Sedangkan kita tahu Kementerian Kebajikan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa menguar-uarkan bahawa wanita yang merasa diri atau anak-anak mereka teraniaya atau diancam, maka mereka boleh buat aduan mendapatkan IPO, tetapi sayangkan permohonan mendapatkanya tidak semudah yang diperkatakan.

Memang sedih dan kecewa apabila ramai wanita khususnya ibu-ibu tunggal melahirkan rasa hampa apabila aduan mereka tidak pernah mendapat layanan dari pihak tertentu khususnya pegawai dari JKM, apatah lagi dari Polis.

Ibu-ibu tunggal ini mendakwa IPO bukan sahaja sukar diperolehi, sebaliknya ia hanya cantik atas kertas yang tertera dalam Undang-Undang Akta Keganasan Rumahtangga, tetapi terlalu sukar dilaksanakan. IPO ini seolah-olah main tarik tali antara dua jabatan ini yang menyukarkan ibu-ibu tunggal mendapatkannya. Terlalu banyak persoalan dan tolak menolak antara JKM dengan pihak polis.

Ini adalah antara kelohan yang di dengar dari luahan ibu tunggal dalam perjumpaan bulanan Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal di Bangi baru-baru ini. Permasalahan untuk mendapatkan IPO ini telah membawa penulis melihat undang-undang tersebut.   

Seperti kita sedia maklum kerajaan telah membuat undang-undang atau Akta Keganasan Rumah Tangga yang diluluskan oleh Parlimen sejak tahun 1994 dan berkuatkuasa mulai Jun tahun 1996, ia  mempunyai falsafah membendung kecenderungan berlakunya keganasan dalam sesebuah keluarga. Tak kira terhadap wanita atau anak-anak.

Walaupun pengadu terdiri daripada wanita khususnya ibu-ibu tunggal, namun akta keganasan ini terpakai kepada semua rakyat Malaysia. Tanpa membezakan agama, bangsa, jantina, keturunan dan tempat kelahiran.

Ia juga bertepatan dan selaras dengan peruntukan kesamarataan yang dinyatakan di bawah Perkara 8 Perlembagaan  bahawa semua orang sama rata disisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan disisi undang-undang.

Cantik sungguh Undang-Undang Keganasan Rumahtangga ini apabila kita melihat ia memberi perlindungan kepada seseorang apabila dia merasa dirinya takut dicederakan secara fizikal. Juga apabila seseorang itu merasa dirinya terancam atau dipaksa melakukan perbuatan seksual atau sebagainya dan mangsa tidak mahu melakukannya.

Juga menjadi kesalahan di bawah akta ini jika si mangsa biasanya wanita dan anak-anak di kurung di dalam rumah tanpa kerelaannya. Atau si mangsa merasa sedih dan terganggu fikirannya bila berlaku khianat yang merosakkan harta benda miliknya (mangsa).

Oleh kerana itu, jika seseorang itu khususnya wanita mahupun ibu tunggal merasa dia diancam  seperti yang disebutkan di atas, maka dengan sendirinya dia  berhak dan boleh mendapatkan perlindungan di bawah akta Keganasan Rumahtangga yang membolehkannya mendapatkan IPO (Perintah Perlindungan Interim Sementara)

“Apabila kejadian jenayah atau ancaman ini berlaku ke atas mangsa, maka dia boleh terus membuat aduan kepada polis atau melalui pegawai kebajikan untuk mendapatkan IPO  yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil sementara menunggu pihak polis menjalankan penyiasatan mengenai kesalahan keganasan tersebut.  

“Mengikut akta ini juga ia bertujuan menghalang berlakunya keganasan rumahtangga terhadap pengadu atau si mangsa. Bagaimanapun IPO ini akan terhenti berkuat kuasa setelah pihak polis selesai menjalankan penyiasatan terhadap yang dituduh.

“Selain itu mahkamah juga boleh memasuk peruntukan orang  dituduh tidak boleh menghasut atau menyuruh orang lain melakukan keganasan terhadap orang dilindungi bagi pihak dirinya.

“Jika kita melihat daripada Undang-Undang Keganasan Rumahtangga ini ia memang cukup cantik dan boleh beri perindungan kepada pengadu. Tetapi kenyataannya ia tidak semudah yang tertulis,” kata Hanifah Syed Muhammad seorang peguam syarie dan sivil yang merupakan penasihat undang-undang KSIT dalam perjumpaan tersebut.

“Inilah masalah yang dihadapi oleh Puan JJ terang-terang beliau membuat laporan kepada polis, bukan sebuah tetapi lima balai, tetapi semua pegawai yang bertugas di balai tersebut tidak mahu menerima laporan, kerana suami Puan JJ juga anggota polis .

Ada juga balai yang menerima laporan beliau tetapi apabila ditanya untuk mendapatkan salinan, pegawai petugas mendakwa mereka tidak terima laporan. Pelik, memang menghairankan.

Bertanggungjawab 

“Disebabkan sukar mendapatkan IPO kerana suaminya telah melakukan penganiayaan seksual terhadap anak perempuannya, Puan JJ telah membuat aduan ke Bukit Aman sekali lagi beliau di minta membuat laporan baru di balai. Malangnya sekali lagi laporannya dihilangkan.

“Lebih mengecewakan ketika beliau buat aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, pegawai JKM menolak aduan  atas alasan mereka tidak boleh terima laporan kerana polis tidak buka kertas siasatan. Beginilah nasibnya macam bola.

“Kerana tidak ada laporan, bekas suami beliau sentiasa mengambil anak-anaknya sesuka hati pada bila-bila masa kerana tidak ada tegahan langsung. Dan kebimbangan sentiasa bersarang di dalam hati Puan JJ tentang keselamatan anak perempuannya yang masih kecil itu. 

