Ini kerana minat mendalam terhadap bidang kepolisan telah mendorong Mohamed Rafiq melupakan cita-cita untuk menjadi ahli perniagaan semata-mata mahu menyarung seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Keputusan menyarung uniform pasukan keselamatan itu langsung tidak dikesali dan kini Superintenden Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa, 46, begitu berbangga melaksanakan amanah dan tugas yang diberikan.

Bercerita lebih lanjut, pemegang Ijazah Sarjana dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru itu memberitahu, beliau memohon menyertai PDRM sebaik sahaja menamatkan pelajarannya di universiti tersebut pada 1996.

“Sebaik sahaja tamat semester akhir pengajian, saya terus mencuba nasib untuk memohon jawatan sebagai pegawai polis namun hasrat tersebut tidak kesampaian apabila pengambilan kadet Asisten Superintenden dibekukan sementara.

“Itu menyebabkan saya melupakan hasrat untuk menyertai PDRM dan bekerja sebagai perunding korporat di sebuah syarikat swasta selama setahun sehingga pengambilan untuk jawatan tersebut dibuka semula pada 1997.

“Tidak sangka permohonan saya diterima,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Menyingkap mengenai 20 tahun perkhidmatannya bersama PDRM, bapa kepada dua cahaya mata ini memberitahu, selepas tamat latihan di Pulapol, beliau telah diserapkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada 1998.

Ujarnya, selepas lapan bulan menimba pengalaman, Mohamed Rafiq kemudian ditukarkan IPD Sentul dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Narkotik selama tiga tahun sebelum ditukarkan ke Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Tambah Mohamed Rafiq, selepas lebih empat tahun berada di FRU, beliau sekali lagi ditukarkan ke Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik pada 2006 selama dua tahun sebelum dinaikkan pangkat ke Deputi Superintenden pada 2008 ketika bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Pahang.

“Selain tiga jabatan tersebut, saya juga pernah bertugas di Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (Start) pada 2014 dengan memegang pangkat sebagai Superintenden sebelum bertukar semula ke IPD Sentul sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah pada tahun lalu.

“Ternyata berpeluang bertugas di empat jabatan berlainan di PDRM telah memberi impak dalam kehidupan saya kerana saya dapat merasa pelbagai skop tugasan yang berbeza,” jelasnya yang menyifatkan pengalaman berkhidmat di Bahagian Siasatan Narkotik sangat berharga.

Mengulas tentang sokongan keluarga dalam menjalankan tugas sebagai pegawai polis, Mohamed Rafiq mengucapkan terima kasih kepada isterinya, Shamimah Begun Mohd Hussien, 45, yang sanggup berkorban menjaga anak-anaknya tatkala dirinya sibuk dengan tugasan.

Jelasnya, meskipun isterinya bertugas sebagai seorang guru di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang namun dia langsung tidak pernah mengeluh malah mendidik dua anak mereka dengan sempurna sepanjang dirinya sibuk dengan tugasnya.

“Saya bertuah kerana isteri memahami tugas saya sebagai pegawai polis.

“Apatah lagi, setiap kali saya menerima arahan untuk ditukarkan ke bahagian lain mereka tidak putus-putus memberi semangat dan galakan,” kata anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini.