“Asalnya saya tak berani tunjukkan pada emak tentang apa yang saya baca, tetapi dalam diam emak pun baca, saya tak tahu hinggalah adik bercerita. Kata adik dia tengok emak sedang khusyuk membaca muka hadapan akhbar Mingguan Malaysia, lepas tu tercari-cari bahagian kedua, kebetulan tercicir di bawah meja. Bila dapat emak terus baca ruangan yang dia suka baca.

“Mulanya kata adik dia tak perasan hinggalah dia tengok emak mengalir air mata. Bila adik curi-curi tengok barulah dia tahu apa yang emak baca. Adik tak mahu tegur emak takut emak lagi sedih. Tetapi emak pulak cakap pada adik. “Macam nilah perangai bapak korang.’’ Itu cerita Khuzairah dalam e-mel pendeknya dan menyambungnya bila kami berbual.

“Habis baca akhbar emak suruh adik baca pulak. Belum habis adik baca emak tak sempat-sempat bercerita tentang perangai ayah. Kata emak ayah tak sedar dek untung, bila susah suruh emak bantu, suruh emak berniaga kecil-kecilan. Bila dah senang dia senang-senang tinggalkan emak kahwin dengan orang seberang. Patutlah suka sangat ambil pembantu seberang.

“Bila mengingatkan perangai ayah, memang kami langsung tak simpati pada ayah, malah kami lima beradik berpakat ingin lihat apa akan jadi pada ayah bila dia tua nanti. Sekarang ayah muda umur belum pun 50 tahun, tapi tunggulah bila semakin tua nanti.

“Kami tak dendam, tetapi kami sakit hati, sebab bila kami nak sambung belajar ayah suruh kami berhenti belajar dan cari kerja. Kata ayah dia tak mampu nak tanggung makan minum dan pelajaran kami.

“Kalau kami berhenti ringanlah sikit beban ayah. Lagi pun ada tiga orang lagi yang hendak belajar. Ayah sarankan habis SPM berhenti cari kerja. Sebab tak mampu hantar ke kolej ke atau politeknik apa lagi universiti. Lagi pun ayah kata kami bukan pandai sangat macam anak orang lain, dapat tawaran belajar sekolah berasrama.

“Tapi emak tak setuju, sebab apa yang dapat dengan kelulusan SPM. Emak pun ada SPM, dulu emak kerja kilang, tapi ayah suruh berhenti kerja, sebab anak-anak kecil siapa nak jaga ketika mereka keluar bekerja. Sementelah kerja emak tak tentu masa, ayah pun sama. Jadi demi keselamatan kami yang masih kecil emak berhenti kerja. Emak berniaga jual kuih frozen, tapi tak mencukupi dan menguntungkan. Ayah suruh berhenti niaga sebab buat habis modal sahaja.

“Tetapi bila emak jual nasi lemak bungkus baru nampak ada sedikit kemajuan. Sebab dekat rumah kami ada ramai pekerja kontrak sedang buat kerja pembinaan rumah. Bermula dengan jual nasi lemak bungkus, akhirnya emak berniaga dekat depan rumah kami. Memang maju, dari lauk biasa-biasa emak tambah lauk rendang ayam dan kari daging.

“Demi memajukan lagi perniagaan supaya kami dapat terus belajar, saya dan adik terpaksa bantu. Kami tak kisah, sebab kalau ada lebihan rendang ayam kamilah tolong ‘selamatkan.’ Memang tak membazir, pendek kata memang kami mewah dapat makan sejak emak berniaga nasi lemak. Bukan setakat dapat duit, makan pun mewah, biarpun nasi lemak lauk sambal setiap hari. Asal ada telor dah cukup selesa untuk kami adik beradik.

“Sebab sebelum emak berniaga, kami macam dah tau apa lauk kami setiap hari, telor dadar, sup soon dengan kentang dan sambal belacan, atau sambal tumis, ikan ada juga tapi bercatu. Tapi sejak emak berniaga kami mewah makan.

Hilang

“Sejak perniagaan emak bertambah maju ayah pun rajin membantu. Tapi masalahnya duit emak banyak yang ‘hilang.’ Pada peringkat awal semuanya berjalan elok, emak dapat kumpul duit untuk belanja sekolah kami. Pendek kata, tak perlu tunggu duit ayah lagi untuk bayar apa-apa sahaja yang sekolah minta. Semua emak sediakan. Memang ayah senang hati sebab kami tak menyusahkan dia lagi minta duit saku setiap hari.

“Awal berniaga emak dapat simpan duit, tapi ayah selalu mintak katanya nak simpan duit sebab nak beli motor yang lebih baik sikit. Lepas tu nak bayar hutanglah, dan entah apa-apa lagi.

“Kalau emak tak bagi ayah buat bising. Lagi teruk ayah ugut emak kalau dia tak bayar hutang dia akan diberhentikan kerja oleh kerajaan, jadi macam mana nak hidup masa tua nanti.

“Nak tak nak emak terpaksa bagi juga, motor belum habis bayar ayah nak tukar kereta pulak, katanya beli kereta untuk kemudahan berniaga dan senang balik kampung.

