MOHD NORHUSAIRI

Adakah syarak membenarkan pasangan berzina atau wanita hamil berkahwin, bagaimana pula dengan status anak yang dilahirkan nanti, pasti membimbangkan pasangan itu sendiri atau ahli keluarga.

Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Norhusairi Mat Hussin, menjelaskan pasangan berkenaan boleh berkahwin.

“Mazhab Imam Maliki, Syafie dan At-Thawry berpendapat bahawa pasangan yang berzina sah nikahnya. Begitu juga dengan wanita hamil akibat zina.

“Namun, anak yang dilahirkan hasil daripada zina tidak boleh dibin atau dibinti mengikut nama bapanya atau suami kepada ibunya walaupun kedua-duanya telah menikah.

“Jika seorang lelaki berkahwin dengan wanita hamil anak luar nikah akibat perbuatan orang lain, maka selepas bernikah, mereka tidak boleh bersama sehingga anak dalam kandungan dilahirkan.

“Walau bagaimanapun, terdapat pendapat ulama dan mazhab lain yang bertentangan dengan pandangan tadi. Justeru, kita berpandukan kepada mazhab Imam Syafie yang dilihat memberi penyelesaian baik kepada masyarakat.

“Mengikut mazhab Hanbali, pasangan yang berzina lalu wanita itu hamil, maka mereka tidak boleh bernikah sehingga anak tersebut lahir.” katanya ketika ditemubual Utusan Malaysia Sabtu.