Aktiviti itu juga semakin popular dalam kalangan agensi penguatkuasaan, jabatan kerajaan, pasukan keselamatan dan kelab menembak.

Setiap peserta yang ingin bergelar juara memerlukan tiga aspek penting iaitu ketepatan, kepantasan dan kemahiran pengendalian senjata api.

Setiausaha Persatuan Menembak Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Komander Rosli Jamaludin berkata, penganjuran pertandingan IPSC yang diadakan setiap tahun turut melibatkan penyertaan antarabangsa terutama dari negara Asia Tenggara dan Eropah yang dibarisi penembak handal dari pelbagai latar belakang.

Menurutnya, setiap pertandingan terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori ‘Production Divisyen’, Standard dan Terbuka mengikut peringkat dan jenis senjata yang digunakan.

“Jika kategori ‘Production Divisyen’, senjata yang mereka gunakan mengikut spesifikasi yang telah dikeluarkan oleh pengilang tanpa ada pengubahsuaian. Tetapi jika peserta bertanding mengikut kategori lain iaitu kategori standard dan terbuka, senjata yang digunakan telah diubahsuai dengan aksesori penuh dan lengkap seperti pejera optik.

“Setakat ini, kami telah lahirkan banyak penembak yang mantap dan terbaik di samping turut menghantar penembak menyertai kejohanan antarabangsa di beberapa negara di Asia Tenggara,” katanya.

Sukan ini memerlukan kepantasan dan ketepatan serta kecerdasan akal fikiran (IQ) yang tinggi bagi mengenal pasti setiap sasaran yang sukar dan merebut mata yang telah ditentukan.

Setiap senjata yang digunakan terdiri daripada jenis ‘Gold Custom Extreme dan ‘Limited Custom Extreme’ yang perlu mengikut garis panduan dan spesifikasi ditetapkan oleh ahli jawatankuasa IPSC.

Dalam pada itu, bagi pengurus dan jurulatih pasukan IPSC TLDM, Laskar Kanan (PAP) Mohamad Hamdan Abu Bakar berkata, pihaknya memerlukan individu yang benar-benar berminat dan agresif di samping memiliki ketahanan fizikal dan mental yang kuat untuk menghadapi kejohanan yang disertai.

Katanya, saringan ketat perlu dibuat sebelum diterima sebahagian daripada ahli pasukan tim IPSC TLDM dengan melakukan beberapa penilaian ketat.

“Kebiasaannya, kami akan mencari bakat-bakat baharu melalui kejohanan sukan Mini Olimpik TLDM yang diadakan setiap dua tahun sekali.

“Kita akan lihat sama ada individu tersebut berbakat atau tidak. Selepas itu, kita akan gilap kemahiran mereka sehingga benar berjaya sebelum boleh menyertai pertandingan lain mengikut kategori paling bawah sehingga profesional.

“Dalam satu-satu kejohanan, kebiasaannya ia melibatkan pelbagai peringkat yang perlu dilepasi dengan disiplin tertentu seperti menembak di atas motor atau dari dalam bot yang memerlukan ketangkasan dan kepantasan.

“Tiga aspek tersebut perlu digabungkan untuk menghasilkan tembakan dan gerakan yang mantap, sekali gus memperoleh mata kemenangan. Jika salah satu aspek tersebut tidak diaplikasikan, peserta susah walaupun kita tembak laju tetapi kita perlu tepat.

“Hal ini adalah kerana moto bagi pertandingan ini adalah ‘Diligentia’, ‘Vis’, ‘Celeritas’ yang bermaksud ketetapan, kuasa dan kepantasan,” tegasnya.

Beliau yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam sukan ini menyifatkan sukan ini sebagai sesuatu yang mencabar dan menyeronokkan serta memberi kepuasan kepada individu yang menggemari sukan lasak.

Di samping itu, Hamdan berkata, individu itu juga perlu mempunyai sentiasa menjalani latihan secara berterusan untuk menghasilkan tembakan dan gerakan yang mantap.

Bagi tim menembak TLDM ini yang berpusat di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, mereka akan menjalani latihan dan persediaan kejohanan kerana segala kelengkapan dan alatan yang mengikut spesifikasi IPSC ditempatkan di sini.

Dalam perkembangan lain, Hamdan berkata, bagi mengekalkan tahap kecergasan setiap anggota tim penembak IPSC, mereka perlu menjalani latihan fizikal seperti berlari sejauh lima kilometer dan juga latihan kepantasan.

“Latihan berlari yang dibuat adalah untuk ketahanan diri manakala latihan pecutan adalah untuk kepantasan. Kita memerlukan elemen ini jika hendak bersaing dalam kejohanan kerana tempat pertandingan adalah luas dan keadaan cuaca yang tidak menentu terutama jika dalam keadaan panas.

“Paling mencabar adalah kategori terbuka yang memerlukan peserta bekerja keras pada setiap peserta. Kita perlu mengasah bakat di setiap waktu,” ujarnya.

Keupayaan tim IPSC TLDM akan diuji dalam pertandingan IPSC peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Kota Tinggi minggu ini yang menggabungkan penyertaan lebih 10 negara dengan dibarisi penembak handalan bagi berentap merebut piala dan hadiah yang dipertandingkan.

HARI Bersama Media anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diadakan di Pusat latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini berlangsung dengan meriahnya dalam usaha mengukuhkan perhubungan antara dua pihak tersebut.

Pelbagai aktiviti diadakan pada hari tersebut antaranya pertandingan menembak yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai agensi media, TLDM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tim IPSC TLDM turut tidak ketinggalan bagi membantu dan memberi tunjuk ajar serta mengadakan demonstrasi kepada wakil media yang hadir pada majlis tersebut. Semua peserta diberi peluang menembak dengan menggunakan senjata pistol jenis Glock 17 buatan Austria.

Selain itu, tim IPSC turut mempamerkan jenis-jenis senjata yang digunakan setiap kategori dalam pertandingan IPSC. Senjata-senjata tersebut yang telah diubah suai menarik minat wakil media yang hadir untuk mengetahui dengan lebih dekat berkenaan sukan ini.

Pertandingan yang diadakan pada hari tersebut adalah menembak jatuh piring dari jarak 10 meter mengikut kumpulan yang telah dipecahkan.

Antara jenis senjata yang dipamerkan adalah pistol ‘Gold Custom Extreme’, ‘Limited Custom Extreme’ dan ‘Stock III Extreme’ dengan beberapa pengubahsuaian dilakukan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Wakil media turut diberi penerangan dan taklimat serta peraturan asas dalam sesebuah pertandingan IPSC di samping tayangan video berkenaan pertandingan tersebut.

Di samping pertandingan menembak, pihak TLDM turut mengadakan jamuan makan malam bersama Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan.

Yang turut hadir, Timbalan panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan pegawai-pegawai kanan perkhidmatan.