“Sebab, yang hendak hidupnya bahagia cuma wanita sahaja, sedangkan pasangannya tidak pernah merasa demikian, mereka cuma mahu gembira sepanjang hayat, jika pasangannya merunsingkan kepalanya atau tidak mengikut kehendaknya, dia akan cari bahagia di tempat lain atau dengan orang lain.” Itu pengalaman Nur Huda dalam e-melnya.

“Saya katakan demikian kerana pada pengalaman sendiri. Suami saya, juga kebanyakan suami tidak berfikir untuk bahagiakan keluarganya, dia cuma fikir mencari kebahagiaan untuk dirinya.

“Bila ada masalah timbul dalam keluarga dia akan biarkan isterinya berfikir untuk atasi masalah itu, sedangkan dia ambil jalan pintas keluar rumah.

“Alasannya tak mahu runsing kerana banyak masalah pejabat dia kena fikir. Apa dia fikir dia seorang sahajakah yang bekerja? Sedangkan isteri pun bekerja, ada masalah pejabat, tetapi isteri tahu bezakan antara masalah keluarga dan pejabat, tetapi suami tak mahu fikir. Terutama bila timbul masalah duit.

“Bila saya tanya Shek, bolehkah dia bantu saya tambah duit belanja untuk beli pakaian raya umpamanya, dia akan tunjuk muka masam dan tak mahu ditanya lagi. Jika saya berdegil minta duit juga, dia pasti menghempas apa juga benda yang sedang dia pegang ketika itu. Itulah perangainya setiap kali jika saya minta duit.

“Sebenarnya dari awal perkahwinan kami, Shek telah tetapkan dia cuma bayar duit sewa rumah,( ketika itu kami menyewa) dan bayar ansuran kereta yang dimilikinya. Hal dalam rumah tangga itu urusan saya.

“Masa baru kahwin memang tak banyak masalah, makan untuk berdua, bil utiliti tak tinggi. Bila ada anak, perbelanjaan rumah tentulah bertambah, tetapi Shek tak mahu berkongsi perbelanjaan, katanya urusan rumah atas saya, dia tak mahu campur.

“Sedangkan anak nak susu, perlu pengasuh, pakaian, lampin dan macam macam lagi, itu dia tak mahu dengar. Demikianlah seterusnya hingga anak bertambah tiga orang, semua urusan terletak di bahu saya, dia macam biasa bayar ansuran rumah ketika itu kami sudah beli rumah, dan ansuran kereta yang baru dibelinya.

“Jadi untuk meneruskan hidup, pandai-pandai sayalah sukat perbelanjaan ikut kemampuan dan memang tak ada simpanan pun. Diam tak diam anak daripada umur setahun dah meningkat belasan tahun dan pasti belanja bertambah. Tetapi saya diberi amaran tidak boleh minta daripada Shek. Saya minta sebab belanja anak bertambah dan gaji dia besar.

Perbelanjaan

“Perbelanjaan sekolah untuk tiga orang anak, makan minum, tambang van sekolah, duit poket, perbelanjaan buku tambahan sekolah dan macam-macam lagi. Itu tak masuk perbelanjaan pakaian hari raya, kuih muih, dan perbelanjaan semasa beraya di kampung.

“ Lebih teruk bila awal tahun, semua pakaian sekolah anak-anak mesti diganti, paling kurang dua pasang seorang untuk pakaian seragam sekolah, pakaian sukan, kasut sekolah, kasut sukan pun perlu tak masuk beg sekolah dan macam-macam lagi.

“Pendek kata kalau tak cukup jaga boleh pengsan setiap hujung tahun. Tapi saya tak boleh minta pada Shek, itu urusan saya.

“Kerana suami bukan tempat minta tolong, saya merayu anak-anak, kalau boleh pakai pakaian lama untuk tiga bulan lagi, sebelum ganti baru.

“Tapi yang badan tak besar itu bolehlah buat kira, tetapi yang badan cepat besar, dia tetap mahu pakaian baru. Memang seksa. Namun semuanya saya boleh sabar, tetapi kesabaran saya tercabar bila saya dapat tahu Shek ada kekasih.

“Itu pun kawan dia bocorkan rahsia. Memanglah dia tak mengaku. Tapi kita pun bukan bodoh sangat, bangkai gajah tak boleh tutup dengan daun pisang. Akhirnya setelah 14 tahun berkahwin baru saya tahu rupanya dia dah kahwin lain.

“Memang saya terkejut beruk, untuk kepastian saya selidik perempuan tu dulu benarkah dia sudah kahwin, lagi terkejut bila dia mengaku bermadu dengan saya, dan sudah ada seorang anak. Nak pengsan saya bila dia mengaku. Saya cuba kawal kemarahan dan bertanya bila kahwin dan di mana, siapa nikahkan macam-macam lagi.

“Mudah je dia sebut, dia kahwin di sempadan dan dah daftarkan di utara negeri ini. Sekarang anaknya sudah berumur lima tahun. Dia duduk di rumah yang dia beli sendiri.

“Kalau puan dalam keadaan saya apa puan buat? Nak mengamuk! Mereka dah kahwin, dah ada anak. Nak marahkan Shek dia pasti tak balik rumah akan duduk terus rumah isteri barunya. Sebab perkahwinannya bukan rahsia lagi, sebab saya dah tahu. Jadi apa nasib saya?

“Shek mengaku dah kahwin, tapi dia tak akan ceraikan saya. Dia suruh saya hidup macam biasa, kalau selama ini, saya boleh terima dia dah kahwin, mengapa selepas saya tahu, saya hendak mengamuk. Terima saja qada dan kadar, itu ketentuan Allah.