“Namun akhirnya beliau berjaya mendapatkan IPO yang dikeluarkan oleh majistret. Dengan IPO tersebut beliau membuat aduan ke Mahkamah Syariah kerana kesnya sedang berlangsung. Tetapi sekali lagi beliau menghadapi masalah besar apabila Mahkamah Syariah tidak terima IPO tersebut sebaliknya membenar bekas suami mengambil anak bila-bila masa.

“Jelas sekali IPO yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil tidak diguna pakai di Mahkamah Syariah kerana di tolak. Sebaliknya memberi hak kepada si ayah terus mengambil anaknya, kerana anak-anak itu yang menjadi tangguangjawab si ayah. Persoalannya jika sesorang ayah itu bertanggungjawab kepada anak-anaknya, adakah dia berhak melakukan jenayah seksual ke atas anak perempuannya?

“Menurut Encik Hanifah lagi, bukan  Puan JJ seorang sahaja menghadapi masalah seperti ini, beliau percaya banyak lagi kes seumpama itu berlaku di merata tempat di negara ini. Di sebabkan kerenah, masalah, kepayahan dan kesulitan seperti yang dihadapi oleh Puan JJ maka kerana itu kita sering terbaca di akhbar, ayah merogol anaknya sendiri sehingga melahirkan anak, ayah menganiaya anak-anak perempuannya. Bukan si ibu tidak tahu tetapi kepada siapa dia mesti mengadu jika masalah seperti dihadapi oleh Puan JJ terpaksa mereka tempuhi.’’

Sementara itu Datuk Wan Halim Othman yang merupakan Penasihat dan Penaong KSIT dan juga penasihat ibu tunggl di Terengganu, memberitahu kes sama juga berlaku di sana. Si ibu telah mendapat persetujuan daripada suaminya dalam Majlis Sulh di mana bekas suaminya tidak akan membawa apa lagi bermalam dengan anak perempuannya. Kerana si ibu mendakwa anak perempuannya menjadi mangsa rogol ayahnya.

Tetapi apabila si ibu menceritakan ke Mahkamah Syariah tentang tegahannya tidak benarkan bekas suaminya bermalam dengan anak perempuannya, malangnya Mahkamah Syariah telah menegur tindakan si ibu, sebaliknya Hakim Mahkamah Syariah telah membenarkan si ayah bermalam dengan anaknya. Kerana budak perempuan itu anaknya.

Kesimpulannya adalah jelas walaupun ada pengakuan dari si ayah dan ada IPO namun tidak dipedulikan dan ditolak, seumpama IPO ini langsung tidak berfungsi di Mahkamah Syariah. Dalam kes ini sia-sia sahaja si ibu dapatkan IPO, tetapi tidak diterima oleh Mahkamah Syariah.

Sementara itu seorang lagi ibu menceritakan walaupun dia telah bercerai dan sudah berkahwin lain, tetapi dia sering diganggu, diserang dan dimaki hamun oleh bekas suaminya yang datang menyerangnya di rumah kerana masalah anak.

Walaupun si ibu ini sudah berjaya mendapatkan hadanah tetapi bekas suaminya akan datang ambil dan mengugut menukarkan sekolah anaknya dengan alasannya sendiri.

Beliau dinasihat mendapatkan IPO dari JKM, tetapi pegawai bertugas menolak, menyuruhnya membuat laporan dibalai polis dan meminta polis membuka kertas siasatan dahulu. Inilah masalahnya apabila tidak ada peraturan lengkap antara satu pihak dengan satu pihak lain.

Kesimpulannya, apa gunanya IPO ini jika tidak ada sesiapa pun menghormatinya?  Di sini jelas IPO dan Undang-Undang Keganasan Rumahtangga ini tidak laku  dan dipermain-mainkan, bukan oleh orang awak yang tak tahu undang-undang, tetapi oleh mereka yang melaksanakan undang-undang. Mereka langsung tidak memperdulikan kepentingan IPO ini.

Apakah setelah lahir anak haram oleh bapak haruan yang makan anak ini, barulah tindakan diambil dengan mempenjarakan ‘si bapak haruan’. Apakah kita mahu melihat banyak anak haram dilahirkan, atau ditanam, dibuang daripada membanterasnya dari peringkat awal.

Persoalannya jika IPO mahkamah sivil ini tidak laku di mahkamah syariah, atas sebab tertentu, maka satu undang-undang yang sama mesti dibuat atau dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah supaya perintah tegahan yang sama boleh diguna pakai. Memang ayah wajib bertanggungjawab  kepada anaknya, tetapi berapa banyak ayah  tidak bagi nafkah kepada anak-anaknya. 

Masalah tidak mahu bagi nafkah inilah sepatutnya diketatkan dan si ayah tidak boleh terlepas daripada tanggungjawabnya beri makan, pakai dan pendidikan kepada anak-anaknya. Bukan hanya membebankan kepada bekas isteri.

Selain itu, JKM juga Polis patut ambil inisiatif adakan kursus atau seminar untuk beri banyak ilmu kepada para petugasnya. Supaya mereka benar-benar faham apa itu IPO supaya tidak ada lagi penganiayaan terhadap ibu-ibu tunggal, anak-anak dan wanita untuk mendapatkan IPO. Jangan undang-undang hanya cantik di atas kertas tetapi hampas, kerana tidak dilaksanakan dengan baik. 

Sepatah kata Encik Hanifa, IPO ini umpama senjata yang tumpul. Atau mungkin juga IPO ini sama seperti pistol tidak berpeluru atau gusi tak bergigi. Fikir-fikirkanlah dan jangan buat IPO ini macam melepaskan batuk ditangga.