Bukan sengaja suka-suka memperlaku anak sebegitu, namun Aniza Misri, 41, tidak mempunyai pilihan lain kerana dia dan suami tidak mampu membelikan anak mereka, Muhammad Mirza Mohd. Erwan, 18, yang dipanggilnya ‘Abang’ sebuah kerusi roda khas untuk penghidap Palsi Serebrum (Cerebral Palsy atau CP) terlantar.

Yang mereka mampu hanya menyediakan kerusi roda biasa yang dibeli suatu ketika dahulu.

Ekoran perkembangan saraf dan tulang yang tidak normal, tulang belakang Muhammad Mirza bengkok dan memerlukan kerusi roda khas bagi menampung keadaan tersebut.

“Ke mana sahaja saya pergi, saya perlu membawa Abang. Saya tidak boleh mengharapkan orang lain menjaganya walaupun seketika kerana pada bila-bila masa sahaja dia boleh diserang sawan. Mahu tak mahu, saya perlu membawanya walaupun ke pasar raya untuk membeli barang keperluan dapur.

“Saya tak kisah walau terpaksa bersusah payah mengangkat dan membawanya ke mana-mana sahaja. Sekelumit pun tiada perasaan marah atau kesal, cuma apabila anak saya dipandang pelik, hati jadi sangat sedih.

“Namun, saya tahu saya tidak boleh menutup mata dan mulut orang, saya reda dengan keadaan ini. Apa yang penting dapat melihat Abang mengharungi hidupnya di samping kami anak-beranak walaupun dia tidak sempurna seperti anak lain,” katanya ketika ditemui Mega Rona di rumah sewanya di Kampung Baharu Lanjut, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Menceritakan bagaimana remaja itu boleh menderita sebegitu, ujar Aniza, Muhammad Mirza dilahirkan normal seperti bayi lain tetapi pernah mengalami demam panas pada usia 10 bulan.

Pada firasatnya, sesuatu akan terjadi kerana demam panas ketika usia bayi boleh memudaratkan, namun anaknya membesar seperti biasa kecuali mengalami sawan.

“Pada usianya dua tahun, doktor mengesahkan Abang sebagai hiperaktif. Disebabkan keadaannya itu, saya sukar mengawal pergerakannya kerana dia suka melakukan sesuatu dengan senyap, sehinggalah dia terjatuh dari almari kabinet yang menyebabkan Abang patah kaki.

“Sejak kejadian tersebut, Abang seolah-olah fobia untuk berjalan dan hanya terlantar di katil. Walaupun kakinya telah pulih, dia masih tidak mahu berjalan dan doktor terpaksa mengambil air tulang belakangnya sebanyak dua kali untuk mengetahui punca Abang jadi begitu. Lama kelamaan, tumbesaran Abang mula terganggu, dia menunjukkan simptom kelumpuhan, mental terjejas, masalah saraf, dan tidak dapat bertutur.

“Doktor mengesahkan dia menghidap CP, mungkin disebabkan oleh sawan yang sering berlaku pada Abang,” katanya, yang mempunyai tiga lagi anak yang masih bersekolah.

Buat masa ini, keluarga Aniza bergantung hidup sepenuhnya dengan pendapatan bulanan suami, Mohd. Erwan Sarawandi, 41, sebanyak RM1,400 sebulan sebagai buruh serta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan sejak tahun 2014.

Suaminya juga bekerja sambilan dengan mengambil upah memasang khemah abgi mencari wang lebih.

Ujar Aniza, jika diikutkan duit yang ada tidak cukup untuk menyara mereka enam beranak kerana perlu menanggung sewa rumah, perbelanjaan sekolah anak-anak, kos ulang-alik ke hospital di Seremban, lampin pakai buang, serta susu khas untuk Muhammad Mirza.

Apa pun, dia tetap bersyukur kerana anaknya tidak mengalami masalah kesihatan lain dan kos ubat-ubatannya ditanggung sepenuhnya oleh hospital kerajaan.

Tidak mahu anaknya terus terlantar, dia berusaha berubat cara kampung, bahkan pernah menghantar remaja itu ke Pusat Dalam Komuniti (PDK) untuk mendapatkan rawatan terapi saraf. Namun, melihat tiada perkembangan pada Muhammad Mirza, dia dan suami bersetuju menamatkan rawatan tersebut.

“Lagi pun, apabila mendapat bantuan bulanan JKM, secara automatik Abang tak layak untuk mendapatkan rawatan terapi saraf secara percuma di PDK, jadi kami fikir lebih baik wang tersebut digunakan untuk membeli susu khas berharga RM70 satu tin yang hanya mampu bertahan seminggu.

“Hidup Abang hanya terlantar di katil. Dia bergantung sepenuhnya pada deria pendengaran dan penglihatan, saya hanya mahu Abang selesa dengan keadaannya walaupun tidak mampu berbuat apa-apa,” kata Aniza memandang sayu anak kesayangannya. - Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED