Ramai percaya bahawa antara ‘sumber’ kebahagiaan adalah bagaimana seseorang itu mengurus perhubungan dengan orang keliling mereka, sama ada hubungan antara suami isteri, ibu bapa, anak-anak, sanak-saudara, rakan-rakan, jiran mahupun dengan majikan.

Buat pertama kali di Asia, Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan Prudential BSN Takaful Berhad (PBTB), menampilkan Indeks Perhubungan Prudential (PRI) 2016 yang mengukur tahap kepuasan individu dalam perhubungan utama.

Hasil daripada tinjau selidik yang dijalankan menunjukkan, Malaysia berada pada kedudukan ke lima daripada 10 negara Asia yang ditinjau dengan mendapat skor indeks 71 daripada 100 mengatasi skor purata 68 daripada 100.

Skor ini bermakna perhubungan utama rakyat negara ini memenuhi 71 peratus daripada keperluan perhubungan yang mereka inginkan termasuklah kepada pasangan, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan.

Kajian yang dilakukan syarikat perunding tinjau selidik, Ipsos, menunjukkan lima elemen utama menjadi faktor kepada perhubungan yang baik dalam kalangan masyarakat di negara ini, seperti kerap menzahirkan kasih sayang, mementingkan kejujuran, melengkapi kelemahan pasangan, hormati hak individu pasangan, serta mempertahan pasangan masing-masing.

Pengarah Urusan Ipsos, Eric Loke berkata, kajian membuktikan bahawa hampir separuh daripada semua pasangan menjadikan wang sebagai punca utama pertengkaran (47 peratus) diikuti anak-anak (33 peratus), kurang memberi perhatian (32 peratus), dan terlalu banyak masa dihabiskan pada komputer atau telefon (31 peratus).

Apa yang menarik, masyarakat negara ini tidak malu menzahirkan suasana percintaan terhadap pasangan mereka yang mana 83 peratus merasakan bahawa pasangan mereka menyatakan cinta kepada pasangan mereka setiap minggu, manakala 34 peratus diberitahu setiap hari.

“Rakyat Malaysia tidak kisah memberikan sokongan kewangan kepada ibu bapa dan anak-anak mereka dan dari segi masa pula, 65 peratus ibu bapa di sini menghargai masa untuk melakukan aktiviti bersama-sama dengan anak-anak mereka.

“Pasangan di Malaysia juga cenderung untuk menguruskan kewangan mereka secara berasingan di mana 39 peratus daripada rakyat negara ini yang telah berkahwin mempunyai akaun bersama dengan lima peratus yang mempunyai hanya akaun bersama dan tiada akaun persendirian, namun 67 peratus mengatakan mereka membuat perancangan kewangan bersama-sama dan 77 peratus mengatakan mereka berbincang tentang masa depan mereka bersama,” katanya dalam pendedahan kaji selidik PRI di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Pemasaran PAMB, Khoo Ai Lin; Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN, Nor Azman Zainal; pakar motivasi kekeluargaan, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah; pakar perhubungan dan kekeluargaan, Dr. Johnben Loy; dan pelakon serta personaliti TV, Belinda Chee sebagai panel untuk mengupas mengenai isu ini.

Sementara itu Ai Lin, berkata, PRI mempamerkan gambaran perhubungan yang sihat di Malaysia dengan menonjolkan ciri-ciri yang menyumbang ke arah kebahagiaan serta perkara-perkara yang perlu diberi perhatian.

“Perhubungan merupakan asas perniagaan kami dan pelanggan kami menaruh kepercayaan kepada kami untuk memenuhi keperluan kewangan mereka melalui perhubungan jangka panjang yang kami miliki.

“PRI 2016 membolehkan kami menambah nilai kepada isu yang paling penting dalam kehidupan pelanggan kerana perhubungan yang kukuh menyumbang kepada kebahagiaan, kesihatan dan kesejahteraan hidup yang berpanjangan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Loy berkata, empat perkara utama yang boleh menjejaskan perhubungan adalah kewangan, isu keibubapaan, hubungan seksual dan perhatian daripada pasangan, bahkan pasangan meletakkan kepercayaan sebagai sesuatu yang amat penting dalam perhubungan mereka.

Ujarnya, berbanding dahulu teknologi tidak mempengaruhi sesuatu hubungan, berbeza pada masa kini ianya boleh menjadi masalah besar terhadap mana-mana pasangan jika mereka terlalu bergantung kepada gajet untuk menjalani kehidupan seharian.

“Percaya atau tidak 91 peratus daripada pasangan mengimpikan hari tanpa teknologi terutama gajet kerana mereka mahukan perhubungan tanpa gangguan lain seperti media sosial dan rakan-rakan malah 31 peratus mengatakan mereka bergaduh disebabkan oleh gajet,” ujarnya.

Ibu bapa cerminan anak-anak

Perhubungan ibu bapa akan memberi cerminan kepada anak-anak mereka untuk dicontohi. Disebabkan itu, setiap ibu bapa harus menetapkan sesuatu visi yang perlu diikuti oleh setiap ahli keluarga.

Pakar motivasi kekeluargaan, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkata, dengan adanya visi tersebut, sesuatu keluarga secara tidak langsung mampu membentuk aura positif dan keluarga yang harmoni tanpa sebarang perselisihan faham yang boleh mengundang kepada masalah kekeluargaan.

Selain itu, didikan kepada anak-anak juga boleh mempengaruhi institusi kekeluargaan yang mana ibu bapa hari ini tidak gemar mendengar pandangan anak-anak dan sentiasa berasakan diri mereka sahaja yang betul akhirnya membawa kepada pemberontakan anak muda.

“Dengar pandangan dan perspektif mereka, serta hormati apa yang dikatakan. Jika sekalipun keputusan yang dibuat oleh anak-anak salah, jangan terlalu menekan mereka, nasihat secara berhemah bagi mewujudkan suasana yang baik antara satu sama lain,” katanya.