“Memang saya mengamuk kerana terasa diri ditipu selama ini. Dan seperti yang diduga dia duduk terus di rumah nombor dua. Balik selepas tiga hari, dan dia mula buat undang-undang, dalam seminggu tiga hari dia di sana, dan empat hari di sini. Amboi sedapnya!

“Saya mengadu pada mak mentua, beliau nasihatkan saya bersabar, sama seperti apa yang Shek cakap, terimalah qada dan qadar Allah. Saya tanya pada emak saya, beliau serahkan pada saya, kerana saya yang menghadapinya, tentu saya boleh buat keputusan yang terbaik.

“Kakak pula ingatkan saya jangan minta cerai, sebab dengan gaji saya mampukah saya tanggung anak-anak? Saya katakan memang selama ini anak-anak urusan saya. Tetapi mampukah saya sewa rumah lain kalau Shek halau saya keluar. Soalnya? Tapi kenapa saya kena keluar rumah? Rumah itu rumah saya juga. Walaupun Shek bayar.

“Di situ persoalannya. Kakak suruh saya fikir panjang dan berbincang pasal rumah. Kerana jelas Shek yang bayar ansuran rumah, dia mesti mahu rumahnya, saya cuma menumpang. Kata kakak hak ke atas rumah memang jadi masalah jika berlaku perceraian. Lelaki kata dia berhak sebab dia bayar setiap bulan dan rumah tu atas namanya. Sedangkan isteri, dia akan kata tidak bayar sesen pun. Semua dia bayar.

Hak isteri

“Kalau begitu mana tanggungjawab suami yang sepatutnya memberi makan minum, pelajaran dan segala keperluan anak isteri setiap hari. Bukan serahkan bulat-bulat kepada tugas isteri, bila nak bercerai rumah hak dia, sebab dia yang bayar? Di mana hak isteri?

“Selepas bertanya di pejabat agama tentang pemilikan rumah jelas mereka beritahu suami berhak. Tetapi apa hak saya atas harta sepencarian. Mereka pusing balik, katanya rumah itu bukan saya yang bayar, maka saya tak ada hak, kalau ada pun cuma sedikit. Nak pengsan saya memikirkan, sudahlah saya disuruh menguruskan makan minum dan persekolahan anak-anak, sedangkan dia lepas tangan langsung tak ambil tahu.

“Kerana terlalu sakit hati saya minta cerai dari Shek, apa nak jadi, jadilah. Saya minta cerai sebab pertama saya terasa diri ditipu dan diperbodohkan selama ini. Dia dapat kebahagian sedangkan saya menderita. Shek tak mahu ceraikan saya, katanya dah enam tahun dia kahwin baru saya hidup bahagia dengan dia, tapi mengapa sekarang nak bercerai?

“Tuntutan cerai memang susah, pegawai agama suruh cerai pakai peguam lagi, merangkak saya cari duit untuk peguam. Sebab saya tak mahu lagi dianiaya. Dua tahun lamanya, akhirnya baru bercerai. Saya tuntut nafkah anak-anak. Sebab saya mahu Shek beri nafkah anak-anak sebab selama ini dia tak pernah bagi nafkah kecuali bagi tempat tinggal. Oleh sebab nafkah masih tak dapat saya tetap duduk di rumah Shek.

“Setelah bercerai memang Shek halau saya keluar rumah, tapi saya kata bayar nafkah dulu, memang dia tak bayar. Ansuran rumah pun tak bayar, bank bertindak mahu lelong, saya tak peduli, kalau lelong saya mahukan hak saya dan biar sama-sama tak dapat rumah baru adil.

Bab turun naik mahkamah nak tuntut nafkah dan cerai ni memang menyulitkan. Sejak anak kedua bersekolah rendah dah masuk menengah, baru nak selesai.

“Bila dapat nafkah anak, dia cuba buat main-main, dengan surat perintah mahkamah saya bawa ke pengetahuan pegawainya untuk urusan potongan gaji. Nasib bos beri kerjasama barulah aman. Kini rumah masih belum terjual, saya tetap akan tuntut hak saya.

“Tujuan saya bercerita bukan nak memalukan diri sendiri, tetapi saya mahukan keadilan, dan saya harap kaum wanita janganlah terlalu berlembut masalah nafkah anak-anak, biar suami sama bertanggungjawab, biar sedikit asalkan suami tahu beban belanja, jangan main lepas tangan.

Lainlah jika dia beri gaji dia semuanya dan suruh kita uruskan perbelanjaan rumah. Tapi itu suami takkan buat, dia cuba berlindung untuk kesenangan dirinya sendiri.

“Saya pun dulu masa mula berkahwin tak pernah terfikir nak bercerai, saya sentiasa berdoa biar perkahwinan kami kekal hingga ke akhir hayat.

“Tetapi kalau ini yang terjadi dan saya kesal kerana tidak pernah buat persediaan dari awal untuk melindungi hak saya sebagai isteri, bukan sebagai isteri, kita yang uruskan anak-anak semata-mata, akhirnya suami main lepas tangan.

“Faham-faham sajalah bila duit banyak di tangan mata lelaki, lebih selesa memandang kepada wanita lain, jika keadaan seperti saya ini terjadi kepada diri anda jangan salahkan suami, tetapi salahkan diri sendiri kerana tidak membuat persediaan lebih awal menjaga kepentingan diri sendiri.”

Itu nasihat Nur Huda kepada kaum wanita muda dalam e-melnya supaya jangan jadi sepeti dia, menangis kemudian tidak berguna lagi.