Apa yang mengagumkan, anak muda ini tidak pernah menyesali dengan apa yang telah ditakdirkan, kerana baginya setiap kejadian pasti ada hikmah di sebaliknya.

Malah, menginjak ke usia dewasa, Muhammad Afiq Afify percaya dengan rezeki yang diberikan.

Memegang pesanan ibu bapa, Hanizan Aziz dan Rizan Othman, yang mahu dia memberi komitmen dalam apa juga perkara yang dilakukan, ia memberi suntikan semangat buat lelaki itu untuk berjaya dalam bidang sukan yang diceburi.

Dia, yang mendapat pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur, pada awalnya menyertai acara sukan olahraga secara serius ketika berusia 13 tahun.

Namun, aktiviti itu terhenti seketika ketika pada tingkatan empat selepas melihat penglibatan dalam sukan berkenaan tidak mampu membawanya pergi lebih jauh, sekadar ke peringkat negeri sahaja.

Cuba beralih kepada bidang bina badan, Muhammad Afiq, banyak menyertai dan melibatkan diri bersama kelab-kelab memandangkan tiada acara khusus untuk sukan berkenaan untuk golongan OKU.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya dihubungi Majlis Sukan Negeri yang bertanyakan punca saya tidak lagi aktif dalam olahraga dan pada masa sama, mereka menawarkan saya sukan lumba basikal.

“Pada awalnya, saya menolak kerana ketika itu saya dalam proses membina badan dan terlalu banyak wang telah dilaburkan.

“Namun, awal Mac 2015, saya mengambil keputusan untuk mencuba sukan lumba basikal dengan bermula sebagai pelapis,” katanya ketika ditemui Mega Rona baru-baru ini.

Baru mengikuti latihan selama tujuh bulan, anak muda itu berjaya menempa kejayaan apabila memperoleh pingat emas ketika pertama kali menyertai pertandingan di Terbuka Jepun 2015, sekali gus menjadi pembakar semangat buat Muhammad Afiq untuk terus beraksi.

Mengakui bukan mudah untuk bergelar atlet para kerana perlu menjalani rutin latihan seperti atlet biasa.

Pemegang tiga pingat emas dan satu perak pada kejohanan Sukan Para ASEAN Ke-9 itu berkata, paling sukar adalah untuk mengurangkan berat badan asal dari 85 kilogram kepada 73 kilogram.

Penglihatannya juga hanya mampu digunakan pada jarak sekitar 20 meter sahaja.

“Kalau kita lihat, acara sukan lumba basikal untuk atlet para memerlukan pengayuh pengiring di bahagian hadapan yang boleh melihat. Namun, kelajuan basikal tetap bergantung kepada kekuatan kayuhan atlet yang duduk di bahagian belakang.

“Saya juga pernah merasai pengalaman cedera ketika berlatih di lebuh raya. Ketika itu, kami dalam kelajuan 90 kilometer sejam, apabila tiba-tiba tayar hadapan meletup.

“Syukur kecederaan saya tidak parah, tetapi kasihan pengayuh di bahagian hadapan yang luka teruk pada muka,” katanya.

Mempunyai wajah yang tampan memberi peluang Muhammad Afiq bergelar model, malah jelas pemuda itu, dia pernah ditawarkan untuk berlakon dalam filem Polis Evo 2.

“Sebelum ini, saya ada juga ambil tawaran sebagai model. Apabila mendapat tawaran berlakon memang rasa teruja, tetapi malangnya terpaksa ditolak kerana jadual latihan amat padat selain terlibat dengan banyak pertandingan di luar negara.

“Saya juga sedang menumpukan perhatian pada Sukan Olimpik Tokyo pada 2020,” katanya.

Mengimpikan gelaran juara pertama dunia sebagai pelumba basikal para, Muhammad Afiq berharap lebih ramai golongan OKU yang menyertai bidang sukan. - Gambar WAHIDAH ZAINAL