Masalah ini dilihat bukan sahaja akan menjejaskan prestasi kanak-kanak di sekolah, malah kecemerlangan mereka pada usia lebih dewasa.

Dalam hal ini, perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak adalah perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa sejak pada peringkat bayi lagi. Bukan sahaja makan dan minum yang perlu dijaga, tetapi masa tidur mereka juga penting bagi memastikan tumbesaran fizikal dan mental anak-anak tidak terjejas.

Adalah penting masalah ini dikesan dan diberikan rawatan dengan segera, kerana sekiranya masalah ini tidak diselesaikan dari awal, ia bukan sahaja akan menjejaskan tumbesaran kanak-kanak, malah mengganggu prestasi akademik serta perkembangan otak.

Menyedari kesedaran mengenai masalah tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak di negara ini masih rendah dan membimbangkan, baru-baru ini telah diadakan persidangan saintifik mengenai tumbesaran, SEA Growth Summit untuk membincang dan berkongsi pengetahuan mengenai sebab, diagnosis, pengurusan, dan pilihan rawatan.

Persidangan tersebut dilihat sebagai platform untuk berkongsi pengetahuan mengenai pengurusan penyakit dan rawatan masalah tumbesaran di Asia Tenggara, masalah tumbesaran di seluruh dunia adalah tinggi dan biasanya memberi kesan yang negatif terhadap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak.

Menurut Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Endokrinologi Pediatrik dan Pakar Diabetik di Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Wu Loo Ling, terdapat beberapa jenis masalah tumbesaran yang mungkin membawa kepada kegagalan atau corak tumbesaran yang tidak normal dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya lagi, kekurangan hormon pertumbuhan (growth hormone deficiency) hanyalah salah satu daripada punca dan mungkin berlaku pada bila-bila masa. Ini dikesan melalui penghasilan hormon pertumbuhan yang rendah atau tiada langsung.

“Simptom-simptom seperti jisim lemak yang meningkat, pengurangan jisim otot, ciri-ciri muka yang tidak matang, dahi yang luas, perkembangan muka yang terbantut, pertumbuhan gigi yang lewat serta lambat mencapai akil baligh mungkin menandakan bahawa seseorang kanak-kanak itu kekurangan hormon pertumbuhan.

“Antara masalah tumbesaran lain dikenali sebagai kecil untuk usia kehamilan (small for gestational age, SGA) dan sindrom Turner. SGA melibatkan kira-kira lima peratus daripada bayi yang baru lahir.

“Sindrom Turner pula adalah masalah genetik yang paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak perempuan dan masalah ini melibatkan seorang daripada 2,500 bayi perempuan. Sindrom ini boleh menyebabkan kombinasi ciri-ciri kelainan fizikal, tubuh yang rendah, dan kegagalan ovari,” ujarnya ketika ditemui pada perbincangan meja bulat media sempena sidang kemuncak itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Loo Ling berkata, diagnosis dibuat apabila berat badan atau ketinggian bayi jauh lebih rendah daripada apa yang dijangka seiring dengan umur bayi.

Semasa membesar, kanak-kanak ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah kesihatan, seperti perubahan metabolik dalam kehidupan kemudian hari mereka, selain masalah perkembangan saraf dan morbidity perinatal.

Katanya lagi, kesedaran mengenai masalah tumbesaran di Malaysia adalah rendah dan membimbangkan, malah biasanya tidak diberi perhatian kerana ramai menyangka orang Asia secara semula jadinya mempunyai struktur tulang yang lebih kecil. Begitupun, adalah penting untuk ibu bapa mengetahui simptom-simptom ini dan berjumpa dengan doktor sekiranya bimbang terhadap fizikal anak mereka,

Malah, pengesanan awal sangat penting untuk mencapai hasil rawatan yang positif.

Kesan awal bantu capai potensi 

Semakin awal masalah tumbesaran dikesan, semakin tinggi peluang kanak-kanak tersebut untuk mengekalkan ketinggian normal dan mencapai potensi pertumbuhannya yang sebenar.

Profesor Endokrinologi Pediatrik, Universiti London dan Pakar Runding Endokrinologi Pediatrik di Pusat Klinik bagi Endorinologi London, Dr. Martin Savage, berkata, rawatan masalah tumbesaran mempunyai banyak manfaat.

“Selain daripada merangsang ketinggian, ia juga membantu kanak-kanak mencapai ketinggian yang normal dan terbukti boleh membawa impak positif kepada komposisi tubuh, pembinaan tulang, faktor-faktor risiko kardiovaskular, dan kualiti hidup.

“Selain daripada risiko-risiko fizikal, membesar dengan masalah tumbesaran juga boleh membawa kesan sosial yang serius seperti diejek atau dibuli di sekolah, keyakinan diri yang rendah, dan kesukaran dalam hubungan sosial.

“Untuk mengesan masalah tumbesaran seawal yang mungkin, pertumbuhan kanak-kanak perlu diukur dengan kerap dan dibandingkan dengan adik-beradik atau rakan-rakan lain. Ibu bapa juga dinasihatkan berjumpa pakar pediatrik dalam merawat kanak-kanak dengan masalah tumbesaran dan hormon,” katanya.

Bagaimanapun, ibu bapa perlu sedar bahawa merawat masalah tumbesaran adalah satu komitmen jangka panjang kerana proses rawatan mengambil masa beberapa tahun sehingga kanak-kanak mencapai ketinggian dewasa.

Proses kompleks fisiologi

Tumbesaran adalah satu proses fisiologi yang kompleks, yang mana kanak-kanak mula membesar dengan cepat dalam dua tahun pertama kehidupan mereka.

Proses ini berterusan pada kadar yang tetap iaitu antara lima hingga sembilan sentimeter setiap tahun sehingga mereka berusia kira-kira 10 tahun.

Apabila kanak-kanak memasuki usia remaja iaitu 11 tahun bagi perempuan dan 13 tahun bagi lelaki, lonjakan tumbesaran berlaku sekali lagi selama kira-kira dua tahun sebelum ia berakhir perlahan-lahan pada usia 16 hingga 18 tahun.

Dalam tubuh, hormon pertumbuhan yang dihasilkan oleh kelenjar pituitari di dalam otak merangsang tumbesaran dan selain daripada menggalakkan tumbesaran fizikal (ketinggian), ia juga mempengaruhi perkembangan tulang, otot dan lemak tubuh.

Oleh itu, hormon pertumbuhan ini sangat penting untuk perkembangan dan fungsi tubuh manusia yang sihat.

Sekiranya seseorang kanak-kanak kelihatan lebih rendah berbanding rakan-rakan sebaya, ada kemungkinan ia mengalami masalah tumbesaran yang menghalangnya daripada mencapai ketinggian dan berat yang normal, serta kematangan seksual dalam sesetengah kes.