah Farid mencadangkan kami menyewa rumah di belakang rumah emaknya.

“Kerana persetujuannya, maka kami terus bertunang dan berkahwin. Sebab saya ingin bawa ibu tinggal bersama kerana abang saya tak boleh jaga emak dan saya tak boleh biarkan emak tinggal sendirian di kampung. Bila emak duduk kampung, saya terpaksa balik setiap hujung minggu. Itulah yang saya buat ketika belum berkahwin, sudah kahwin suami saya perlu perhatian saya. Dulu nak bawa emak tinggal dengan saya tak sesuai. Sebab saya menyewa rumah flat tak ada lif, takkan saya nak paksa emak naik tingkat empat setiap kali ke hospital atau buat rawatan.

“Emak boleh berjalan, tetapi untuk memanjat flat empat tingkat memang susah, dan emak tak mampu. Harapan saya bila duduk menyewa rumah emak Farid bolehlah saya bawa emak tinggal bersama, sebab rumahnya tak bertangga, jadi mudahlah emak bergerak.

“Tetapi masalahnya rumah sewa emak Farid tak ada tandas duduk dan pintu untuk masuk ke tandas sempit dan menyulitkan untuk bergerak, sebab badan emak saya agak gempal. Pendek kata memang susah nak bergerak. Bukan sahaja susah menyangkung di tandas, malah untuk mandi pun agak menyusahkan.

“Tak sampai sebulan duduk dengan kami, emak balik ke kampung, sebab dia lebih mudah bergerak walaupun terpaksa tinggal sendirian. Bila duduk kampung menyulitkan saya pula, sebab saya bukan boleh balik kampung setiap minggu, Farid pun tak suka.

“Saya minta Farid ubah suai bilik air dan tandasnya, tetapi Farid tak mahu buat. Katanya tak boleh ubah suai. Emaknya tak izinkan. Saya tanya Farid macam mana tentang janjinya. Tetapi Farid diamkan diri. Kerana tak ada jalan lain saya ajak Farid cari rumah sewa yang ada kemudahan tandas. Itu pun Farid tolak.

“Jadi apa pilihan yang saya ada? Janjinya hanya tinggal janji. Satu hari nak dijadikan cerita, emak saya jatuh di kampung. Terpaksalah saya bawa emak masuk hospital di KL. Sebab saya bekerja macam mana nak jaga emak, adik lelaki saya sudah kahwin dia pindah ke negeri lain. Abang pulak sibuk menguruskan anak-anaknya berulang alik ke sekolah.

“Oleh sebab belum ada anak, saya disuruh jaga emak. Farid tidak suka. Tetapi apa pilihan saya? Takkan saya nak biarkan emak sendirian di hospital, sedangkan emak tak boleh bergerak apa lagi berjalan.

“Dipendekkan cerita akhirnya emak dibenarkan balik ke rumah. Sudah tentu saya bawa emak tinggal di rumah sewa emak Farid. Kerana di situ kami tinggal. Tetapi keadaan tandas dan bilik air masih kecil tidak diubah suai. Keadaan memang menyulitkan emak yang baru keluar hospital dan terpaksa berkerusi roda. Beberapa kali saya merayu Farid buat ubah suai tandas tetapi dia enggan, alasan Farid emaknya tak izinkan. kerana terpaksa saya cari rumah sewa lain.

“Atas pertolongan kawan, Farid beritahu ada projek perumahan baru sesuai untuk saya beli dan tinggal di sana. Rumah dah lama siap tetapi tak ramai pembeli. Farid suruh beli. Katanya emak selesa dan senang mandi dan ada tandas duduk. Farid suruh beli segera kerana waktu itu gajinya kecil tak mampu, sayalah terpaksa uruskan pembelian.

“Peristiwa pahit yang emak alami sementara menunggu proses pembelian rumah, tangan emak tergesel dan tersepit antara pintu bilik air dengan kerusi roda. Kejadian itu amat memilukan hati saya, tetapi apa nak buat menumpang belakang rumah orang. Saya menangis lihat hidup emak terseksa. Emak juga pernah terjatuh dalam bilik air ketika tinggal sementara di rumah abang. Kepala emak terhantuk di lantai, banyak darah keluar dan emak pengsan.

“Dua minggu emak terlantar di hospital. Semasa saya menjaganya di hospital, kata emak ketika itu dia tak makan, perutnya terlalu lapar dan dia hilang pertimbangan sebab itu jatuh dengan kerusi roda di dalam bilik air.

Terperangkap

“Kata emak dia cuma minum waktu pagi dan makan waktu malam, tengah hari emak berlapar sebab tak ada siapa nak masak dan tidak ada makanan yang boleh dimasak. Kata emak lagi isteri abang suka bela kucing dan tahi kucing bersepah dalam bilik mandi. Keadaan itu memang sulitkan emak untuk ke tandas dan mandi.

