Namun di sebalik segala sikap positif kita itu, akan ada juga ujian yang Allah berikan. Kadangkala jika tidak diberi perhatian dan berusaha menanganinya, maka akan musnahlah hidup. Begitu pun, kepada Allah dimohon doa agar semua masalah akan selesai dengan baik. Nak tahu apa cerita saya kali ini? Jom kita ikuti kisah minggu ini.

“Saya Rose (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an, mempunyai dua anak perempuan, berusia lapan dan 11 tahun. Saya ibu tunggal, berpisah dengan suami empat tahun lalu kerana orang ketiga.

“Syukur, sebab saya bekerja walaupun gaji tidak seberapa tetapi saya gembira kerana anak-anak di bawah jagaan saya sepenuh masa dan bekas suami boleh melawat anak-anaknya pada bila-bila masa.

“Perkahwinan kami dahulu kerana cinta. Dua tahun menyulam kasih, hancur begitu sahaja kerana dia beralih kasih. Cintanya rapuh. Janjinya hanya separuh jalan untuk bersama saya.

“Saya reda dengan perpisahan ini. Saya menyifatkan jodoh kami hanya sampai setakat itu. Tiga bulan selepas berpisah, bekas suami bernikah dengan gadis yang menjadi skandalnya semasa masih menjadi suami saya.

“Saya tidak terkejut. Lebih baik begitu daripada saya dimadukan. Tak sanggup hidup dengan lelaki yang menduakan kasih sayangnya kepada saya.

“Setahun berlalu, keadaan aman, anak-anak gembira dengan saya. Kami hidup secara sederhana. Apa yang ada itulah yang kami makan. Saya tidak ajar anak mewah dengan hidup seperti masa ayah mereka ada.

“Saya didik mereka dengan baik. Ada masa belajar, mengaji, solat dan bermain. Awal tahun ini, saya tengok dua anak saya mula berubah perangai.

“Balik sahaja dari rumah ayah mereka, keadaan mereka berubah. Mengaji kena suruh, baca buku juga kena paksa. Lebih banyak main daripada belajar. Cakap saya sudah tak didengar.

“Setelah memujuk dan bertanya dengan baik, saya dapat tahu semasa mereka ke rumah ayah mereka, mereka tidak pernah disuruh buat apa yang saya suruh mereka buat.

“Mak tiri pun tidak pernah ambil tahu hal mereka, sebab sibuk uruskan anak dia. Mereka bawa diri sendiri. Makan sendiri dan banyak masa dihabiskan dengan menonton televisyen dan bermain.

“Kerana tidak mahu perkara itu berterusan, saya hubungi bekas suami bertanyakan hal itu. Dia melenting dan tuduh saya kata dia tak pandai jaga anak. Mengeruhkan keadaan, isterinya pula masuk campur.

“Dituduhnya saya cuba menggoda suaminya semula. Siap dimaki hamunnya saya dengan kata-kata kesat, sedangkan dia tahu saya sudah tidak ada apa-apa hubungan dengan suaminya lagi.

“Tidak cukup dengan telefon, dia kirim mesej dan WhatsApp macam-macam kepada saya. Tuduh saya gatal dan gila talak. Cetek sungguh fikiran dia. Agaknya dia lupa yang dia yang menggatal mengorat suami saya dahulu.

“Saya apa lagi, ‘belasah’ dia habis-habisan dengan kata-kata azimat saya. Saya minta dia bertaubat dan jangan kacau saya dan anak-anak saya. Saya pun tak ingin nak rebut kembali suami dia.

“Yang saya utamakan sekarang adalah anak-anak saya. Masa depan mereka dan pelajaran mereka. Saya tidak mahu anak-anak saya dididik dengan cara yang tidak sepatutnya. Saya tidak mahu bekas suami abaikan anak-anak kami apabila bersamanya.

“Saya minta dia jaga kebajikan anak-anak kami sekiranya mereka ada bersamanya. Jaga makan minum mereka, layan mereka dengan kasih sayang. Jangan biarkan mereka dengan hal sendiri.

“Saya juga minta dia bagi tahu isterinya, jangan racun fikiran anak-anak saya. Saya tidak mahu mereka keliru dengan hidup mereka. Saya mahu anak-anak berjaya dalam pendidikan dan hidup mereka di dunia dan akhirat.

“Saya juga pelik dengan perangai isteri bekas suami. Apa lagi yang dia hendak. Suami saya dah diambilnya. Anak-anak juga diberi hak berjumpa ayah mereka tanpa halangan walaupun nafkah yang diberi macam biskut chipsmore. Sekejap ada, sekejap tak ada.

“Saya malas naik turun mahkamah, nak tuntut nafkah anak-anak, dah empat tahun, tak ada perubahan. Bekas suami macam itu juga, berhabis untuk keluarga baharunya, ada duit tapi untuk anak-anak dengan bekas isteri, selalu tak cukup.

“Semoga Allah lindungi saya dan anak-anak dan tempatkan kami di bawah rahmat dan lindungan-Nya setiap waktu. Mudah-mudahan kami tiga beranak bahagia dengan cara kami di dunia dan akhirat.

“Kepada suami di luar sana, pesan saya jangan abaikan anak-anak kalau sudah kahwin lain. Kepada isteri yang merampas suami orang, jangan keterlaluan melayan anak-anak tiri. Jagalah dengan kasih sayang, ingat anak-anak itu tidak berdosa.

Mereka tidak tahu apa-apa. Saya berdoa supaya bekas suami dan isterinya akan sedar dan kembali ke pangkal jalan,” kata Rose menamatkan ceritanya.

Itulah lumrah hidup yang perlu kita hadapi. Saya harap Rose akan terus bersabar. Insya-Allah banyak berdoa, Allah akan buka jalan untuk semua masalah yang Rose hadapi. Abaikan perangai isteri bekas suami, asalkan Rose tetap dengan cara berhemah dan mulia seorang wanita dan ibu.

Menamatkan catatan, pesanan saya, hargai orang lain dan jangan berdendam. Hidup itu sederhana, asal kita tidak menjadikannya rumit dan menyusahkan.

Salam

[email protected]