Kuasa gajet terhadap kanak-kanak yang melanda ketika ini bukan sahaja menjadi fenomena di Malaysia, malah kanak-kanak seluruh dunia apabila rata-rata ibu bapa meluahkan rasa kebimbangan terhadap isu yang sama.

Tanpa sedar, selain telefon bimbit dan ipad, televisyen juga merupakan salah satu gajet ,yang boleh memudaratkan perkembangan kanak-kanak terutama kemahiran membaca, berfikir serta ingatan di mana tiga tahun pertama merupakan waktu yang paling penting buat tumbesaran kanak-kanak.

Pun begitu, kewujudan gajet tidak harus dipersalahkan kerana gajet juga mempunyai manfaatnya tersendiri. Antaranya, membantu daya kreativiti kanak-kanak serta menjadi medium penyaluran maklumat terpantas dan luas melangkaui sempadan.

Cuma apa yang penting adalah bagaimana ibu bapa mengehadkan penggunaan teknologi berkenaan, serta sejauh mana kebebasan yang diberikan kanak-kanak itu untuk menggunakan gajet mengikut had yang sepatutnya.

Mengupas isu berkenaan, baru-baru ini bertempat di The Parenthood Pusat Beli-belah Sunway Pyramid, Kuala Lumpur, satu bual bicara tentang isu keibubapaan bertajuk Adakah Era Digital Telah Mengambil Anak Saya Sebagai Tebusan? diadakan.

Tiga tetamu jemputan, iaitu Pengurus Besar Zoo Moo Network Australasia, Catherine Nebauer; selebriti popular, Aisyah Sinclair; dan penulis buku serta pengasas blog Figure8.net, Dr. Li-Shen Lee, bertindak sebagai ahli panel.

Menjelaskan perkara berkenaan, Shen Lee berkata, pemberian gajet kepada anak-anak tidak salah tetapi menjadi satu kesalahan jika diberi tanpa pengawasan dan kawalan.

Ini kerana permulaan ketagihan terhadap gajet berlaku hanya apabila pemberian tanpa perhatian.

Ujarnya, sebagai ibu bapa mereka perlu tahu paparan apa yang dilihat kanak-kanak. Jika tidak elok kanak-kanak itu harus diberi penjelasan tentang perkara berkenaan agar mereka tidak terus hanyut dengan paparan yang mengandungi bahan-bahan negatif.

“Ada kalanya paparan yang kita nampak tidak manfaat sebenarnya sangat memberi pembelajaran kepada mereka. Jadi kita perlu ubah apa yang dilihat kanak-kanak itu sebagai satu paparan yang memberi ilmu.

“Sebab itu, ibu bapa perlu ada bersama setiap kali mereka memegang gajet kerana ada ketika paparan yang kita sangka memberi ilmu, rupanya kanak-kanak itu memahami maksud yang berbeza,” jelasnya.

Dia menambah, untuk menghalang atau memisahkan kanak-kanak dengan gajet adalah mustahil pada zaman ini kerana mereka dilahirkan di saat teknologi menjadi platform utama untuk perhubungan di antara manusia di luar sempadan.

Justeru, pendekatan sebagai pemerhati, pengawal dan guru kepada anak-anak adalah merupakan kaedah yang lebih baik untuk mengawal anak-anak daripada ketagihan gajet.

Bagi Aisyah yang juga duta rancangan kanak-kanak, Zoo Moo, pula, bergelar selebriti agar sukar untuk berenggang dengan telefon bimbit memandangkan dia sentiasa perlu ‘wujud’ di mata peminat untuk mengemaskini laman-laman media miliknya.

Akuinya, dia juga tidak terlepas daripada berdepan dengan anak-anak yang gemar dengan penggunaan gajet sama ada di rumah mahu pun ketika melakukan aktiviti luar bersama keluarga.

“Saya akui sangat sukar untuk tidak memberikan gajet kepada anak-anak terutama di rumah. Ada ketika gajet ini dapat membantu saya melakukan kerja rumah dengan mudah apabila anak-anak menumpukan pada gajet, tetapi saya juga sedar itu tidak sepatutnya berlaku.

“Jadi, untuk mengelakkan perkara itu berterusan, saya juga mengehadkan penggunaan gajet pada waktu dan ruang-ruang tertentu seperti tiada penggunaan gajet di meja makan atau bilik tidur.

