Kuala Lumpur 15 Ogos 2017 FOTOGRAFI bersama Ima pencarian Gadis
 

Perwatakan dan percakapan hariannya yang menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian menguatkan lagi sangkaan yang anak ketiga daripada empat adik-beradik ini tiada kaitan langsung dengan orang Melayu.

Bagaimanapun sebenarnya, Ima adalah gadis berketurunan Pakistan yang diwarisi daripada kedua ibu bapanya, Mohd. Hamed Rahmat Ali dan Fasirah Sharif Baba.

“Setiap kali saya keluar rumah dan bertemu orang baharu, pasti ada yang menyangka saya berdarah campuran Cina dan India. Rata-rata mengatakan sebegitu selepas melihat cara percakapan dan perwatakan saya.

“Tapi selepas saya menjelaskan kepada mereka yang saya berketurunan Pakistan, ada yang macam tak percaya. Bermati-matian pula mendakwa saya bercanda tentang keturunan sendiri,” kata Ima yang bangga dengan keturunannya sendiri.

Gemar mendengar cerita mengenai keistimewaan keturunannya itu daripada orang tua, Ima juga taksub tentang keunikan budaya bangsanya itu tambahan lagi pada perayaan dan upacara keramaian anjuran sanak saudaranya.

Di situ, Ima akan mengeratkan silaturahim dengan ahli keluarganya yang lain selain berkongsi perkembangan cerita tentang masing-masing-masing.

“Paling digemari adalah manisan halwa yang akan diberikan kepada setiap tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan, saya tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati makanan itu. Rasa makanan tersebut sangat unik tapi tak boleh makan selalu, manis. Nanti berat badan naik, penyakit lain pula datang.

“Saya juga suka menikmati kemeriahan majlis perkahwinan. Setiap daripada kami dikehendaki untuk menari tanpa mengira usia. Itu cara kami meraikan majlis bersama pengantin.

“Masing-masing gembira menerima kehadiran keluarga baharu,” kata Ima yang turut memahami bahasa Urdu yang dipelajari secara tidak formal.

 

Biodata

Nama penuh: Nor Hazimah Mohd. Hamed

Nama singkatan: Ima

Tarikh lahir: 20 November 1996 (21 tahun)

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Kenangan manis: Pernah melancong keluar negara tanpa pemantauan orang tua seawal usia 19 tahun

Moto kehidupan: Be the best version of you!

Impian menyertai Gadis Panca: Saya benar-benar serius untuk menjadikan bidang peragaan dan lakonan sebagai kerjaya. Saya juga menyimpan cita-cita untuk membawa nama Malaysia ke tempat paling tinggi dalam kedua-dua bidang itu.