Demikian pengakuan ikhlas Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Berhad, Aireen Omar dalam perkongsian dengan 84 pelajar perempuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang hadir pada satu sesi di ibu pejabat AirAsia RedQ, Sepang baru-baru ini.

Namun sambungnya, salah satu watak dalam sebuah program televisyen kegemaran beliau memberi inspirasi kepadanya untuk mengambil ijazah dalam bidang ekonomi.

Tambahan pula terdapat buku yang menulis tentang profil perniagaan dan korporat ibu bapanya, yang membuatkan sejak itu beliau menyedari bahawa bidang tersebut jelas merupakan bidang yang diminati.

“Selepas tamat pengajian, saya bekerja di sebuah bank di kota London dan apabila kembali ke Malaysia, saya menyertai syarikat penerbangan, AirAsia dan terlibat dalam sektor kewangan korporat.

“Hari ini saya adalah ‘ketua kampung’ AirAsia dan mengetuai 17,000 kakitangan yang digelar Allstars di seluruh dunia untuk memacu jenama ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Di sini saya ingin memberitahu bahawa peluang itu ada di mana-mana sahaja. Sudah tentu dalam perjalanan kerjaya kita ada naik dan turunnya, tetapi anda perlu lakukan yang terbaik dalam apa jua yang anda lakukan.

“Usah fikir bahawa jantina menghalang kita mencorakkan kerjaya kerana anda yang akan menentukan masa depan sendiri.

“Jangan putus asa dan sentiasa bekerja keras untuk merealisasikan impian anda, saya yakin kita semua boleh membuktikan bahawa girls can do anything,” katanya.

Sesi perkongsian tersebut diadakan bersempena dengan kempen #GirlsCanDoAnything dan diteruskan dengan kerjasama daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memperkasa gadis-gadis remaja untuk menggapai impian.

Menurutnya, matlamat kempen tersebut adalah untuk memberi inspirasi kepada mereka supaya tidak membataskan kemampuan diri, berani memilih kerjaya dalam apa jua bidang yang mereka minati, serta mewujudkan platform untuk mereka mendengar dan berkongsi impian bagi memperkasa generasi muda.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada program pembangunan dan pemerkasaan wanita dengan menggariskan 13 sektor utama termasuk ekonomi, pendidikan dan latihan, sains dan teknologi, pembuat keputusan, mekanisme dan jentera.

“AirAsia telah mengambil peranan tersebut dan secara tidak langsung meningkatkan penyertaan dan sumbangan wanita dalam mencapai kesaksamaan gender dalam bidang ekonomi.

“Saya menyambut baik kempen ini dengan misi AirAsia untuk mengintegrasikan perspektif wanita dan masyarakat dalam pembangunan negara.

“Inisiatif seperti ini wajar dijadikan contoh oleh pihak lain terutama syarikat-syarikat korporat untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

“Di kementerian, kami mempunyai sasaran sebanyak 59 peratus untuk memastikan wanita mempunyai kerjaya pada tahun 2020 dan sekarang kita telah berjaya mencapai sebanyak 55 peratus.

“Dengan adanya kempen sebegini, tidak mustahillah negara mampu mencapai baki empat peratus lagi malah mampu melebihi angka tersebut jika dilakukan secara berterusan dan mendapat sokongan daripada semua pihak” katanya.

Tambahnya lagi, kempen tersebut juga penting untuk memupuk kepimpinan dalam kalangan generasi muda hari ini supaya mereka lebih bersedia dalam apa jua bidang yang mereka ceburi pada masa akan datang tanpa menoleh ke belakang.

Turut hadir berkongsi pengalaman adalah tiga Allstars AirAsia, iaitu juruterbang wanita pertama AirAsia, Kapten Norasikin Che Onn; jurutera penyelenggaraan pesawat berlesen, Putri Siti Nordiayana Mohd Zain; dan pegawai pengambilan pekerja AirAsia, Sara Farina Mohd Azam.