“Nak dijadikan cerita, dari nasi lemak emak dapat berniaga di sebuah gerai kecil yang ayah cari. Kata ayah lebih baik emak buat berniaga betul-betul, biar ada gerai baru banyak benda boleh berniaga. Ayah cadangkan bukan berniaga nasi lemak aja, boleh jual nasi dan lauk pauk. Gerai itu milik kawan ayah. Mulanya ayah kata kawannya nak jual, lepas tu tak jadi nak sewakan saja. Apa pun ayah setuju. Tetapi masalahnya emak tak mampu nak buat sendirian.

“Di sini mula permainan ayah, dia cadangkan emak ambil pekerja orang seberang bantu emak masak. Kata ayah pekerja itu pandai masak, rajin dan cekap bantu kawannya berniaga. Mulanya emak tolak, sebab masalah modal pun kena besar juga.

“Ayah cadangkan pinjam dengan kawannya. Maklumlah nak beli dapur paling kurang dua buah, dua tong gas, pinggan mangkuk, bahan memasak dan macam macam benda lagi termasuk almari untuk letak makanan. Kata ayah emak setuju saja, yang lain ayah usahakan. Setelah sebulan didesak ayah, akhirnya emak terpaksa setuju.

“Kami gembira lihat ayah rajin membantu, walaupun bekerja. Ayah datang ke gerai, jenguk pembantu bernama Neng memasak makanan dan buat minuman petang sehingga jam enam. Emak berniaga dari minum pagi hingga tengah hari saja. Jam tiga emak balik, sebab nak siapkan bahan masakan hari esok. Neng ambil alih bantu emak berniaga sebelah petang. Biasanya ayah yang bawa balik duit dan beli barang keperluan esoknya.

“Awalnya saya fikir tentulah ayah jujur tolong emak berniaga, rupanya ada udang di sebalik batu. Ayah suruh emak berniaga tengah hari, sebab petangnya ayah yang control jualan gerai dengan Neng. Hasilnya ayah ambil. Tetapi gaji pekerja emak yang bayar.

“Dalam diam tak diam rupanya kami dapat tahu si Neng ini bukan main lagi melayan ayah. Saya tak tahu hubungan mereka lebih awal, yang saya nampak gurau senda ayah dengan Neng melebihi antara majikan dengan pekerja. Tetapi kalau bekerja siang hari bila Neng bantu emak dia tak banyak cakap, muka masam. Selain Neng ada lagi seorang pembantu nama Jue.

“Setelah dua tahun berniaga emak mula sedar perubahan perangai ayah. Tiap-tiap hari ambil duit kata nak simpan, bayar ansuran kereta, tetapi ada pulak orang datang nak tarik kereta. Itu satu bab, orang kedai juga datang minta duit kata ayah tak bayar. Mak naik pening, bila tanya ayah dia suruh emak bayar. Nak bayar macam mana duit hasil jualan ayah ambil. Mulalah ayah tuduh emak ketepikan duit untuk simpanan sendiri. Ini memang kes berat.

“Sejak hari itu emak tak benarkan lagi ayah ambil hasil jualan, tetapi jualan petang pulak ayah pulun habis. Lepas tu tanpa pengetahuan emak, malam hari ayah suruh Neng berniaga nasi. Ini memang menaikkan darah emak.

“Pertengkaran bertukar jadi pergaduhan membawa ke Mahkamah Syariah. Akhirnya emak diceraikan. Bila dah bercerai ayah tak benarkan lagi emak berniaga di gerai, kata ayah dia sendiri nak berniaga dengan Neng. Lagi mendidih darah emak. Siasat punya siasat rupanya ayah nak nikah dengan Neng, Jue yang pecahkan rahsia.

“Kerana terlalu sakit hati, disebabkan lesen berniaga nama emak, dia buat laporan kepada majlis tempatan, maka ayah dan Neng keluar dari gerai emak. Tetapi mereka berniaga juga tak sampai setengah batu dari gerai emak.

“Peristiwa itu membuka minda saya dan emak, bawa ayah memang dari awal sudah merancang hendak kahwin dengan orang seberang, ayah nak madukan emak, tetapi emak bantah. Sebab emak tak mahu lagi jadi macam lembu diperbodohkan.

“Peristiwa ini berlaku lima tahun lalu, kini hidup emak taklah susah walaupun bukan kaya. Tetapi yang jelas ayah tanggung empat orang anak tirinya dengan Neng, tiga perempuan seorang lelaki. Awal tahun ini dua orang anak tiri ayah kahwin dengan lelaki Malaysia anggota keselamatan.

Mereka memang suka dengan lelaki beruniform sebab kata mereka ada kuasa dan mereka tak boleh diganggu sebaliknya boleh bawak masuk ramai lagi saudara dari seberang.

“Kini walaupun ayah belum lagi bersara, tetapi dia bukan lagi seperti ayah kami yang dulu. Dari seorang ayah yang garang, kasar, bertempek marahkan kami dan emak, kini ayah berubah seratus peratus, dia jadi pengikut setia pada Neng.

“Adik pernah meninjau ke rumah sewa ayah, kata adik rumah ayah sentiasa penuh dengan tetamu. Namun saya yakin hidup ayah tidak disia-siakan lagi sebab ayah ada pencen setiap bulan bawa rezeki kepada Neng.

“Sebab itulah bila terbaca kisah isteri diceraikan oleh suami yang kahwin dengan wanita seberang saya tertawa terbahak-bahak. Tentu anda faham maksud saya. Demikian cerita Khuzairah panjang lebar.