“Memang tidak mudah, tetapi kita perlukan lakukannya agar anak-anak sedar bahawa gajet bukanlah segala-galanya buat mereka dan pada saya, ‘gajet’ terbaik buat mereka adalah kita sering ada bersama dengan mereka dan meluangkan masa bersama,” jelasnya.

Berani katakan ‘tidak’ pada anak-anak

Ketegasan ibu bapa dalam menegur anak-anak amat penting jika mahu mereka memahami had dan kebebasan yang diberikan dalam penggunaan gajet.

Malah, akui Aisyah, kebijaksanaan ibu bapa mengelakkan anak-anak terlalu terdedah kepada gajet juga perlu agar mereka tidak merasakan terlalu dikongkong.

“Jika merasakan perkara yang dilakukan anak-anak itu tidak betul, ibu bapa perlu berani menegur kesalahan mereka dan jika ada perkara perlu dikatakan tidak atau tidak boleh, katakan sahaja pada mereka kerana dengan mengatakan tidak, mereka tidak akan membenci pada kita.

“Tip mudah untuk elak mereka terlalu fokus pada gajet, ialah ada ketika kita kena beri tahu bateri telefon sudah habis atau rosak. Mungkin mereka akan menangis sekejap, tetapi saya percaya selepas itu mereka akan faham mengapa anda lakukan begitu,” jelasnya.

Aisyah juga menyifatkan, penggunaan gajet tanpa kawalan seumpama membiarkan anak-anak berlari di luar rumah tanpa pengawasan yang akhirnya bakal mengundang perkara yang negatif.

“Sukar untuk kita buat peraturan hanya hari tertentu sahaja anak-anak boleh tengok kartun atau sebagainya, tetapi apa yang boleh kita buat adalah ajar mereka untuk minta izin jika mahu lihat aplikasi atau video yang dikehendaki,” ujarnya.

Sementara itu, jelas Shen Lee pula, sesetengah video atau paparan mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak, misalnya cerita seram dan sebagainya.

Bagaimanapun, sedikit olahan dan penerangan mampu memberi ilmu yang menarik kepada kanak-kanak.

“Cerita hantu memang tidak bagus, tetapi kita boleh terangkan pada mereka bahawa apa yang mereka lihat sekadar solekan sahaja. Daripada situ kita kembangkan cerita dengan menunjukkan tentang kerjaya jurusolek wajah seram yang mana membuka minda mereka tentang sesuatu perkara lain.

“Pembelajaran tidak hanya berlaku ketika melihat apa yang dipaparkan pada skrin gajet, tetapi jika ibu bapa boleh menguasai gajet, maka anak-anak mendapat manfaat yang jauh lebih baik daripada sekadar membaca buku,” jelasnya.

Kanak-kanak tidak boleh dihalang daripada menggunakan gajet kerana mereka dilahirkan dalam era teknologi itu.

Bagi Catherine Nebauer, ada baiknya penggunaan gajet dijadikan sebagai denda (punishment) dan hadiah (reward) dalam usaha mengelakkan anak-anak terlalu terdedah kepada alat-alat berkenaan.

Malah, untuk mengawal anak-anak dalam penggunaan gajet, haruslah bermula daripada ibu bapa sendiri sama ada menunjukkan sikap yang betul dalam penggunaan gajet iaitu pada waktu-waktu tertentu atau menapis isi kandungan yang dilihat.

Justeru, penyediaan platform yang tepat untuk kanak-kanak meneroka ilmu di alam maya membantu ibu bapa mengawal isi kandungan yang dipaparkan di skrin gajet.

Tambahnya, untuk itu pihak Zoo Moo Netwok bekerjasama dengan mereka yang pakar dengan zaman kanak-kanak agar setiap episod yang dipaparkan memenuhi kriteria untuk ditonton dan dilayari oleh mereka.

Malah menurut Nebauer, produksi itu turut menyediakan aplikasi Zoo Moo di telefon bimbit agar kanak-kanak dapat melayari rancangan berkenaan di mana-mana serta pada bila-bila masa dalam keadaan terkawal.

“Kita memilih dunia haiwan sebagai fokus kerana kita sedar kanak-kanak sangat sukakan haiwan dan terdapat banyak ilmu yang boleh diteroka kanak-kanak tentang dunia ini, malah kita juga selang-selikan dengan iklan-iklan yang membantu minda dan tidak mengganggu pemikiran mereka,” ujarnya.