Sebaliknya, gadis kelahiran Sarawak ini, selesa untuk menggalas tugas sebagai pendidik, kerjaya yang namun mungkin tidak ramai golongan muda yang meminatinya kerana cabaran-cabaran yang harus ditempuh.

Popular dalam kalangan pelajarnya di Kolej Vokasional Shah Alam, dengan panggilan Cikgu Dayang, dia percaya setiap bidang pekerjaan mempunyai cabaran tersendiri, yang penting bagaimana menyesuaikan diri dan menjadikan kerjaya tersebut menyeronokkan tanpa berasa tertekan.

“Tidak dinafikan guru sering dipersalah jika pelajar-pelajar ‘tidak menjadi’. Ini kerana peranan guru bukan saja mendidik, tetapi tidak ubah seperti menyambung kesinambungan tugas ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

“Guru tidak boleh mempraktikkan lagi kaedah pengajaran yang sama seperti 10 tahun lalu kerana kemajuan teknologi telah menguasai corak pembelajaran hari ini.

“Kami perlu mengikut rentak pelajar dalam melayani kerenah mereka dengan pendekatan yang lebih santai dan kreatif untuk diaplikasikan ketika mengajar.

“Sebagai guru dalam kelompok generasi muda, saya cuba memahami apa yang diingini pelajar saya dan seterusnya mendidik selain membentuk sikap dan peribadi mereka ke arah yang lebih positif,” katanya ketika ditemui Mega Rona baru-baru ini.

Diberi tanggungjawab untuk mengajar subjek teknologi maklumat (ICT) dan sains, akuinya, jarak umur dia dan pelajarnya yang tidak begitu jauh tambahan pula mengajar di sebuah sekolah yang turut menawarkan sijil diploma, menyebabkan pada mulanya dia agak sukar menyesuaikan diri.

Dengan saiz badan yang kecil molek, Dayang nekad untuk membawa perwatakan yang lebih tegas kerana tidak mahu pelajar memandang rendah keupayaannya.

Dia turut meletakkan batasan antara guru dan pelajar supaya saling menghormati peranan masing-masing.

Namun kata Dayang, tegas bukan bermaksud dia perlu sentiasa menonjolkan karakter yang garang, sebaliknya disesuaikan mengikut keadaan supaya mampu memberi imej yang baik terhadap kerjaya perguruan.

Jika sikap sporting dan terbuka dimahukan pelajarnya, dia boleh menjadi ‘sahabat’ kepada mereka, apatah lagi jika perubahan tersebut boleh membawa kebaikan.

“Tak salah jadi ‘sahabat’ kepada pelajar selagi tidak melanggar etika sebagai seorang guru.

“Saya juga tidak kisah jika mereka mahu mengikuti perkembangan saya di media sosial kerana medium tersebut juga membantu saya berinteraksi dengan pelajar. Asalkan mereka tidak ikut campur dengan hal peribadi saya itu sudah memadai,” kata suri hati kepada Ahmad Aizad Ahmad Tifla itu.

Lepasan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak itu mengakui, isu semakin ramai pelajar tidak beradab dan bermasalah menjadi cabaran baharu kepada dunia pendidikan hari ini.

Namun katanya, perkara tersebut boleh ditangani jika kena pada caranya.

Menurut Dayang, andai guru yang mengajar cukup komited dan berdedikasi, tidak mustahil pelajar boleh berubah dan menunjukkan minat untuk belajar.

Menurutnya, pelajar hari ini tidak boleh disamakan dengan pelajar masa lalu kerana sesetengahnya membesar dalam persekitaran kekacauan sosial dan ketegangan psikologi yang teruk.

Jadi guru perlu menambat hati dengan menjadi pendengar kepada masalah mereka sebelum membawa mereka ke jalan yang betul supaya hidup mereka tidak terus terumbang-ambing. - Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB