“Kalau ada orang kata keluarga mertua tak sukakan menantu, tetapi tidak kepada kami. Hinggakan mertua sanggup duduk dengan kami sambil menawarkan diri jaga bayi kami yang baru lahir. Saya pun suka mereka malah saya anggap mertua macam emak sendiri punyalah baik.’’ Itu cerita Nurul Hashirah.

Katanya dah lama dia nak bercerita dengan saya, sebab malas nak menaip. Jadi bila dia dapat nombor telefon dalam rencana Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) dia terus telefon dan bercerita. Namun kepada anda yang ingin hubungi penulis atau ingin hadiri kelas guaman KSIT sila telefon 019 2393419 untuk daftarkan diri.

Kata Nurul Hashirah lagi itulah corak kehidupan mereka sejak lapan tahun lalu. “Nak jadikan cerita sedang kami bahagia dengan dua orang cahaya mata, tiba-tiba, saya dapat tawaran naik pangkat tetapi syaratnya saya kena bertukar tempat kerja. Saya ceritakan pada Kash. Kata Kash jangan lepaskan peluang. Itu rezeki anak-anak. Katanya dia akan berusaha ikut pindah bila saya dapat rumah nanti.

“Tetapi saya berat hati, sebab rasa tak sampai hati nak tinggalkan anak-anak. Kata Kash ibunya akan tinggal bersamanya bersama adik perempuannya yang kebetulan sudah dapat kerja di KL. Jadi jangan bimbangkan dia, taulah dia jaga diri.

“Mertua pun setuju, tapi kata emak dan ayah kalau boleh tangguhlah, sebab anak-anak masih kecil baru berusia enam dan tiga tahun tentu mereka perlukan ibunya. Kesian! Kata mertua pulak, bukan jauh sangat, setiap minggu saya boleh balik naik kereta api dan mereka juga boleh pergi ke tempat saya, tentu anak-anak suka dapat naik keretapi dan berjalan-jalan ke sana. Setelah sebulan berfikir dan mendapat galakan suami, saya pindah. Rumah disediakan oleh majikan.

“Kami berdua sebaya berumur awal 30-an. Walaupun lulusan universiti yang sama, tetapi saya dengan swasta, sementara Kash dengan kerajaan. Rezeki masing-masing. Hubungan kami baik, termasuk dengan keluarga kedua belah pihak. Kalau saya tak ada di rumah, mertua tetap melayan emak saya setiap kali emak datang.

“Sebenarnya saya bimbang tinggalkan Kash, sebab perwatakan, penampilannya memang jadi idaman wanita. Dia senang didekat, rajin, ramah malah boleh memasak. Kalau saya malas bangun buat susu anak, dia bangun beri anak susu dan tidurkan, begitulah baiknya Kash.

Pendek kata suami idaman wanita. Itu yang membuat saya takut tinggalkan dia. Tetapi kerana mertua tinggal bersama jadi saya taklah takut sangat. Paling tidak mertua boleh nasihatkan dia.

“Masa mula pindah ke tempat baru, memang banyak saya perlu belajar, kadang kala nak jawab telefon suami pun tunggu sampai balik rumah. Sentiasa sibuk. Dalam masa sebulan pertama cuma dua kali saya dapat balik bertemu anak-anak. Saya minta Kash datang dia bagi alasan banyak kerja juga dan emak penat.

“Selama tiga bulan di tempat baru saya banyak minta tunjuk ajar dari seorang pegawai bernama Sher kerana sebelum bertukar ke tempart baru, dia terpaksa serahkan tugasnya kepada saya penggantinya. Maka tak hairanlah hubungan kami akrab. Selepas bertukar pun dia sering datang dan sekali sekala makan tengah hari bersama, biasanya saya belanja, sebagai tanda terima kasih.

“Bermula makan tengah hari inilah akhirnya kami sering berjumpa dan Sher juga sering ke tempat saya. Katanya nak tengok kerja saya. Dan seperti dijanjikan saya pulang ke rumah setiap hujung minggu. Maklum cuti dua hari seminggu. Saya boleh memandu, tetapi tak berani kalau jauh, jadi keretapi membantu saya.

“Nak jadikan cerita satu hari saya ternampak Sher pun naik keretapi yang sama. Saya terkejut. Katanya dia pun nak ke KL biasanya dia pulang sebulan atau dua bulan sekali. Nak tengok anak-anak. Kerana perjalanan jauh banyaklah kami bercerita yang selama ini saya tak tanya sudah pasti tak tau. Rupanya Sher duda anak dua. Dia nak tengok anak yang dijaga oleh bekas isterinya. Kebetulan! Biasanya dia memandu bila ke KL, tetapi oleh kerana keretanya masuk bengkel hari itu, maka dia naik keretapi.

Menguji

“Janjinya lain kali saya boleh tumpang dia balik KL sebulan sekali. Oleh kerana hubungan kami baik kami cepat mesra. Dalam fikiran tak pernah terfikir yang buruk-buruk. Sebab selama ini dia banyak bantu saya dalam jalankan tugas. Dan tak pernah terfikir sesuatu buruk tersimpan dalam hatinya. Tetapi kita merancang Allah hendak menduga dan menguji kita yang lemah ini.

