Penampilan yang elegan, tutur kata yang lembut tetapi sedikit tegas, bagai memaku pandangan kepadanya yang ringkas dengan hanya sepasang kemeja putih dan skirt rona biru elektrik.

Menjadi idola rakyat Brunei, Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah mencemar duli berkolaborasi bersama jenama skaf atau tudung tempatan terkenal, Duck untuk menghasilkan koleksi The Royal Duck.

Penghasilan rekaan ini adalah untuk berkongsi interpretasi beliau tentang kehebatan wanita pada hari ini.

Majlis pelancaran yang berlangsung di The Empire Hotel & Country Club Brunei, menampakkan sisi beliau sebagai kerabat diraja Brunei Darussalam yang dilihat mudah didekati dan mesra apabila terlibat sama dalam aktiviti bersama rakyat.

Idea Pengiran Anak Sarah untuk berkolaborasi melalui cetusan rekaan skaf empat segi ternyata membuka ruang kepada orang ramai mengenali keperibadian ibu kepada tiga orang anak itu, yang dilihat cukup berdikari dalam menguruskan kehidupannya.

Pengiran Anak Sarah berkata, koleksi tersebut ditujukan khas buat semua wanita untuk berasa mereka benar-benar istimewa.

Sama ada sebagai seorang isteri, anak, ibu atau pekerja, wanita membuktikan mereka mampu melakukan tugas itu.

“Hari ini saya ingin menyatakan bahawa, sebagai wanita kita sebenarnya mampu meraikan kehebatan kita dalam pelbagai aspek.

“Tidak kira sama ada wanita itu seorang yang lemah lembut atau garang, seorang yang bercita-cita tinggi atau seorang pengembara, seorang ibu mahupun anak, atau apa sahaja jalan yang kita pilih, kemampuan kita memegang apa jua personaliti adalah kekuatan kita.

“Wanita hari ini yang semakin maju dan dipandang tinggi, mempunyai keupayaan untuk mengorak langkah seiring dengan keberanian yang ditonjolkan bagi membina dunia yang lebih baik, walaupun hanya bermula dengan langkah yang kecil.

“Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana kerjasama yang tidak dijangka ini terjalin.

“Sejujurnya saya khuatir penerimaan ramai terhadap rekaan ini, namun The Royal Duck sebenarnya membawa makna yang tersendiri.

“Ia menggambarkan kebergantungan wanita antara satu sama lain yang membawa perspektif positif untuk masing-masing menonjolkan potensi diri,” ujarnya.

Meraikan kehebatan wanita

Diilhamkan dengan sentuhan diraja yang dicapai melalui penggunaan warna yang kaya dan lembut serta perincian mewah, koleksi The Royal Duck adalah mengenai kecantikan, kewanitaan dan ciri-ciri lain daripada kehidupan ikon diraja ini.

Keseluruhan rekaan ini ternyata memberi refleksi kepada perwatakan wanita pada hari ini, yang digambarkan menerusi penerapan gabungan lima elemen iaitu roda, grid, bunga, berlian, dan lebah.

Lari daripada idea cetakan fabrik yang stereotaip, koleksi tersebut berjaya menggabungkan pelbagai corak cetakan dan warna dalam setiap rekaan, namun istimewanya gabungan ini dapat memberi keseimbangan kepada rekaan tersebut tanpa kelihatan aneh.

The Royal Duck menjadi antara koleksi eksklusif sepanjang pembabitan Duck dalam industri fesyen.

Kolaborasi ini berjaya membawa personaliti elegan Pengiran Anak Sarah melalui rekaan yang mampu menzahirkan inspirasi buat wanita lain.

Ia merupakan tudung koleksi ketiga edisi terhad berbentuk segi empat dihasilkan selepas koleksi Kaleidoscope dan Alphabet.

Aura diraja Brunei Darussalam itu nyata berjaya menghimpunkan hampir 3,000 peminat tudung ke acara prebiu The Royal Duck, meskipun rekaan keseluruhan dan harga pasaran belum didedahkan secara rasmi.

Sementara itu, pengasas The Duck Group, Vivy Yusof berkata, hampir keseluruhan idea koleksi tersebut disunting terus oleh Pengiran Anak Sarah selama beberapa bulan. Penghasilan rekaan tersebut akhirnya berjaya merungkai teka-teki berkenaan kolaborasi diraja pada acara pelancarannya di Brunei.

Menurutnya, sepanjang kolaborasi tersebut dia sangat bertuah kerana dapat mengenali Pengiran Anak Sarah, yang nyata begitu mesra dengan rakyat, merendah diri, sentiasa memperjuang hak wanita, dan tidak pernah melupakan soal kebajikan.

“Setiap rekaan edisi terhad daripada Duck mempunyai ceritanya yang tersendiri. Untuk edisi kali ini, beliau mahu rekaan ini mempunyai segala-galanya tentang wanita.

“Bermula dengan ideanya untuk menggunakan cetakan bunga hydrangea untuk menggambarkan ciri feminin seorang wanita sehinggalah merujuk kepada kegemaran dan cita rasa dirinya.

“Saya turut mencadangkan kepadanya beberapa elemen lain yang mewakili personaliti wanita itu sendiri.

“The Royal Duck dinamakan bukan sekadar disebabkan oleh kolaborasi diraja ini, tetapi untuk menggambarkan refleksi buat setiap wanita dan mengingatkan bahawa kita tidak begitu jauh berbeza antara satu sama lain, mampu berdiri bersama-sama dan saling menyokong,” katanya.

Berharga RM600, skaf tersebut didatangkan dengan empat warna iaitu merah, merah jambu, biru abu dan pic serta beg skaf sebagai pelengkap bagi koleksi ini.