“Peliknya apabila saya ambil emak tinggal dengan saya, isteri abang tak bela kucing lagi. Sebenarnya dia bela kucing supaya emak tak mahu duduk di rumahnya. Dan emak tak boleh gunakan tandas. Entah apa punya jenis manusia seperti ini pun saya tak tahu.

Abang tak berani bersuara dengan isterinya. Sedangkan tugas jaga emak tanggungjawab anak lelaki.

“Setelah pindah ke rumah baru. Saya dapat bertahan setahun sahaja. Sebab perjalanan pergi balik ke pejabat terlalu jauh. Pagi keluar, malam baru balik. Lebih menyulitkan jika saya terpaksa bekerja pukul 5 pagi, bermakna 4 pagi saya terpaksa bangun dan bersiap dan sediakan makanan emak. Sementara Farid pulak tak mahu balik duduk di rumah, dia lebih suka duduk di rumah emaknya. Keadaan ini menyulitkan hidup saya. Saya terperangkap antara emak dan suami. Sedangkan dulu dia suruh beli rumah tersebut.

“Nak pindah ke rumah lain saya tak ada duit lagi, sebab semua simpanan sudah saya gunakan untuk rumah tersebut. Sedangkan Farid tak keluar duit langsung, padahal dia galakkan saya beli rumah tersebut katanya lebih selesa. Malangnya kata-kata dan perbuatannya jauh berbeza.

Kerana tak cukup duit saya terpaksa ambil OT. Bila ambil OT Farid marah sebab pentingkan kerja daripada melayan dia. Macam mana ni? Bila tak ada duit marah, bila cari duit pun marah. Saya sedar semuanya kerana helah Farid tak suka emak duduk dengan saya.

“Tujuan Farid suruh saya beli rumah jauh supaya saya letak emak jauh dari saya dan saya duduk dengan dia di KL. Apa cerita ni? Boleh ke mak tinggal sendirian? Kejam Farid. Pelbagai usaha dia buat untuk pisahkan saya dengan emak. Dia tak mahu emak duduk dengan saya.

“Kalau Farid ikhlas, besarkan bilik air dan tandas dulu, bolehlah kami tinggal bertiga dengan tenang, dan saya tak perlu ambil OT cari duit. Sebaliknya saya ada masa layan Farid.

“Kerana sering berbalah kerana wang tak cukup, Farid ceraikan saya tanpa pengetahuan saya. Tapi peliknya kami masih bersama. Setahun lamanya saya diceraikan dalam diam. Ceritanya terbongkar bila saya dapat tahu Farid bercinta dengan gadis lain. Terkejut beruk saya. Saya minta dia berterus terang, barulah dia beritahu sudah setahun dia ceraikan saya. Habis tu selama setahun ini kami berzina ke? Kejam sungguh kejam! Kerana sudah ada pengganti dia ceraikan saya di Mahkamah Syariah dengan mudah.

“Oleh sebab masih sayangkan suami, saya minta supaya dirujuk semula, tetapi Farid tolak, saya mengadu pada emak dan kakaknya, mereka tak mahu campur. Malah beritahu jika itu keputusan Farid, mereka terima dengan hati terbuka.

“Saya ditinggalkan dengan hutang. Masalahnya rumah tersebut atas nama kami bersama, kata Farid kalau tak suka tinggal di rumah tersebut, saya boleh keluar dan dia sedia bayar ansurannya. Sementelah gajinya sudah bertambah baik sekarang setelah lapan tahun kami berkahwin, dengan mudah Farid halau saya bila saya mengadu banyak hutang.

“Sampai hati Farid halau saya sedangkan duit muka rumah tersebut saya yang bayar, ansuran bulanan, saya pinjam bank buat ubah suai rumah dan buat poch kereta. Setelah semua tersedia dia ingin memiliki rumah tersebut dengan bakal isteri barunya.

“Oleh sebab ada sedikit perabut saya tinggal di rumah sewa emaknya, Farid suruh saya keluarkan sebab dia nak buat ubah suai rumah untuk bakal isterinya. Mengapa sekarang boleh? Mengapa dulu saya minta buat tandas duduk pun dia tak mahu? Konon emaknya tak izinkan. Jelas benar janji Farid dulu semuanya bohong, kerana dulu gajinya kecil.

“Tetapi sekarang setelah gajinya bertambah, dia sanggup halau saya. Mana janjinya dulu? Jelas Farid tak amanah kepada janjinya. Saya diceraikan melalui telefon, kerana tidak mahu berhadapan dengan saya. Bila melalui semua ini saya kesal mengadakan segala kesenangan pada Farid, akhirnya diri ini dibuang.

“Kalau saya tahu begini jadinya, lebih baik saya senangkan dan kayakan diri sendiri. Saya berkorban untuk dia tetapi ini balasannya. Jadi kepada gadis-gadis di luar sana ingatlah kasih sayang suami pada isteri ada batasnya, tetapi kasih kepada ibu sepanjang hayat.’’ Demikian cerita Nur Izzatti ketika kami berbual panjang di telefon dan ketika dia ingin tahu tentang KSIT baru-baru ini.