“Sememangnya sebulan sekali saya tumpang Sher. Benarlah kata orang, bila berdua akan ada ‘orang ketiga’ yang menguji dan menggoda kita. Dan itulah yang terjadi pada saya. Tanpa saya sedar, sedikit demi sedikit saya rasa seronok dan gembira apabila bersama Sher. Dia bukan sahaja bijak, malah pandai berbual, berjenaka yang menggembirakan hati saya. Entah mengapa saya tak menolak setiap kali saya diajak tumpang keretanya. Peliknya saya setuju saja!

“Saya sering tertanya-tanya mengapa lelaki sebaik Sher ini boleh bercerai. Dan mengapa dia tak mahu kahwin lagi. Alasannya dia belum jumpa orang yang sesuai seperti saya. Berdebar jantung saya. Apa maksud Sher, sedangkan dia tahu saya isteri orang.

“Ingatan saya segera kembali ke rumah, dan mula memikirkan apakah yang akan terjadi jika Kash dapat tahu saya sering tumpang kereta Sher. Walaupun saya belum teruji lagi, mungkin agak sukar untuk saya mengelak tuduhan Kash jika dia dapat tahu saya sering bersama Sher. Memang sukar saya hendak bela diri.

“Tetapi Sher pandai memain kata-kata, dia ingatkan saya, jodoh pertemuan ketentuan Allah walau bagaimana kita elak jika sudah ditakdirkan bercerai, akan berlaku juga. Ini semua ujian Allah. Saya kembali gembira bila bersama Sher, dan inilah perasaan saya terbawa-bawa apabila sampai ke rumah.

“Apabila berdepan dengan Kash saya terfikir pulak, apakah Kash setia dengan saya, apakah dia tidak ada teman wanita lain seperti yang Sher ceritakan? Kata Sher lelaki mana yang boleh lepaskan peluang jika ‘ikan sudah masuk jaringnya!’

“Akhirnya saya mula terfikir benda-benda jahat dan buruk sangka. Apakah Kash juga ada teman wanita, sebab setahun berlalu, Kash belum dapat tukar lagi, malah katanya dia tidak mungkin boleh tukar sebab tugasnya semakin banyak dengan bos barunya seorang wanita yang cerewet dan amat teliti dengan kerjanya.

“Nak jadikan cerita, kelainan tingkah laku saya menarik perhatian Kash. Satu hari Kash ingatkan saya, apakah saya tidak boleh minta tukar kembali ke KL. Sebab dia mungkin tidak dapat ikut saya.

“Kalau susah sangat nak tukar dia suruh saya berhenti kerja, atau cari kerja lain di KL. Kerana dengan kelulusan, kebolehan dan kepakaran yang saya ada amat mudah cari kerja di KL, dan banyak majikan perlukan orang macam saya.

“Terkejut beruk saya. Terdiam sekejap. Apakah Kash sedar perubahan saya sejak akhir-akhir ini yang mungkin saya tidak perasan. Jawapan saya, saya suka kerja yang saya pegang sekarang. Kalaupun berjauhan saya tetap pulang ke rumah. Kata Kash emaknya semakin tua dan sukar besarkan anak-anak ikut cita rasa anak zaman sekarang.

“Kata-kata akhir Kash yang menggoncang hati saya, bila dia kata, jangan asyik nak kejar duit nanti rumah tangga tergadai. Dan dia nasihatkan saya minta tukar jika tidak baik berhenti kerja. Bukan dia tak suka saya bekerja, tetapi kerjalah di KL. Biar gaji kecil asalkan dekat dengan anak-anak. Saya tak cakap dan tanya banyak. Tetapi hati saya sudah bergelora bagaikan ombak tsunami.

“Saya tertanya-tanya apa maksud Kash suruh saya berhenti sedangkan dulu dia galakkan saya pindah? Apakah dia sedar perubahan saya yang mula berubah dengan Sher duda kacak, yang hebat ini.

“Bila balik saya berperang dengan perasaan yang bersarang dengan 1001 rasa cinta, kasih, sayang yang mengkaitkan saya dengan masalah kepincangan rumah tangga jika saya tidak bijak buat keputusan. Jiwa juga turut berperang dengan hati yang sedang berbunga dengan cinta asmara Sher.

“Kadang-kadang hati berkata mungkin saya lebih bahagia hidup dengan Sher seorang duda berkedudukan? Dan apa saya boleh dapat jika kekal hidup dengan Kash? Hati mula bertanya dan bersoal jawab. Tapi diri mula rasa takut seperti pepatah Melayu ‘yang dikejar belum tentu dapat, yang dikendong pula berciciran.

“Selepas seminggu berperang dengan hati, perasaan, keinginan, nafsu dan pelbagai impian, akhirnya saya beritahu Kash, saya akan usahakan minta pindah semula ke KL jika gagal, saya akan berhenti kerja dan saya minta Kash carikan saya kerja lain. Saya tak mahu jadi suri rumah sepenuh masa.

“Saya mengaku saya tak berani cuba nasib berumahtangga dengan orang baru yang saya belum kenal rapat, berbanding Kash yang amat memahami dan dua orang cahaya mata. Saya tak mahu kehilangan mereka dalam mengejar ‘pelangi’ yang cuma sementara.’’

Demikian cerita Nurul Hashira tentang dugaan yang dihadapinya. Katanya dia minat baca ruangan DCCK dari sini dia menimba banyak pengalaman dan dia tidak terkejut dengan apa yang berlaku dalam masyarakat kini. Dia juga bersyukur DCCK mengajarnya jangan mengejar bayang-bayang apa lagi pelangi.