Kebanyakan mereka memilih untuk menyusukan bayi hanya ketika berpantang dan sanggup menahan rasa sakit pada payudara akibat susu tidak diberikan kepada bayi.

Kini, senarionya ternyata sudah jauh berubah apabila golongan ibu mulai sedar betapa pentingnya memberikan susu badan kepada bayi. Ini juga atas inisiatif hospital-hospital kerajaan dan swasta memberikan pendedahan kepada ibu tentang pengurusan penyusuan susu ibu.

Di saat ibu-ibu menyatakan berita gembira bahawa mereka mampu menyusukan bayi sepenuhnya, terdapat juga yang gagal menyusukan bayi mereka kerana pelbagai sebab.

Antaranya, kekurangan susu, luka pada puting atau payudara bengkak.

Perunding Obstetrik dan Gineklogi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Adzlina Jaaffar berkata, jarang sekali berlaku kes ibu tidak mampu untuk menghasilkan susu badan yang mencukupi untuk bayi mereka.

Kebanyakan masalah yang berkaitan dengan penyusuan bermula dengan cara perlekapan dan posisi penyusuan yang tidak efektif.

“Kegagalan memulakan atau meneruskan penyusuan susu ibu secara efektif menyebabkan bayi tidak dapat menerima susu ibu dengan sempurna dan adakalanya menyebabkan masalah pada payudara ibu itu sendiri .

“Menyusukan bayi sebenarnya amat mudah, namun akan menjadi sukar jika ibu tidak mendapat pendedahan yang mencukupi tentang kaedah yang betul dan sokongan moral daripada keluarga ataupun masyarakat.

“Ramai yang beranggapan bahawa menyusu badan itu sesuatu yang semula jadi untuk setiap wanita, namun sebilangan besar wanita memerlukan tunjuk ajar dalam pengurusan penyusuan.

“Selain itu, mereka juga memerlukan sokongan berterusan untuk memastikan penyusuan susu ibu yang berjaya,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleanegles Kuala Lumpur, baru-barunya.

Wanita berpengalaman 'buat-buat tahu'

Ramai menyangka ibu muda atau wanita yang baru melahirkan anak pertama akan menghadapi lebih kesukaran dalam penyusuan bayi, namun sebenarnya mereka yang mempunyai lebih daripada seorang anak juga menghadapi masalah sama.

Mereka sama ada beranggapan bahawa masalah yang dihadapi adalah ‘perkara biasa’ bagi setiap ibu atau kadangkala malu untuk bertanya kerana beranggapan mereka lebih berpengalaman.

“Sepanjang saya bekerja dalam bidang ini, tidak pelik apabila melihat ibu-ibu yang dikatakan berpengalaman, masih melakukan teknik penyusuan yang tidak efektif, yang sepatutnya boleh ditambah baik jika mendapat pendedahan yang cukup tentang penyusuan bayi.

“Bagi kebanyakan ibu muda, mereka lebih bersemangat untuk mempelajari teknik dan tidak malu untuk bertanya kepada jururawat atau doktor,” ujar Dr. Adzlina.

Menurutnya, masalah-masalah yang biasa disuarakan oleh ibu-ibu, seperti susu tidak mencukupi, payudara bengkak, atau puting luka dan bernanah akhirnya akan menyebabkan penyusuan yang dilakukan menjadi tidak sempurna.

“Kebiasaannya produktiviti susu ibu memang mencukupi, tetapi disebabkan salah teknik penyusuan dari segi posisi dan cara pelekapan bayi, susu tidak dapat dikeluarkan dengan sempurna.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku bengkak susu yang mana jika dibiarkan dalam tempoh yang lama, boleh menyebabkan nanah di dalam payudara mereka.

“Apabila ibu berada dalam kesakitan atau demam mereka akan berasa tidak bersemangat untuk meneruskan penyusuan dan apabila ini berlaku, secara tidak langsung penghasilan susu badan akan berkurangan dengan sendirinya.

“Tubuh ibu seolah olah menerima isyarat bahawa susu adalah tidak diperlukan lagi kerana tiadanya rangsangan daripada bayi,” jelasnya.

Teknik yang betul

Kaedah penyusuan yang betul telah didedahkan kepada ibu ketika ibu masih mengandung lagi dan ditekankan semula selepas kelahiran.

Menurut Dr. Adzlina, kebanyakan ibu akan mendapat maklumat tersebut semasa menghadiri kelas pranatal sama ada di hospital kerajaan ataupun swasta.

Menurutnya, posisi yang betul untuk bayi semasa penyusuan adalah badan bayi yang lurus dan rapat dengan ibu, muka bayi harus menghadap payudara ibu, kawasan areola dicakupi oleh mulut bayi dan dagu bayi menyentuh payudara ibu.

Posisi dan cara perlekapan yang betul akan memastikan bayi menerima susu yang secukupnya dengan sempurna dan mengelakkan daripada masalah bengkak payudara dan luka pada puting.

Ibu pula perlu memastikan pengambilan pemakanan yang sihat dan rehat yang mencukupi bagi memastikan penghasilan susu yang berterusan.

“Perkara yang paling penting untuk penghasilan susu yang banyak adalah rangsangan daripada bayi.

“Sistem badan wanita sangat unik kerana apabila tubuh ibu menerima rangsangan melalui penghisapan daripada bayi, lebih banyak susu akan dihasilkan.

“Ramai yang salah anggap bahawa milk booster atau makanan tambahan termasuk ubat-ubatan mampu meningkatkan pengeluaran susu badan, namun tanpa rangsangan daripada bayi, penghasilan tidak akan banyak seperti yang diharapkan,” katanya.

Ujarnya, ibu juga harus peka dengan isyarat yang akan diberikan oleh bayi, iaitu bila bayi itu lapar dan mahukan susu. Selalunya bayi akan memberikan isyarat-isyarat tertentu sebelum mula menangis kerana kelaparan.

“Tanda -tanda bayi mahukan susu adalah seperti bayi akan memandang ke arah ibu dan mencari-cari payudara, menjelir-jelirkan lidahnya, matanya akan berkelip-kelip atau membuat bunyi hisapan,” katanya.

Dalam pada itu, bagi keadaan ibu dianugerahkan dengan susu yang sangat banyak, mereka tidak perlu rasa bersalah atau risau untuk memerah susu yang berlebihan setelah bayi kenyang kerana susu perahan tersebut boleh disimpan di dalam peti sejuk atau peti sejuk beku.

Jelas Dr. Adzlina, jika ibu membiarkan payudara mereka penuh dengan susu, dan payudara bengkak, sejenis protein akan dihasilkan di payudara ibu yang akan memberi isyarat kepada tubuh ibu untuk mengurangkan penghasilan susu badan. Lama-kelamaan susu akan semakin berkurangan dan berhenti.

“Disebabkan situasi tersebut juga, susu yang dibiarkan tanpa diperah boleh menyebabkan bengkak dan nanah di dalam payu dara. Ibu sepatutnya tidak perlu risau kerana selepas susu diperah, lebih banyak susu boleh dihasilkan jika memenuhi teknik dan rangsangan yang betul.

“Wanita berkerjaya juga mampu meneruskan penyusuan susu ibu setelah kembali bekerja. Untuk memastikan bekalan susu perahan mencukupi dan penghasilan susu badan yang banyak, ibu yang bekerja disarankan untuk memerah susu sekurang-kurangnya tiga kali sehari sewaktu di tempat kerja dan meneruskan penyusuan bayi di payudara sekembalinya ke rumah,” ujarnya.